Pro Mahasiswa

Friday, November 4, 2011

Salam Aidil Adha Kepada Semua Warga UTHM

Assalamualaikum & salam hormat buat semua,
Di kesempatan ini, warga promahasiswa ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh
umat Islam. Umum sedia maklum, 10 Zulhijjah (esok) merupakan salah satu hari kebesaran bagi umat Islam seluruh dunia. Pada hari yang cukup penting lagi dipenuhi sejarah ini, seluruh umat Islam bertakbir, bertasbih, bertahmid, dan turut beringat-ingat tentang kisah yang menjadi teladan buat kita semua: bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah s.w.t. agar dia dikorbankan.
       Kita semua ingat bagaimana di saat-saat akhir, Allah s.w.t. telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor kibas, yang akhirnya menjadi korban. Tetapi, apa yang harus kita ingat juga ialah pengajaran: betapa peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s., yang harus mengetepikan naluri kebapaannya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Dalam erti kata lain, suatu pengorbanan perlu dilakukan untuk mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri. Pengorbanan inilah yang harus kita ingati dan kita amalkan dalam kehidupan kita sebagai seorang Islam.
       Marilah kita mengambil ikhtibar tentang pengorbanan ini melalui sirah di zaman para anbiya', para sahabat, ulama'-ulama' mahupun tokoh-tokoh perjuangan selepas era khulafa' sehinggalah sekarang. Ambillah teladan dari kisah-kisah yang telah berlaku mahupun yang sedang berlaku. Setiap kejayaan yang kita inginkan sebenarnya memerlukan pengorbanan yang banyak. Kita harus bersabar dengan segala dugaan, berteduh dengan iman akibat setiap kehilangan, dan berpasakkan idealisme perjuangan, barulah kita akan mampu mengecapi kejayaan yang kita impikan.
       Akhir kata dari Pro Mahasiswa UTHM, Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua warga UTHM kami ucapkan, mohon maaf atas segala salah dan silap. Kepada mereka yang balik ke kampung, berhati-hati di jalan raya. Manakala bagi mereka yang tidak balik, marilah bersama-sama memeriahkan sambutan Aidil Adha ini di kampus UTHM (ada lembu kot,kna ikat kat belakang masjid baru). Sekian.

0 comments: