Pro Mahasiswa

Sunday, April 24, 2011

Selamat Menjalani Peperiksaan Kepada Semua Mahasiswa UTHM!!!

Friday, April 15, 2011

Mahasiswa Bersatu Menolak Politik Lucah



Pada tanggal 21 Mac 2011 melakarkan satu lagi peristiwa pelik di dalam Malaysia. Penayangan video lucah secara massa di hotel mewah bernama Carcosa Seri Negara. Jemputannya hanyalah wartawan-wartawan dari media arus perdana dan media alternatif seperti Bernama dan Free Malaysia Today. Penganjur tayangan berkenaan, yang pada mulanya hanya mahu dikenali dengan nama “Datuk T” mengawal rapi segala gerak geri dan perlakuan hadirin supaya tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada mereka. Kumpulan “Datuk T” (T bermaksud Trio@ Bertiga) terdiri daripada Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Datuk Shuib Lazim.


Kesan penayangan video ini menimbulkan reaksi yang berbeza dari pelbagai pihak. Ada yang bersetuju dengan pendedahan Datuk T, tak kurang juga ada yang membangkang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan mempertahan Datuk T dengan mengatakan mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi dan Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes. Bekas mufti Perlis, Professor Madya Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin, menerusi blognya,www.drmaza.com mengajak seluruh rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan anti-politik lucah. Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid dan Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad juga senada mengajak umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia menyiasat dahulu kesahihan dakwaan itu.


Pada hari Ahad (10/4), Solidariti Mahasiswa Malaysia menganjurkan Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat. Menurut Sekretariat Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin menegaskan, program tersebut dijalankan bagi menyedarkan semua pihak tentang pendirian mereka yang menolak sekeras-kerasnya budaya politik kotor. “Pada pandangan mahasiswa, kita berasa risau dan khuatir dengan keadaan semasa politik negara yang yang saban hari ada saja isu-isu yang menggambarkan kegawatan politik, terbaru isu politik kotor atau politik lucah. Perkara ini menggambarkan politik nilai yang semakin terhakis dan bagaimana integriti kepimpinan dalam negara berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan. Jika ini yang berlaku dalam sektor awam negara, apa nasib sektor-sektor lain dalam negara? Apa nasib ekonomi, pendidikan, sosial?” ujar beliau.


Kami, di pihak Pro-Mahasiswa UTHM berpendirian menolak politik selak kain seperti ini. Isu-isu yang lebih besar didiamkan demi memberi laluan kepada isu video lucah ini. Isu-isu rasuah, salahguna kuasa dan mismanagement disapu terus, masuk ke bawah tikar. Isu video lucah ini diangkat oleh media massa dan menjadi seolah-olah isu nasional yang boleh mengugat dan mengancam keselamatan negara. Walhal, penyelewengan duit rakyat dan dana kerajaan dimainkan secara atas angin sahaja.


Keperluan rakyat perlu lebih mendapat tumpuan daripada kerajaan yang memerintah. Masalah peribadi sesiapa pun, biarlah diri sendiri yang menguruskannya. Kebajikan rakyat di bawah bukan mainan. Kebajikan kepada rakyat bukan hanya sekadar janji-janji yang ditabur sewaktu kempen pilihanraya sahaja. Jika rakyat memberi mandat dan kepercayaan kepada mana-mana parti untuk memerintah, itu merupakan sokongan rakyat kepada janji-janji parti berkenaan dalam memenuhi tuntutan kebajikan rakyat.


Akhir kata, pihak kami berharap pihak kerajaan dan media kembali membincangkan masalah utama negara berbanding masalah peribadi mana-mana pemimpin, dari pihak pembangkang mahupun kerajaan. Pihak kami juga ingin menyeru kepada semua mahasiswa untuk bersatu menolak politik kotor mahupun lucah dan mengangkat politik nilai agar matlamat perjuangan kebajikan rakyat kembali menjadi agenda nasional.

Sunday, April 3, 2011

Kerajaan, Parti Politik dan Mahasiswa


Apabila disebutkan politik, ramai khalayak menghalakan maksudnya kepada parti politik. Kefahaman awam secara dasarnya masih kabur dan kurang jelas dengan definisi politik dan parti politik. Sudah semestinya, politik adalah sesuatu yang berbeza maknanya dan mempunyai skop yang lebih luas.


Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (www.dbp.gov.my), Politik adalah segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah Negara atau hubungannya dengan negara lain. Walaupun ia biasanya digunakan untuk merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh di dapati di dalam bidang korporat, akademik dan lain-lain. Secara sedar atau tidak, setiap hari kita sebagai insan berpolitik. Dari bangunnya kita di pagi hari sehinggalah tidurnya kita di malam hari.


Secara literalnya, Parti Politik bermaksud satu golongan (kumpulan) orang yang bergerak untuk tujuan (dasar dll) yg sama dalam politik. Parti politik juga boleh difahamkan sebagai suatu pertubuhan politik di mana ahlinya mempunyai ideologi serta agendanya tersendiri. Secara jelas, tujuan parti politik ditubuhkan adalah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi parti yang memerintah. Dengan menjadi parti pemerintah, penerapan ideologi dan agendanya dapat dilaksanakan dengan lebih mudah. Mandat yang diberikan oleh rakyat bermakna rakyat yakin dan percaya dengan agenda dan pembawaan sesuatu parti, sama ada parti itu baru ataupun lama.


Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Maksud demokrasi yang mudah difahami di zaman moden ini ialah “form of government, where a constitution guarantees basic personal and political rights, fair and free elections, and independent courts of law” (satu bentuk kerajaan, di mana perlembagannya menjamin hak asasi dan hak politik, pilihanraya yang adil dan badan kehakiman yang bebas). Ini bermaksud, kewujudan pihak pembangkang adalah sesuatu yang biasa di dalam sesebuah sistem demokrasi. Berlawanan pula dengan konsep kerajaan secara Totalitarian, yang menganggap pembangkang adalah musuh dan patut dihapuskan.


Pembangkang di dalam sesebuah sistem demokrasi ialah merupakan satu kumpulan pengimbang yang mengimbangi kuasa kerajaan. Parti memerintah sebagai kerajaan, akan bertindak dengan lunas-lunas yang akan menjamin kesejahteraan rakyat dari semasa ke semasa. Jika kerajaan gagal menangani sesuatu masalah atau mendatangkan satu cadangan yang baik, maka pembangkang akan mengisi kelompongan ini secara tidak langsung. Baik atau tidak cadangan dari pihak pembangkang mahupun kerajaan, hanya rakyat yang menilai. Pernilaian berterusan akan berlaku di pihak rakyat jelata dan bila mana tiba pilihanraya bagi memilih kerajaan setiap lima tahun, segala perkara ini akan ditimbang bagi memilih kerajaan seterusnya. Adakah terus kekal dengan parti pemerintah yang sedia ada atau memilih parti pembangkang bagi menjadi kerajaan seterusnya, pilihannya di tangan rakyat.


Kami, di pihak Pro-Mahasiswa melihat mahasiswa sepatutnya menjadi kuasa ketiga (third force) di Malaysia. Mahasiswa berupaya mengkritik pihak kerajaan dan pada masa yang sama membidas pihak pembangkang. Suara mahasiswa wakil suara marhaen, suara jerih perit rakyat yang berupaya menentukan kerajaan di masa depan dengan memobilasi kekuatan. Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada mahasiswanya. Jika lemah, layu dan longlai, maka masa depan negara itu akan kelihatan suram dan kelam. Sebaliknya, jika mahasiswanya lantang, bersemangat dan berpendirian, maka kekuatan dan keampuhan negara masa depan akan mulai terbentuk.


Mahasiswa hari ini adalah pemimpin pada masa depan. Pemimpin-pemimpin yang hebat pada hari ini lahir daripada kepimpinan di peringkat kampus. Dato’ Saifuddin Abdullah, Dato’ Ibrahim Ali, Dato’ Seri Shabery Chik, Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah nama-nama yang pernah menghiasi gerakan mahasiswa di kampus di sekitar tahun 60an dan 70an. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah (www.saifuddinabdullah.com.my) pernah mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa jangan memperkecilkan suara mahasiswa. Tumbangnya kerajaan Tunisia dan Mesir adalah dari satu revolusi yang digerakkan oleh mahasiswanya.


Sebagai kesimpulannya, kerajaan, parti politik dan mahasiswa adalah tiga elemen yang digaulkan bersekali namun tidak pernah bercampur. Kerajaan itu penting untuk memimpin sesebuah negara. Parti pembangkang itu penting bagi mengimbangi kuasa yang dipunyai oleh parti pemerintah. Mahasiswa atau anak muda yang terpelajar adalah unsur paling penting bagi menjamin kemandirian sesebuah negara di masa depan.