Pro Mahasiswa

Monday, January 10, 2011

Mahasiswa & Perubahan

Saban tahun, setiap kali pilihanraya kampus diadakan di institusi pengajian tinggi samada awam ataupun swasta pasti ianya menggamatkan suasana. Pada tahun ini juga, pasti kancah Pilihanraya Kampus akan menjadi lebih hangat terutamanya UTHM sendiri yang sedang meningkat naik selari dengan pembangunan dan kematangan pemikiran mahasiswanya. Pilihanraya Kampus UTHM yang dijangkakan akan berlangsung pada akhir bulan febuari diharapkan dapat menghasilkan pimpinan yang mampu melakukan perubahan.

Persoalan besar yang sering bermain di minda ramai pihak ialah mengapa para mahasiswa mengambil berat akan pilihanraya kampus ini? Adakah ingin menunjukkan jaguh atau sekadar suka-suka untuk menempah nama. Atau ingin dapatkan alaun. Atau juga sebagai alat pro kepada kumpulan tertentu yang berkepentingan?

Sebenarnya, Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada mahasiswa itu sendiri. Sekiranya dahulu, pemilihan pengawas di sekolah hanyalah lantikan dan bukan pemilihan, tetapi ia senario berbeza di Universiti.

Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpin mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, yang boleh mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan juga pelbagai program intelektual lain.

Para mahasiswa yang keluar mengundi inginkan pemimpin yang boleh memacu perubahan ke arah penegakkan haknya di universiti. Pemimpin pelajar yang terpilih itu pula perlulah menjadi pemimpin yang boleh merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa kepada pelajar yang miliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.Selain itu, pemimpin pelajar yang dipilih juga wajar dilihat sebagai pemimpin pembina budaya (culture builder).

Selanjutnya, PRK merupakan medan demokrasi yang mengajar para mahasiswa erti pilihanraya. Bermula daripada pemilihan calon, hari penamaan calon, kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi, ia merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum. Mahasiswa yang didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya dapat diadaptasikan oleh mereka setelah keluar dari menara gading.

Demokrasi ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa bahawa pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan kepimpinan pelajar. Jadi, faktor pemakaian demokrasi dalam diri mahasiswa adalah penting sebelum mahasiswa menemui dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu politik.

Di samping itu, kepimpinan negara amat memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga hal ehwal dalaman negara kita.

Sekiranya kita selongkar sejarah lama, pemimpin pelajar seperti Shabery Cheek, Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Husam Musa, Abu Bakar Chik dan ramai lagi pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar.

Oleh yang demikian, jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam pembangunan negara. PRK turut mengajar erti kebebasan memilih kepada para mahasiswa dalam pemilihan pemimpin pelajar.

Janganlah pilihanraya kampus yang bernilai tinggi ini hanya melahirkan pemimpin yang hanya ‘angguk-angguk, tetapi tidak berani ‘geleng-geleng’ dan ini akan merencatkan pertumbuhan penghasilan pemimpin masyarakat yang berkaliber di negara bertuah ini.

:::::BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN::::

0 comments: