Pro Mahasiswa

Tuesday, May 17, 2011

Pilihan raya kampus: 17 sahaja didakwa bukan 100, kata UM

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Pentadbiran Universiti Malaya (UM) mengesahkan hanya 17 pelajar yang dikenakan tindakan tatatertib berhubung pilihan raya kampus yang diadakan Februari lalu. Selain itu, pentadbiran UM juga menafikan pusat pengajian tinggi mengenakan tindakan baru terhadap kedua-dua penuntut, yang pernah didakwa sebelum ini, memberi keterangan palsu semasa prosiding jawatankuasa rayuan berhubung dakwaan memalsukan sijil sakit sebelum ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Rohana Yusof berkata, hanya seorang penuntut yang dikenakan tindakan atas kesalahan tersebut.

Sebelum ini, UM telah mendakwa Tan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee atas kesalahan memalsukan sijil sakit semasa pemilihan kampus Februari lalu namun dibebaskan tanpa sebarang tindakan.
Kedua-dua mereka dibebaskan daripada tuduhan memalsukan sijil sakit pada 25 April lalu selepas jawatankuasa rayuan UM mengeluarkan satu keputusan rasmi berhubung status tuduhan tersebut.
Selain dibebaskan daripada digantung satu semester, Tan dan Yeong turut dikecualikan daripada membayar denda RM200 atas dakwaan memalsukan cuti sakit.

Tan merupakan calon yang memenangi kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) manakala Yeong telah tewas.
Menurut Dr Rohana, tuduhan baru dikenakan terhadap Tan kerana dia didapati bersalah atas kesalahan memberikan keterangan palsu.

Selain itu kata beliau, surat tindakan tatatertib itu telah diserahkan kepada Tan pada minggu lalu.
Tan dan Yeong, masing-masing penuntut Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sastera digantung oleh pihak universiti kerana didapati bersalah memalsukan sijil sakit ketika pilihan raya kampus.
Bagaimanapun, jawatankuasa rayuan UM telah membebaskan mereka selepas rayuan diterima.
Dalam pada itu, Dr Rohana turut memberitahu bahawa 17 penuntut lain telah diberikan surat tatatertib kerana melanggar peraturan ditetapkan pihak universiti.

“Ada dua sebab kenapa surat diberi. Pertama, mereka telah membuat sidang media tanpa kebenaran naib canselor dan yang kedua ialah mereka membuat perhimpunan tanpa kebenaran,” katanya.
Beliau juga berkata, keputusan bagi nasib 17 penuntut itu akan ditentukan selepas panel tatatertib bermesyuarat pada 20 Mei ini.

Dr Rohana turut menafikan dakwaan mengatakan bahawa seramai 100 penuntut menerima surat tindakan tatatertib itu.

“Mana ada sampai 100 orang. Awak percaya ke sumber itu? (Hanya) 17 orang sebenarnya yang diberi surat tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) membantah tindakan institut pengajian tinggi itu mengambil tindakan disiplin ke atas penuntut-penuntut, setakat ini dipercayai 15 orang, berhubung pelbagai kesalahan ketika pilihan raya kampus awal tahun ini.

Jumlah itu dilaporkan kemungkinan mencecah 100 orang dan kali pertama membabitkan sejumlah penuntut yang ramai.

0 comments: