Pro Mahasiswa

Monday, March 8, 2010

Wakil MPP mahasiswa turun padang



1 Mac 2010, Isnin- HOSPITAL BATU PAHAT: Menyedari kebajikan para pelajar di kampus, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2009/2010 (MPP) melahirkan rasa prihatin dengan mengunjungi seorang mahasiswa UTHM yang sebelumnya ditemui pengsan di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) pada 26 Feb 2010 dan dikejarkan ke Hospital Batu Pahat minggu lalu.

Pada awalnya, rawatan diperingkat PKU mengenalpasti pelajar tersebut sebagai pesakit asthma sahaja. Namun, sesudah pengsan dan dibawa ke Hospital Batu Pahat, doktor mengesahkan bahawa peparu pelajar tersebut dijangkiti bakteria dan berada dalam keadaan yang kritikal sehinggakan perlu ditahan ke unit rawatan khas untuk pemeriksaan selanjutnya.

Oleh itu, Majlis Perwakilan Pelajat sesi 2009/2010 melawat pelajar tersebut dan menghulurkan sedikit bantuan berbentuk sokongan kepadanya. Setakat ini, pihak Universiti juga prihatin dengan menyara kos perubatan pelajar tersebut. Demikianlah keprihatinan semua pihak terhadap kebajikan para pelajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Pihak pro-Mahasiswa dimaklumkan bahawa mahasiswa yang ditahan dihospital itu mengalami kesesakan nafas yang teruk akibat daripada udara yang tidak baik memandangkan bahan kimia yang dibebaskan dari kilang yang berdekatan dengan kolej kediaman yang didiami. Beliau menginap di kolej kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI) dimana memaklumkan hampir setaip hari kilang yang membebaskan bahan kimia berupa debu asap menyebabkan nafasnya seringkali sesak dan sukar bernafas.


Oleh itu Pihak Pro-Mahasiswa berharap agar, wakil MPP yang hadir dapat mengusulkan agar membawa isu pembebasan asap kilang ini kepada pihak yang bertanggungjawab. Ini kerana, seolah-olah asap dari kilang yang berdekatan tidak dikawal dengan pembuangannya yang mengakibatkan masalah kesihatan para pelajar dan masyarakat luar mengalami kesakitan sesak nafas, radang dan lain-lain.

Sunday, March 7, 2010

PERJUMPAAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) IPTA 09/10 : SENATOR MAHASISWA DI DALAM PARLIMEN MALAYSIA

6 MAC 2010 - ESSET BANGI. Perjumpaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA sesi 2009/2010 bersama Bahagian Hal Ehwal Dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) telah diadakan di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP (ESSET), Kajang, Selangor. Alhamdulillah, dalam perjumpaan berkenaan pelbagai isu perbincangan yang telah dibincangkan oleh seluruh kepimpinan pelajar MPP IPTA sesin2009/2010.

Pada awal pagi 6 Mac, Ucapan aluan daripada Pengarah BHEPP disampaikan oleh Prof Dr. Mohd Fauzi Bin Hj Ramlan diikuti dengan ucapan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi iaitu Y.Bhg. Prof Dr. Rujhan Bin Mustafa. Kemudian diteruskan lagi dengan sesi suaikenal bersama seluruh pemimpin mahasiswa IPTA oleh setiap presiden MPP.

Pada sesi sebelah petangnya, kesemua kepimpinan mahasiswa dibahagikan kepada 7 kumpulan dimana di dalam kumpulan berkenaan perlu membincangkan isu serta masalah mengenai kertas kerja Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Saya mewakili kampus UTHM secara langsung terlibat didalam perbincangan bagi kumpulan 5 bersama 37 pelajar ahli kumpulan yang diketuai oleh Yang Di-Pertua UIAM, Muhammad Firwan Norliza. Terdsapat 14 isu yang telah dibangkitkan dalam perbincangan berkenaan. Antara 14 isu tersebut, 3 isu daripadanya adalah dikemukakan oleh barisan MPP UTHM. Antara isu dari UTHM ialah Perpaduan dan Kefahaman Agama, Mekanisma dalam Pemahaman Akidah dan Pemantapan Sahsiah Mahasiswa, dan yang terakhirnya adalah mengenai Senator Mahasiswa di Dalam Parlimen Mahasiswa.

Cadangan isu yang saya cuba kemukakan iaitu "Senator Mahasiswa di Dalam Parlimen Mahasiswa" telah diterima. Pada sesi pembentangan, saya membentangkan bagi mewakili kumpulan 5 untuk digazetkan menjadi kertas kerja cadangan dengan tujuan bagi membawa isu ini kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebagai kertas kerja Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi sesi ini.

Kita mengetahui bahawa, senator bagi perfileman telah berada didalam parlimen Malaysia. Menurut pembacaan dan pengamatan saya, sememangnya kemasukan senator berperanan dalam menyuarakan bidang masing-masing . Namun apakah mahasiswa tidak layak menjadi senator di Parlimen Malaysia? Jika mahasiswa di United Kingdom dapat menjadi perwakilan mahasiswa di peringkat Parlimen. Tidak mustahil bagi kepimpinan Mahasiswa di Malaysia mampu melonjak paradigma mereka setaraf dengan kepimpinan negara.

Fungsi sebagai perwakilan mahasiswa dalam parlimen Malaysia adalah membawa suara diperingkat mahasiswa berkaitan dengan segala isu-isu akademik, sosial, ekonomi, kebajikan dan lain-lain dalam ruang lingkup mahasiswa dan pelajar .

Isu dan masalah ini diutarakan kerana, suara mahasiswa terkandas ditengah jalan dimana setiap persidangan MPPK yang digazetkan sebelum ini, terdapat beberapa isu yang masih tidak selesai. Maka, sewajarnya apabila parlimen bersidang mahasiswa dapat memberikan pandangan dan beberapa jalan penyelesaian kepada kepimpinan negara.

Disamping itu, selaras dengan matlamat bahawa mahasiswa adalah pelapis kepimpinan negara. Seringkali dikatakan fungsi MPP dipandang enteng diperingkat pentadbiran universiti malah ada juga yang mengatakan tidak membantu Negara. Mahasiswa sebenarnya bukanlah dikatakan lesu, malah pemikiran dan iedealisme golongan intelektual ini mampu membantu pihak pengurusan universiti dan Negara.


Saya tertarik dengan apa yang saya perolehi pengalaman semasa program pertukaran pelajar di Institut Teknologi Sepuluh Nopember, (ITS) Surabaya Indonesia. Perkara yang menarik yang saya dapat lihat, mahasiswa di sana dapat membentuk identiti mereka sendiri. Dengan alternatif ini secara tidak langsung, Mahasiswa di Malaysia dapat menyuarakan pandangan dan penyelesaian sesuatu isu dalam Parlimen dan seterusnya ‘Pembentukan Standard Universiti’ dapat dihasilkan.

Kesimpulan daripada peringkat perbincangan kumpulan saya, Mahasiswa memerlukan wakil dalam parlimen agar permasalahan mahasiswa dapat didengari dengan lebih efektif. Suka saya meminjam kata-kata seorang profesor .
"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.."
-Profesor Diraja Ungku A. Aziz-



Oleh:
Mohd Hadi Bin Abd Rahman

Naib Yang Di-Pertua 1
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia


sumber: Blog Mohd Hadi bin Abdul Rahman