Pro Mahasiswa

Friday, June 25, 2010

Selamat Datang ke UTHM kepada pelajar baru

Salam Sejahtera.

Kami dipihak Pro-Mahasiswa ingin mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar pada 26/6/2010 untuk pelajar jurusan diploma dan 3/7/2010 untuk pelajar jurusan ijazah sarjana muda.




Datang dengan harapan, balik membawa kejayaan.

Monday, June 21, 2010

Perpustakaan UTHM dibuka dengan rasminya

Masa yang dinanti-nantikan oleh warga UTHM untuk menduduki bangunan perpustakaan yang serba canggih akhirnya terlaksana. Tanggal 20 Mei 2010 satu majlis doa selamat dan solat hajat telah diadakan di Ruang Pustaka Kanak-kanak Bangunan Perpustakaan.

Majlis dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin diiringi oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin bin Ahmad, Pengarah PPH Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi bin Abd. Karim dan Ketua Pustakawan Bharun Narosid bin Mat Zin.

Majlis dimulakan dengan solat hajat dan bacaan yaasin serta doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Shahril. Sebaik majlis selesai, satu upacara penyerahan bangunan baru perpustakaan kepada pihak UTHM daripada pihak pemaju telah diadakan. Dokumen penyerahan telah ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin wakil bagi pihak UTHM, manakala wakil dari Pembinaan Hamid Abdul Rahman dan Ekovest (JV) Sdn. Bhd. sebagai pemaju serta Jabatan Kerja Raya Malaysia selaku pemantau projek.

Dengan upacara penyerahan ini dijangkakan kerja-kerja perpindahan perpustakaan UTHM akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan perpustakaan baru ini boleh digunakan oleh mahasiswa pada Semester 1 Sesi 2010/2011 yang akan bermula pada Julai depan.

lib







Bangunan Perpustakaan UTHM yang baru bakal beroperasi sepenuhnya pada Semester 1 Sesi 2010/2011 yang bermula pada bulan Julai yang akan datang.


Penyerahan replika kunci bangunan Perpustakaan telah diserahkan oleh wakil dari Pembinaan Hamid Abdul Rahman dan Ekovest (JV) Sdn. Bhd kepada Naib Canselor UTHM.


Sumber: Website Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Sunday, June 13, 2010

Sah! Politik telah dihalalkan di dalam kampus

Pada 11 sehingga 13 hb Jun yang lalu, suatu program berbentuk motivasi telah diadakan di UTHM. Program yang memberi penekanan kepada membina keyakinan diri dan memotivasi diri ini telah disertai hampir 1000 orang peserta. Peserta-peserta ini terdiri daripada pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6 bawah dari sekitar daerah Sembrong dan Pekan. Dikhabarkan hampir 20 buah sekolah yang terlibat.

Program seperti ini amat sesuai dengan saranan pentadbiran universiti yang mahukan program-program yang melibatkan mahasiswa UTHM dengan rakyat sekitar mereka. Dimana para mahasiswa UTHM menjadi mentor kepada pelajar-pelajar sepanjang program ini berlangsung. Dengan ini, interaksi antara mahasiswa sebagai mentor dengan pelajar adalah menjadi lebih efektif dan tersampai mesej yang ingin dibawa berbanding golongan-golongan yang lain. Perkongsian pengalaman dan perkembangan idea yang dibawa mahasiswa kepada peserta amat seiring dengan kehendak peserta sebagai pelajar itu.

Itulah bezanya takrifan mahasiswa dengan pelajar!
Kita di UTHM ini perlu tanamkan dalam diri kita bahawa kita adalah mahasiswa bukan pelajar lagi.
Oleh itu, janganlah termakan dengan ungkapan-ungkapan daripada mana-mana pihak yang melabelkan kita sebagai pelajar. Kerana ungkapan ini hanyalah salah satu cara untuk menundukkan kuasa dan kekuatan yang ada pada mahasiswa.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Komuniti Sembrong dan Pusat Sumber Pekan dengan kerjasama dari beberapa kelab di UTHM ini telah berjaya membawa nama UTHM sehingga ke peringkat menteri kabinet. Sehinggakan YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein menyatakan kesediaan untuk turun bersama didalam program ini selaku Menteri Dalam Negeri.

Disebalik itu, ada ura-ura yang mengatakan bahawa program ini adalah anjuran dari salah satu parti politik di Malaysia, UMNO.
Ini dikaitkan pula dengan kehadiran YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein bukanlah sebagai menteri, tetapi sebagai ahli parlimen kawasan sekolah tersebut iaitu Sembrong.

Selain itu, menurut salah seorang peserta yakni pelajar sekolah, bahwa ada diantara ahli jawatankuasa kepada program ini adalah Puteri UMNO dan Putera UMNO. Peserta itu menyatakan sedemikian kerana terlihat tulisan dan logo yang dipakai oleh ahli jawatankuasa tersebut. Namun kita yakin bahawa ini bukan dari kalangan mahasiswa UTHM yang menjadi mentor dalm program tersebut.

Dalam perkara ini, kita dapat perhatikan bahawa pihak universiti sudah mula berfikiran lebih terbuka dan tidak mengongkong mana-mana pihak atau parti yang ingin mengadakan program di UTHM. Satu pendekatan yang begitu baik. Pihak Pro-Mahasiswa juga berpendirian seperti pihak pentadbiran bahawa tiada masalah untuk mana-mana pertubuhan @ parti politik (tidak kira samada dari kerajaan atau pembangkang) mengadakan program bersama mahasiswa didalam universiti. Tetapi program tersebut mestilah bersifat motivasi atau kebajikan kepada pelajar sekolah ataupun mahasiswa UTHM itu sendiri seperti program ini. Tetapi haruslah diadakan garis-garis panduan supaya program bersifat motivasi @ kebajikan tidak menjadi program me'lobi' parti ataupun kempen parti.

Kami di pihak Pro-Mahasiswa mengucapkan segulung tahniah buat para penganjur kerana berjaya memecahkan tradisi suasana program di kampus ini. Dan kepada mentor-mentor, diharap telah memberi sesuatu kepada pelajar-pelajar yang menyertai program ini. Tahniah buat semua.

Tuesday, June 8, 2010

AUKU: Keberanian SMM bagai merempuh Gaza

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Keberanian Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut kebebasan bersuara dan akademik daripada kerajaan Umno BN dianggap seperti keberanian 12 sukarelawan Malaysia menuntut kebebasan daripada zionis Israel untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Demikian kenyataan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi tadi pada suatu kenyataan media bersama SMM di lobi Parlimen.

"Kita anggap keberanian SMM ini menentang Auku serta menuntut kebebasan akademik ini sebagai keberanian merempuh Gaza yang dikepong zionis sekarang ini," jelas Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat berkata, walaupun keberanian SMM tersebut terpaksa dibayar dengan denda atau digantung hatta dipecat dari universiti menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), namun keberanian pertubuhan koliasi itu membawa Deklarasi Belia dan Mahasiswa Malaysia ke Parlimen mampu menggamit kesedaran ahli Parlimen untuk bersama-sama mahasiswa mempertahankan hak asasi mereka.

"Mereka (mahasiswa) ada yang didenda, dipecat hatta digantung, tetapi dengan deklarasi ini sudah tentu akan menggamit kesedaran kami sebagaimana dunia mulai sedar tentang kezaliman zionis Israel apabila bantuan kemanusiaan dihalang oleh mereka," ujar beliau.

Menyambut kenyataan Dr Hatta, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berjanji bahawa Pakatan Rakyat akan membawa isu tersebut di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, inisiatif Pakatan Rakyat mahu mengangkat deklarasi tersebut di Dewan Rakyat berasaskan pada prinsip bersama.

"Bertitik tolak pada prinsip bersama menghormati prinsip hak asasi manusia, demokrasi kampus, kebebasan akademik dan autonomi universiti, kita mengalu-alukan deklarasi ini untuk dibawa ke Dewan Rakyat," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengutuk karajaan Umno BN kerana menggunakan Auku untuk membunuh karisma serta aktivitisme mahasiswa sejak akta tidak adil itu diperkenalkan pada 1971.

Beliau turut mempertikai tindakan universiti mendakwa empat mahasiswa dari Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan Auku disebabkan mereka yang terbabit turun ke pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Bagi beliau, partisipasi mereka perlu dihormati memandangkan mereka adalah calon sarjana muda sains politik yang bakal mengisi tampuk kepemimpinan negara kelak.

Senada dengan Saifuddin, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong turut mempertikai kaedah kerajaan Umno BN menggunakan Auku untuk membendung aktivitisme mahasiswa.

Bagi beliau, tindak tanduk kerajaan itu seakan bertentangan dengan wawasan Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke-10.

Ini kerana, menurut beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui kedua-dua dasar tersebut mahukan negara menuju kepada negara inovasi dan masyarakat bermaklumat.

"Bagaimana Malaysia boleh jadi inovatif dan rakyatnya berilmu kalau generasi mahasiswa dan belia yang belajar di universiti pun dilayan secara tidak demokratik dan bebas," soal beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan membuat penilaian semula kedua-dua dasar tersebut disebabkan insiden yang dialami oleh mahasiswa tanah air itu.

Tidak cukup dengan itu, beliau mencadangkan Dewan Rakyat menubuhkan suatu jawatankuasa khas di bawah Parlimen untuk menyiasat aduan mahasiswa sebagaimana yang dibukukan dalam deklarasi bertulis oleh SMM itu.

Sebelum pada itu, Pengerusi SMM, Mohd Shazni Munir turut menjelaskan bahawa penyerahan deklarasi tersebut dibuat sempena meraikan Hari Hak Asasi Mahasiswa yang sepatutnya diraikan pada 6 Jun yang lalu.

Katanya lagi, walaupun kerajaan Umno BN bertanggungjawab menggunakan Auku untuk memandulkan mahasiswa, satu salinan deklarasi akan tetap diserahkan kepada seorang wakil Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat pada petang ini.

Turut menyertai kenyataan bersama tersebut, Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), keempat-empat siswa UKM yang baru didakwa di bawah AUKU serta wakil-wakil pertubuhan mahasiswa yang mengganggotai SMM

-Dzulfikar Mashoor

Wednesday, June 2, 2010

Boikot Barangan Israel

2 Jun 2010: Berhubung dengan isu serangan komando Israel terhadap rombongan kapal misi bantuan kemanusiaan di Gaza. Pihak Pro-Mahasiswa UTHM ingin menyeru kepada seluruh warga UTHM agar meneruskan usaha memboikot barangan Israel. Itulah yang kita mampu lakukan terhadap perkara ini.