Pro Mahasiswa

Friday, January 28, 2011

AUKU Membantutkan Proses Lahirkan Kualiti Kepimpinan Negara.

Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas. Mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus. AUKU jelas menafikan hak-hak yang dimiliki oleh mahasiswa walaupun Negara ini dikatakan Negara demokrasi. Imbau kembali kepada gerakan mahasiswa terdahulu yang amat aktif bergerak atas dasar isu-isu yang timbul bagi menyuarakan ‘salah laku ‘ pihak atasan

Dakwaan mahasiswa sabagai anti-establishment atau anti kerajaan amat tidak berasas dimana menganggap mahasiswa ingin mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan Malaysia. Aktivisme mahasiswa dilihat sebagai suatu pemberontakan dan membawa konflik. Bangsa yang intelektual ini bagaimanapun tidak mudah ditipu dan sentiasa peka terhadap keadaan Negara serta perkembangan semasa dan bersedia untuk bangkit sebagai yang terpelajar. Aktivis mahasiswa dikatakan tidak buta untuk terus melihat dan seterusnya bertindak untuk memperjuangkan politik nilai yang tidak mementingkan kemuncak kekuasaan, sebaliknya mereka lebih mementingkan perjuangan nilai iaitu keadilan hak, kebebasan, hak bersuara, hak berkumpul, hak berpersatuan, hak untuk hidup, hak untuk menikmati pembangunan dll. Kesedaran dan pengalaman dalam satu-satu zaman itu mematangkan lagi tingkahlaku mahasiswa dewasa ini.

Mahasiswa perlu diberikan ruang memahami, menghayati dan mengimplementasi erti demokrasi ketika di kampus lagi. Hak bersuara yang dijamin di dalam perlembagaan yang telah lama dinafikan kepada mahasiswa harus segera dipulihkan. Selain itu, kerajaan harus ikhlas dan terbuka memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berketrampilan tinggi.

Persoalannya, apakah sebenarnya golongan mahasiswa yang mahu dilahirkan melalui sistem pendidikan tinggi tempatan? Apakah kita mahu melahirkan mahasiswa yang hanya berminat membaca dan menghafal, atau adakah kita mahu mahasiswa yang mampu menghubungkan teori dengan kenyataan? Di mana pembentukan sahsiah sebenar sepanjang bergelar MAHASISWA?

Saranannya, sebagai seorang mahasiswa, wajib beraktivitisme dalam kerangkanya tersendiri berteraskan ‘politik nilai’ serta AUKU yang sah-sah kejam dan membantutkan pembesaran mahasiswa mesti dihapuskan. AUKU seharusnya tidak menjadi penghalang dalam kamus perjuangan aktivis mahasiswa kerana banyak lagi peninggian nilai lain patut diperjuangkan oleh mahasiswa hari ini demi memastikan kesejahteraan sebenar generasi baru Malaysia kelak.

Wednesday, January 26, 2011

Bersama Timbalan Naib Canselor UTHM di Kolej Kediaman Tun Fatimah




Perjumpaan mahasiswa Kolej Kediaman Tun Fatimah dan Kolej Kediaman Tun Dr Ismail bersama Timbalan Naib Canselor UTHM telah dibuat pada malam tadi (Rabu) bersamaan 26 januari 2011. Amanat berharga telah diberikan beliau bersempena dengan tahun baru 2011 antaranya menyarankan kepada seluruh mahasiswa untuk terus rajin menuntut ilmu di bumi UTHM tanpa mengenepikan penglibaan kokurikulum. Penglibatan mahasiswa di dalam persatuan-persatuan, kelab-kelab, sukan dan sebagainya merupakan satu kelebihan yang bakal diperolehi oleh mahasiswa itu sendiri. Di samping itu ianya juga merupakan salah satu usaha untuk menaikkan nama UTHM di kalangan universiti lain di dalam negara juga di peringkat antarabangsa.

Setelah selesai ucapan dari Timbalan Naib Canselor, perjumpaan diteruskan dengan sesi soal jawab. Pelbagai soalan dan pandangan diutarakan telah menggamitkan suasana dimana soalan-soalan yang dilontarkan sangat kene dengan kehendak mahasiswa lain. Antara soalan yang ditanya adalah berkaitan isu yang sedang hangat dikalangan mahasiswa UTHM iaitu isu kemasukan PTPTN lambat. Saudara yang bertanya cuba inginkan mendapatkan penjelasan dari pihak HEP apakah masalah sebenarnya yang telah timbul samada di peringkat PTPTN ataupun HEP sendiri sehinggakan kemasukan loan lewat?. Soalan tersebut telah dijawab oleh En Malik sendiri selaku Timbalan Pendaftar. Beliau menyatakan kemasukan PTPTN lewat adalah disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun pihak HEP telah memberikan jaminan kepada mahasiswa UTHM yang masih belum menerimanya untuk sabar sehingga 28 januari 2011 dimana tarikh paling lewat mahasiswa akan menerima wang tersebut dari PTPTN.

Selain itu, ada seorang mahasiswi di tahun satu mengadu wang pinjaman dari Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) masih tidak masuk lagi walaupun pihak YPJ mengatakan wang tersebut telah sampai ke pejabat bendahari. Saudari tersebut juga mengadu akan layanan buruk staf dari pejabat bendahari terhadapnya. Pihak HEP akan mengkaji semula apakah sebab dan puncanya hal ini berlaku kerana proses tersebut memakan masa. Ada juga mahasiswi yang mengadu tentang harga makanan di cafe didalam UTHM tidak selaras dan mahal. Beliau mencadangkan pihak universiti untuk memberikan subsisdi kepada pelajar sebagai contoh membiayai nasi percuma kepada pelanggan di cafe.

Seperti yang di ketahui, di Kolej Kediaman Tun Fatimah tidak mempunyai kawalan keselamatan yang ketat diwaktu malam. Seorang mahasiswi telah mengadu tentang kejadian Kolej Kediaman Tun Fatimah diceroboh. Beliau mencadangkan supaya tahap keselamatan di Kolej Kediaman Tun Fatimah diperketatkan seperti wujudkan pagar, CCTV dan sebagainya.

Pelbagai lagi isu yang dibangkitkan antaranya masalah UCiTV, bas UTHM , sijil-sijil kokurikulum tidak dapat, ketelusan dalam pemberian wang ehsan dan macam-macam lagi. Isu keselamatan jalan raya di hadapan UTHM juga turut dibangkitkan. TNC menasihatkan mahasiswa UTHM lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan Kluang-batu Pahat. Untuk pengetahuan universiti dalam perancangan pembinaan Kolej Kediaman yang boleh menempatkan seramai 5000 org mahasiswa sebagai langkah mengurangkan mahasiswa keluar dari kawasan kampus dan menggunakan jalanraya Kluang-Batu Pahat.

Daripada soalan dan cadangan yang dibangkitkan boleh disimpulkan bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki mungkin diperingkat pentadbiran universiti, Majlis Perwakilan Mahasiswa dan mungkin juga diperingkat Mahasiswa sendiri dalam merialisasikan slogan “DENGAN HIKMAH KITA MENEROKA”.

ProMahasiswa mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pentadbiran universiti diatas kelapangan untuk turun padang bertemu dan mengetahui masalah mahasiswa. Sekurang-kurangnya jawapan yang diberikan dapat menunjukkan komitmen pentadbiran universiti terhadap mahasiswa...SUARA MAHASISWA ADALAH SUARA PEMIMPIN.

Monday, January 24, 2011

Percaturan Salah Pro-Aspirasi Membawa Padah.

Beberapa hari yang lalu, sebahagian mahasiswa dan mahasiswi UTHM telah diributkan dengan isu sebaran flyers oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memboikot Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Iqra' UTHM. Ia berikutan satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YDP MPP Pro-Aspirasi UTHM, iaitu saudara Shahzada Khan Nawab Khan melalui laman sosial facebook peribadi beliau.

Dalam Kenyataan yang dikeluarkan beliau melalui laman sosial terbabit, beliau telah menyatakan bahawa beliau ternampak flyers berkenaan bertaburan di tangga-tangga Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail ketika mana beliau dalam perjalanan untuk pulang ke bilik pada jam 4.30pagi sejurus tiba dari Kuala Lumpur. Beliau turut mengutip kesemua flyers terbabit yang berteraburan di KKTDI.

Bagaimanapun, beliau kemudian menafikan bahawa ia dilakukan pihak pro-Aspirasi malah secara tiba-tiba terus menuduh secara melulu tanpa bukti bahawa ia adalah perbuatan yang dilakukan oleh pihak Pro-Mahasiswa dengan dakwaan beliau sebagai 'mensabotaj rakan-rakan sendiri.'.

Suatu persoalan apabila beliau mengatakan Pro-Mahasiswa mensabotaj rakan-rakan sendiri dengan menisbahkan rakan-rakan pro-mahasiswa itu sebagai Kelab Iqra'. Jika beliau memaksudkan ia perbuatan mensabotaj diri sendiri, sepatutnya beliau mengaitkan Kelab Iqra' yang mensabotaj dan mengedarkan fliers terbabit. Bagaimana pula boleh ia dikaitkan dengan pro-Mahasiswa? Sekaligus ini mendedahkan bahawa Shahzada Khan mempunyai niat buruk untuk mengheret sama Pro-mahasiswa dalam isu ini atas hasad politik beliau terhadap pro-Mahasiswa.

Pihak Pro-Mahasiswa sangat kesal dengan tuduhan yang dilakukan oleh seorang yang bergelar YDP MPP UTHM yang secara melulu menuduh Pro-Mahasiswa melakukan kerja-kerja mensabotaj Kelab Iqra' walaupun tanpa sebarang bukti. Berikut adalah kenyataan penuh beliau di laman sosial facebook.


walaubagaimanapun, timbul beberapa kecurigaan dari kenyataan yang beliau sendiri keluarkan.

Perhatikan!!!

Beliau mengatakan "Angkara siapa? yang pasti BUKAN PRO ASPIRASI, kalau ini cubaan menuduh PRO ASPIRASI yang buat, maka cubaan ini telah KANTOI!. Aspirasi tidak pernah menggunakan cara kotor begini!"

Persoalannya, kenapa beliau begitu beria-ia menafikan yang pro-Aspirasi tidak lakukan sebaran flyers sabotaj terbabit? Sedangkan pihak Kelab Iqra' sendiri masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada mengaitkan pro-Aspirasi ataupun tidak. Kegopohan beliau menafikan keterlibatan pihaknya dan menuduh pula pihak lain seolah-olah ada sesuatu yang beliau cuba sembunyikan & dilihat cuba untuk melarikan diri dari kesalahan kemudian mengaitkan pihak lain agar dikambing hitamkan.

Kemudian, bagaimana beliau begitu pasti bahawa ia bukan angkara pihaknya sendiri? Sebagai seorang yang masih belum pasti. Sepatutnya beliau mengeluarkan kenyataan agar kejadian terbabit disiasat secara terperinci terlebih dahulu dan jika terdapat pihak yang disyaki terlibat, harus dibawa ke muka pengadilan. Tetapi sebaliknya kenyataan beliau seolah-olah benar-benar pasti bahawa tiada kaitan dengan pro-Aspirasi. Sekali lagi beliau cuba berlakon dan ia menampakkan dengan jelas betapa beliau ingin cepat melepaskan diri. Sebagai seseorang yang masih lagi terkejut dengan penemuan sebaran flyers pada jam 4.30 pagi, mustahil beliau boleh mendapat kepastian & terus menafikan keterlibatan pihaknya lalu menyerang pihak yang lain sebagai galang ganti melainkan ianya adalah suatu agenda tersembunyi yang cuba dirancang demi mengaitkan pihak lawannya.

Pro-Mahasiswa pastinya tidak akan sesekali termakan dengan polemik isu yang dimainkan YDP MPP UTHM ini.

Cukup hanya sekadar beliau menafikan bahawa tindakan itu bukan dari pihaknya & tidak perlu beliau kaitkan dengan mana-mana pihak. Kerana kenyataan sebegini menampakkan kelemahannya ditambah pula tiada bukti yang beliau boleh kemukakan. Perkara ini sekali lagi menampakkan seolah-olah beliau cuba menyembunyikan sesuatu.

Sebaliknya, tuduhan yang beliau timbulkan sebeginilah yang sebenarnya mengapikan pertelingkahan di kalangan penyokong dan pendokong kedua-dua belah pihak. Jika pihak Pro Mahasiswa berdiam maka itu adalah tindakan bodoh di pihak pro-Mahasiswa dengan memangsakan diri sendiri sebagai kambing hitam dalam isu ini. Sedangkan Pro-Mahasiswa dizalimi dengan fitnah yang menjatuhkan kredibiti & harga diri mereka.

Dengan sikap hasad beliau yang cuba mengaitkan pro-mahasiswa dalam isu ini, persoalan yang ingin ditanya, adakah beliau ini benar-benar ikhlas ingin menyatukan seluruh mahasiswa di bawah kepimpinan beliau? Apakah pemimpin sentimen sebegini mampu memberikan keadilan kepada mahasiswa?

Maka, dalam isu ini siapakah sebenarnya pencetus kepada pertelingkahan yang berlarutan? Moga Allah menentukan balasan yang setimpal terhadap golongan yang melakukan fitnah.

Monday, January 17, 2011

PERUTUSAN KOORDINATOR PRO MAHASISWA UTHM


Tidak sempurna iman seseorang itu, sehinggalah dia mengasihi saudaranya, seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Dalam pelbagai kesempatan selalu muncul kegelisahan yang mempersoalkan gerakan dan pemikiran lesu di kalangan mahasiswa sebagai golongan intelektual dan lebih-lebih lagi sebagai generasi penggerak kepimpinan muda. Pengamatan kepada masalah integriti dan sosial mahasiswa, penularan salah faham terhadap gerakan mahasiswa, perkembangan negara dan antarabangsa serta sifat cakna akan saudara kita tidak mengira perbezaan kaum maupun agama telah menjadi tuntutan kepada kita untuk diperjuangkan. Maka, memahami senario kampus dan luar kampus, menganalisis cara pemikiran golongan muda, memahami gaya dan rentak perjuangan mahasiswa, pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari.

Oleh itu pendekatan pemimpin mahasiswa yang lebih menarik perlu diterokai oleh para mahasiswa bagi membudayakan diri dengan membaca, memahami dan menganalisis setiap perkara yang berlaku disekelilingnya. Elemen-elemen inilah yang memerlukan individu yang berkebolehan memimpin kepada sesuatu perubahan dengan bercirikan al-qawiyy (yang kuat) dan keunggulan akhlak dan peribadi yang baik iaitu al’-amin (benar dan amanah). Harus diingat, ‘tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin’. Almarhum bapak Mohammad Natsir, pernah mengatakan “pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat

Warga kampus sekalian, setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup. Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian. Dalam proses membuat suatu perubahan, begitu banyak persediaan perlu ada dalam diri mahasiswa. Mahasiswa tidak perlu menunggu sehingga lengkap segala persediaan untuk mengatur tindakan ke arah perubahan tetapi segala persediaan perlu diiringi dengan pengurusan dan tindakan yang dinamik.

Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa Pro-Mahasiswa UTHM adalah sebuah wadah (saluran) bagi kesatuan mahasiswa dan mahasiswi UTHM yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kita sewajarnya membuat persediaan secukupnya untuk memimpin suatu gerakan bagi menangani perubahan yang berlaku di masa depan. Untuk melaksanakan ini semua, segala sumber dan kebolehan yang ada seperti kekuatan sahsiah, kebolehan, kemahiran, kepakaran, ilmu yang mantap, istiqamah dan daya juang yang tinggi, mestilah digemblengkan menjadi suatu tenaga yang kukuh dan seterusnya menjadi pemimpin bagi suatu kekuatan yang mampu menangani perubahan yang berlaku. Akhir kalam yang tersemat disanubari penulis...

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." Profesor Diraja Ungku A. Aziz

Thursday, January 13, 2011

Ciri-ciri Kepimpinan Mahasiswa

Setiap dari kita merupakan pemimpin. Tunjang kepimpinan adalah merupakan memimpin diri kita sendiri untuk meneraju yang lainnya.

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab dengan pimpinannya.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Begitulah hadis yang mengatakan bahawa kita semua adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.

Pemimpin dari sudut Islam bukanlah suatu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu dijadikan rebutan kerana ia bukanlah suatu tashrif (kebesaran dan kemegahan) namun sebenarnya adalah suatu takhlif (amanah dan tanggungjawab) dan Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada Abu Dzar Al-Ghifari yang memohon satu jawatan untuk mentadbir Wilayah Islam dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah,pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan,kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggungjawabkan”

Amanah yang dimaksudkan di sini bukan setakat menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada golongan yang dipimpin, akan tetapi yang lebih diutamakan oleh islam adalah menyempurnakan amanah kepada Allah SWT.

Dalam konteks sebagai seorang mahasiswa, jika dihubungkaitkan dengan kepimpinan, ia bermakna wujudnya beberapa ‘figure’ pemimpin dan kualiti kepimpinan organisasi mahasiswa yang mampu mencapai serta memenuhi piawai yang terbaik dan memuaskan para pengikut malah umat yang menyaksikan agenda bertindak dan operasi organisasi yang berkenaan. Namun seorang pemimpin mahasiswa ini haruslah mempunya ciri-ciri yang saling melengkapi supaya apa yang diperjuangkan betul-betul terkesan terhadap mahasiswa yang dipimpinnya.

Kriteria yang amat perlu dimiliki saling berkaitan dahulunya dengan dasar perjuangan. Apakah sebenarnya yang menjadi tunjang kepada pimpinan seorang mahasiswa itu?

Kriteria utama merupakan kemestian untuk miliki prinsip yang berasaskan pegangan agama Islam yang kukuh dan sangat faham akan konsep dosa pahala serta syurga dan neraka. Mereka perlu konsisten memperjuangkan Islam serta mendukung kepimpinan Islam yang menyanjung kepimpinan para pewaris nabi atau para alim ulama'. Memiliki keperibadian Islam yang baik amat penting bagi mahasiswa muslim dimana pimpinan mahasiswa Islam yang mempunyai ciri-ciri ketaqwaan seperti yang diperincikan oleh Al-Qur'an.

Kecemerlangan akademik merupakan tiket utama dan kelebihan bagi seorang pemimpin mahasiswa kerana merupakan golongan yang terpelajar dibawah pengaruh universiti. Kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis. Kepimpinan harus menonjolkan dengan lebih terserlah bakat ilmuan yang ada sebagai pemacu untuk menggarap tahap itegrasi tinggi dikalangan mahasiswa sendiri amnya.

Seorang pemimpin itu mestilah cekap, berketrampilan dan berkeyakinan tinggi. Kepimpinan yang terlatih dan berpengalaman dalam menghadapi politik kampus sudah pasti akan lebih berjaya dari kepimpinan yang mentah dan kurang berpengalaman. Lebih jauh kepimpinan yang mempunyai berbagai kemahiran sudah pasti akan menempa kejayaan yang lebih menyerlah.

Kepimpinan mahasiswa semestinya mempunyai ketrampilan menggarapi aspek wawasan politik yang jelas. Kepimpinan di kampus adalah anak tangga untuk kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi. Wawasan politik yang benar seharusnya telah ditemui dan diyakini dari peringkat kampus lagi sehingga ianya semakin kukuh dan bercambah di peringkat nasional dan antarabangsa. Sekiranya perkara ini masih kabur dan tidak mantap di peringkat mahasiswa lagi maka kelewatan menemui wawasan politik Islam yang sebenar merupakan titik kelemahan yang ketara.

Seorang mahasiswa yang berbekalkan semangat aktivis yang gigih, kreatif serta inovatif amat penting kerana nilai seorang pemimpin mahasiswa tidak lahir dari kekosongan. Ia lahir dari kalangan massa mahasiswa dan mencerminkan nilai atau kualiti keunggulan mahasiswa itu sendiri. Pemimpin yang cemerlang lahir dari lautan siswa yang cemerlang, gigih, kreatif dan inovatif. Dari sudut positif lain, seorang pemimpin tersebut mestilah seorang menguasai kemahiran komunikasi yang cekap dan baik seperti bercakap, berpidato, berkomunikasi dengan pelbagai jenis dan aras pemikiran manusia yang dipimpin.

Pimpinan organisasi mahasiswa perlu memiliki kemahiran merentasi halangan cita-cita organisasi. Mustahak bagi mereka untuk menguasai seni mengemudikan konflik untuk mencapai tahap perlaksanaan yang lebih tinggi dan maju. Kemenangan perlu berupaya diraih melalui laluan sukar dan halangan yang getir sekalipun. Kejayaan pemimpin bukan mutlak daripada pemimpin tetapi juga kerana adanya kerjasama, sokongan dan sikap kesetiaan terhadap organisasi dan sikap ingin melihat ia berjaya. Hubungan yang positif antara pemimpin yang baik dengan para pengikut yang gigih sudah pasti menghasilkan peningkatan dalam mutu kerja aras pencapaian organisasi.

Dalam mencapai aspirasi pembangunan misalnya, manusia adalah unsur yang paling menentukan kejayaannya. Pembangunan tidak bererti jika manusia itu sendiri runtuh. Justeru itu nilai-nilai akhlak amat perlu diberi penekanan dalam kepimpinan kemahasiswaan agar pembangunan yang ingin digarap seimbang dengan nilai-nilai keislaman. Nilai sahsiah yang tinggi amat perlu terserlah yang mesti ada pada pemimpin mahasiswa dari pelbagai aspek seperti gaya bertingkah-laku, berpakaian, bergaul, kebersihan diri dan seumpamanya. Pihak pemimpin ini dikatakan menjadi role model terhadap mereka yang dipimpin serta menjadi pucuk perbualan para mahasiswa lain.Tidak ada ertinya pembangunan tanpa kesehjahteraan dunia dan akhirat.

Konklusinya, dasar perjuangan mahasiswa mestilah berlandaskan nilai-nilai Islam serta . Mahasiswa sebagai kumpulan manusia berilmu dan sentiasa mencari ilmu perlu mendampingkan keilmuan mereka dengan iman, Islam dan ihsan. Inilah yang dikatakan dasar perjuangan kerana Allah. Matlamat bersama hendaklah jelas, spesifik, boleh dicapai dan mempunyai tempoh masa untuk berjuang, walaupun perjuangan itu dilihat hanya di medan kampus semata. Namun ia merupakan pra permulaaan untk menempuhi medan realiti apabila berhadapan dengan dunia luar kelak.

Monday, January 10, 2011

Mahasiswa & Perubahan

Saban tahun, setiap kali pilihanraya kampus diadakan di institusi pengajian tinggi samada awam ataupun swasta pasti ianya menggamatkan suasana. Pada tahun ini juga, pasti kancah Pilihanraya Kampus akan menjadi lebih hangat terutamanya UTHM sendiri yang sedang meningkat naik selari dengan pembangunan dan kematangan pemikiran mahasiswanya. Pilihanraya Kampus UTHM yang dijangkakan akan berlangsung pada akhir bulan febuari diharapkan dapat menghasilkan pimpinan yang mampu melakukan perubahan.

Persoalan besar yang sering bermain di minda ramai pihak ialah mengapa para mahasiswa mengambil berat akan pilihanraya kampus ini? Adakah ingin menunjukkan jaguh atau sekadar suka-suka untuk menempah nama. Atau ingin dapatkan alaun. Atau juga sebagai alat pro kepada kumpulan tertentu yang berkepentingan?

Sebenarnya, Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada mahasiswa itu sendiri. Sekiranya dahulu, pemilihan pengawas di sekolah hanyalah lantikan dan bukan pemilihan, tetapi ia senario berbeza di Universiti.

Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpin mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, yang boleh mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan juga pelbagai program intelektual lain.

Para mahasiswa yang keluar mengundi inginkan pemimpin yang boleh memacu perubahan ke arah penegakkan haknya di universiti. Pemimpin pelajar yang terpilih itu pula perlulah menjadi pemimpin yang boleh merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa kepada pelajar yang miliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.Selain itu, pemimpin pelajar yang dipilih juga wajar dilihat sebagai pemimpin pembina budaya (culture builder).

Selanjutnya, PRK merupakan medan demokrasi yang mengajar para mahasiswa erti pilihanraya. Bermula daripada pemilihan calon, hari penamaan calon, kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi, ia merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum. Mahasiswa yang didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya dapat diadaptasikan oleh mereka setelah keluar dari menara gading.

Demokrasi ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa bahawa pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan kepimpinan pelajar. Jadi, faktor pemakaian demokrasi dalam diri mahasiswa adalah penting sebelum mahasiswa menemui dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu politik.

Di samping itu, kepimpinan negara amat memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga hal ehwal dalaman negara kita.

Sekiranya kita selongkar sejarah lama, pemimpin pelajar seperti Shabery Cheek, Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Husam Musa, Abu Bakar Chik dan ramai lagi pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar.

Oleh yang demikian, jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam pembangunan negara. PRK turut mengajar erti kebebasan memilih kepada para mahasiswa dalam pemilihan pemimpin pelajar.

Janganlah pilihanraya kampus yang bernilai tinggi ini hanya melahirkan pemimpin yang hanya ‘angguk-angguk, tetapi tidak berani ‘geleng-geleng’ dan ini akan merencatkan pertumbuhan penghasilan pemimpin masyarakat yang berkaliber di negara bertuah ini.

:::::BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN::::