Pro Mahasiswa

Monday, August 29, 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri & Selamat Hari Kemerdekaan Ke-54

Pro-Mahasiswa UTHM mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada 1 Syawal 1432 bersamaan 30 ogos 2011. Maaf Zahir dan Batin kepada semua mahasiswa mahasiswi UTHM. Terutamanya buat yang berbangsa melayu, cina, india dan lain-lain yang beragama islam. Aidilfitri yang bermaksud perayaan fitrah, mengajak semua manusia untuk kembali kepada fitrah iaitu gembira, kebebasan dan berkasih sayang. Aidilfitri juga merupakan hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.

Pro-mahasiswa UTHM juga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-54. Pastinya bila tiba ulang tahun kemerdekaan, jalur gemilang akan dikibar sebagai tanda sayangkan Malaysia. Tetapi sejauh mana simboliknya kibaran jalur gemilang itu dapat menunjukkan Malaysia ini betul-betul disayangi. Adakah dengan kibaran tersebut cukup untuk menunjukkan kita ini sebagai pencinta negara.

Sesuai dengan dua perayaan yang disambut serentak iaitu sambutan Aidilfitri dan sambutan kemerdekaan. Ianya mestilah kembali kepada fitrah manusia yang inginkan kegembiraan, cintakan kebebasan serta kasih sayang. Sambutan kemerdekaan yang di sambut pada 31 ogos setiap tahun ini mestilah disambut dengan menerapkan ketiga-tiga elemen penting ini. Barulah apa yang disifatkan sebagai “MERDEKA” memberi impak yang maksima. Bersama kita buktikan “ANAK MUDA SAYANG MALAYSIA”

Wednesday, August 24, 2011

Ulama’ Politik untuk Dakwah atau Parti.

Satu wacana ilmu anjuran Sinar Harian telah berlangsung dengan tajuk “ULAMA POLITIK UNTUK DAKWAH ATAU PARTI”. Ini menunjukkan perkembangan positif terhadap kematangan politik di Malaysia. Berbanding dengan sebahagian forum yang diadakan, Wacana Sinar Harian ini lebih menampakkan keadilan dalam pengendaliannya oleh moderator.

Bila bercerita mengenai Ulama, ia merupakan satu peranan yang amat penting dalam pembangunan islam serta halatuju ummat islam di sesebuah negara islam. Ulama mrupakan insan-insan atau tokoh-tokoh yang menjadi rujukan umat islam dalam semua masalah serta persoalan yang timbul berkaitan islam itu sendiri. Jadi bila ulama menyeleweng dari peranan mereka yang sepatutnya, ia menjadi masalah besar bagi sesuatu negara. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang mafhumnya. Diakhir zaman nanti banyaknya ulama’ suk (ulama’ jahat) yang menyembunyikan kebenaran.

Apa pula kaitan antara Ulama dan Politik?. Menurut Ustaz Fathul Bari (Ulama Muda UMNO), beliau menyifatkan Ulama dan Politik sangat berkait rapat. Beliau juga mentakrifkan Ulama sebagai orang yang mengetahui sesuatu perkara sesuai dengan hakikatnya perkara tersebut dengan pengetahuan yang pasti. Sesuai dengan apa yang dibawa oleh Muhammad Rasulallah SAW. Politik atau siasah pula disifatkan sebagai mentadbir sesuatu dan mengurus sesuatu dengan cara yang terbaik. Ini menunjukkan kaitan yang sangat rapat antara ulama dan politik dimana politik atau siasah digunakan sebagai wasilah atau jalan untuk mengerakkan dakwah agar ianya lebih mudah sampai ke hati-hati rakyat.

Pastinya Ulama punyai tanggungjawab serta peranan yang sangat besar. Peranan utama Ulama yang dijelaskan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Penerangan Pas Pusat) adalah sebagai pemandu. Pemandu kepada pemimpin. Sekiranya pemimpin yang dilahirkan rosak maka rosaklah rakyat. Oleh itu, sekiranya hendak bertindak sebagai pemandu, pengiktirafan terhadap golongan ulama ini perlulah ada. Namun apa yang berlaku sekarang, ulama-ulama tidak mendapat pengiktirafan. Sebagai contoh keputusan majlis fatwa ditolak, pandangan mufti diketepi. Apa lagi pandangan ulama dari pihak pembangkang. pastinya ditolak mentah-mentah.

Sepertimana yang dijelaskan oleh Tan Sri Harussani Zakaria yang juga Mufti Perak, beliau pernah bersemuka dengan beberapa pemimpin atasan kerajaan untuk menasihati mengenai kemaslahatan negara. Namun semua teguran beliau ditolak walaupun ada beberapa teguran yang diterima.

Apa yang dapat disimpulkan, Peranan Ulama sangat besar dalam memandu pemimpin dalam urus tadbir negara. Sekiranya Ulama mempunyai kepentingan, takut untuk menyuarakan teguran kepada pemimpin, takut periuk nasi ditutup, pastinya akan menyebabkan generasi akan punah disebabkan pemimpin yang korup. Tidak kira ulama dari UMNO, Ulama atas pagar atau Ulama dari pembangkang sekali pun, tegurlah dan nasihatlah walaupun dengan teguran itu terpaksa korbankan segala kepentingan dunia. Pastinya ia akan ditanya di akhirat kelak.

Saturday, August 13, 2011

Saifuddin: BERSIH 2.0 tak sama dengan rusuhan UK

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah tidak sependapat dengan sebahagian besar pemimpin BN dan Umno bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 boleh bertukar menjadi rusuhan seperti yang berlaku di kota London awal minggu ini.

NONE"Saya tidak bersetuju dengan demonstrasi yang menyalahi undang-undang, tetapi saya tidak akan tidak bersetuju dengan tuntutan BERSIH dan saya juga tidak bersetuju bahawa BERSIH dibandingkan dengan rusuhan London," katanya kepada kira-kira 100 orang pada satu forum pagi ini.

Menurut Saifuddin, kerajaan telah gagal menangani tindakan BERSIH untuk berarak pada 9 Julai dengan mempertimbangkan kemungkinan satu perhimpunan aman seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

"Kita sepatutnya membincangkan cadangan Suhakam mengenai cara untuk mengadakan perhimpunan secara aman," katanya pada forum bertajuk "Reformasi Pilihanraya dan Pemurnian Demokrasi" anjuran Pergerakan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kajang.

Katanya, sesetengah orang tidak seharusnya begitu takut dengan perkataan "demonstrasi" sehingga mendapati bahawa walaupun ada pihak yang mengadakan demonstrasi tetapi ia diberi nama atau labelkan dengan perkataan lain.

Walau bagaimanapun, Saifuddin mempertahankan hujah bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa berhasrat mahu membenarkan perhimpunan itu mengambil tempat di dalam stadium.

NONE"Tetapi ia tidak berlaku. Dan saya tidak akan mengulas lebih dari itu," katanya.

Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN, semalam berkata parti-parti gabungannya bersependapat bahawa rusuhan di London membuktikan bahawa tindakan keras kerajaan ke atas peserta BERSIH 2.0 adalah wajar.

Katanya lagi, rusuhan yang berlaku di United Kingdom itu sangat serius dan langsung tidak dijangka oleh pihak berkuasanya.

Tambahnya, tiada jaminan bahawa perhimpunan jalanan akan kekal aman kerana mungkin ada pihak tertentu yang akan menyertainya untuk membuat kekacauan.

Dakwa Perdana Menteri lagi, bahawa tawaran "stadium di Shah Alam" juga yang tidak pernah dibatalkan.

Pada forum itu, Saifuddin juga menyarankan agar satu kerangka diwujudkan untuk membolehkan pendaftaran pemilih secara automatik bagi belia yang berusia 21 tahun ke atas.

Beliau juga menyokong idea agar usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun sekarang kepada 18 tahun.

NONE"Walaupun ia mungkin tidak dapat dilakukan pada pilihan raya ke 13, namun satu 'road map' perlu diwujudkan untuk merealisasikan perkara itu.

"Untuk mematangkan demokrasi kita memerlukan seberapa ramai rakyat untuk keluar mengundi, jadi kita perlu memudahkan proses tersebut agar mereka boleh berbuat demikian," katanya.

Saifuddin turut mencadangkan undang-undang berkaitan referendum diwujudkan kerana ia adalah sebahagian daripada usaha untuk mematangkan demokrasi.

Katanya, kerajaan walau dari parti mana sekalipun perlu mendapat kelulusan terus daripada rakyat selain wakil rakyat di Parlimen untuk perkara yang besar.

"Perkara ini boleh dilakukan terutama di zaman ini di mana rakyat boleh dihubungi secara terus melalui teknologi komunikasi dan maklumat contohnya seperti e-voting," katanya.


Sumber: Malaysiakini.

Monday, August 1, 2011

Pak Samad rasmi kempen "Jom baca Media Altenatif"


PETALING JAYA: Kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’, anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), yang akan dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said Ahad ini bertujuan menjadikan media alternatif sebagai akses utama maklumat rakyat di negara ini.

Selain memberi pendedahan, memberi persepsi terbuka dan mendidik rakyat mengutamakan kesahihan berita, kempen yang bertemakan “Baca dan Banding” ini turut memberi peluang kepada mereka melihat realiti Malaysia melalui dimensi yang berbeza.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Sekretariat Media SMM Ahmad Shukri Kamarudin berkata program serta kempen bermula hari Sabtu 6 Ogos ini. Selain edaran risalah turut disertakan buah tangan kepada warga kota pada hari tersebut.

Program pada 6 Ogos (Sabtu) bermula jam 3.00 petang menjurus kepada ‘Flash Mob’ sekitar Kuala Lumpur dengan memakai baju khas kempen yang turut tertera alamat laman sesawang media alternatif.

Kemuncak kempen pada 7 Ogos (Ahad) akan dirasmikan oleh Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad, di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) bermula jam 2 petang.

“Beliau (Pak Samad) mengesahkan kehadirannya pada perlancaran kempen ‘Jom Baca Media Alternatif’ Ahad ini.

Perlancaran ini dijangka akan diadakan selepas siri wacana ‘Mahasiswa Selamatkan Rakyat’ yang akan memfokuskan kepada isu pembinaan loji Lynas yang turut menjadi isu utama diperjuangkan oleh SMM dan Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat (GMSR),” katanya.

SMM merupakan ikatan kerjasama beberapa pertubuhan mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-M), Kumpulan Anak Muda Independen (Kami) serta ‘Malaysian Student and Youth Democratic Movement’ (Dema).

Sumber: freemalaysiatoday.com