Pro Mahasiswa

Tuesday, March 3, 2009

Pendirian Pro Mahasiswa UTHM berkaitan isu PPMSI


Batu Pahat, 3 Mac - Pro Mahasiswa UTHM menyambut baik cadangan dari beberapa persatuan dan gabungan untuk memobilasi seluruh mahasiswa turun dalam himpunan mansuhkan PPMSI pada 7 Mac (Sabtu). Kehadiran kita pada perhimpunan ini adalah bukan mewakili mana-mana parti politik atau sebaliknya, tetapi ianya merupakan suara mahasiswa dalam menyatakan pendirian berkaitan isu ini.

"Walau bagaimanapun, kami kecewa kerana ada pihak yang cuba memprovokasi isu ini dengan mengkaitkannya dengan sentimen politik seperti penemuan beberapa poster berkaitan PPMSI tetapi tertulis perkataan provokasi terhadap pari politik di kampus kita.

"Ingin saya tegaskan lagi di sini supaya mahasiswa UTHM tidak terpengaruh dengan provokasi tersebut dan kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokasi tersebut yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kampus kita.

"Apa yang kami harapkan adalah seluruh mahasiswa UTHM faham berkaitan isu PPMSI ini dan seterusnya turun beramai-ramai dalam menyatakan pendirian kita berkaitan isu ini. Oleh itu,mahasiswa UTHM perlu mengorbankan sedikit masa dan wang dalam membantu kerajaan untuk memutuskan keputusan yang terbaik agar jangan sampai Bahasa Melayu tergadai di tanah Melayu sendiri" ujar Ketua Penaja Pro Mahasiswa UTHM

Memetik kata-kata Datuk A. Samad Said berkaitan isu ini, seharusnya mahasiswa tercabar denganr pendirian tegas sasterawan negara itu. Oleh itu terjemahkan pendirian anda dengan hadir beramai-ramai dalam perhimpunan pada kali ini.

"Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan.Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah Sasterawan Rakyat’ yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.

“Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti,” katanya di kediaman rasmi menteri Besar Kelantan.

1 comments:

Bahasa Zat Kita

Mamanda Mamak Menteri pun memutar belit kata, bersilat berhujah: 'Kalau kita dapat kuasai bahasa kertas itu ditulis maka kita boleh akses ilmu kajian itu secara langsung. Kita nak lihat rakyat Malaysia yang berilmu, bukan sekadar boleh bercakap bahasa kebangsaan.' (Di sini)

Jawapannya: Aduhai, siapa pula yang tidak mahu rakyat Malaysia berilmu? Siapa pula mahu orang Malaysia hanya boleh menutur bahasa Kebangsaan? Tentu, kita semua mahu lebih banyak saintis dan ilmuan menghasilkan dan mencipta. Bangsa iran yang dah menghantar roket ke angkasa juga mencipta tetapi di peringkat rendah, anak-anak mereka belajar dalam bahasa ibunda. Mereka malah mencipta vaksin selsema burung yang dibeli kita (baca sini tentang vaksin), tetapi kalau bertutur dengan kita akan tetap mengelak berbahasa orang.

Tambah Mamak Menteri: 'Islam gesa umatnya menuntut ilmu dan orang Arab dahulu belajar bahasa Greek untuk mendapatkan ilmu daripada orang Greek dan begitu juga orang Eropah belajar bahasa Arab untuk dapatkan ilmu daripada orang Arab pada abad ke-15. Hari ini kita kena akui siapa belajar perubatan akan menggunakan buku teks dalam bahasa Inggeris, tiada buku teks dalam bahasa Melayu.'

Jawapannya: Memang benar, tiada penafian. Abu Musa Jabbir bin Hayyan (atau di Barat dikenal sebagai Geber), adalah bapa kimia dunia, juga antara saintis terulung yang menguasai bahasa Greek. Tetapi beliau belajar ilmu kimiawi dari gurunya, Imam Jaafar as-Sadiq (Imam ke enam orang syiah Imamiyyah: ya Hayyan adalah pengikut syiah) dalam bahasa Arab, bahasa ibundanya.

Tetapi, setelah semakin menguasai ilmu kimiawi, tentu beliau perlu menguasai bahasa Greek. Pun beliau membaca dan menggali ilmu kimia dalam bahasa Greek dan membawanya pulang dalam bahasa Arab. Maka beratus karya beliau ditulis (katanya: 500 buku) dalam bahasa Arab dan hanya sejumlah kecil yang diterjemah ke bahasa Inggeris sehingga kini. Kitab Al-Kimya (diterjemahkan ke Inggeris menjadi The Book of the Composition of Alchemy itulah yang menjadi kanun utamanya). Pada tahun 1678, Richard Russel, mengalihbahasakan karya Jabir yang lain dengan judul Summa of Perfection. Dalam benak Jabbar Ibnu Hayyan, dia mahu menguasai ilmu kimia dengan niat untuk mengangkat peradaban Islam. Kita mahu anak-anak kita yang berminat menjadi ahli kimia untuk belajar dalam bahasa kebangsaan, bila berminat maka pergilah menggali ilmu kimia sampai ke Mongolia sekalipun, belajar dalam bahasa mereka; pulang ke Malaysia mencipta, mengkaji dan menulis buku dalam bahasa kebangsaan. Susah sangat ke nak faham. Kita mahu peradaban kita maju dan terangkat dengan cara itu. Cara yang dah digunakan oleh Ibnu Hayyan dan sekian ramai ilmuan Islam. Tetapi Mamak Menteri nampaknya tidak mahu begitu.

Apa mahunya kita pun tak tahu.

Dalam bidang perubatan, umat Islam ada Ibnu Sinna. Orang Parsi (betul, dia syiah juga). Beliau lebih dikenali di Barat dengan nama Avicenna, bernama lengkap Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina. Tahukah Mamak Menteri, Ibnu Sinna sebelum menguasai ilmu perubatan dengan begitu hebat, telah menguasai bahasa dan sastera Parsi-Arab terlebih dahulu?

Kenal jati diri bangsa dahulu. Baru pergi keluar gali ilmu orang.

Ya, mulakan dengan bahasa kebangsaan secara bergaya, kemudian kuasai bahasa lain. Itu strategi yang telah berjaya zaman berzaman. Tapi, strategi Mamak Menteri songsang, akan mengakibatkan bahasa Inggeris pun lintang pukang (one and one so two; two push one so one), bahasa Kebangsaan pun tunggang langgang (baca entri Karangan), akhirnya kita menghasilkan generasi bangang!

Kemudian setelah kenal basis dan jati diri bangsa menerusi bahasanya, barulah Ibnu Sinna menguasai ilmu perubatan. Setelah mencedok dan belajar ilmu tersebut dalam bahasa Greek; adakah beliau menulis dalam bahasa Greek?

Maaf!

Beliau menulis dalam bahasa Arab (waktu itu di Iran, bahasa Arab adalah bahasa rasmi), sehingga orang Greek (guru) yang terpaksa menerjemahkan semula tulisan beliau (murid) kerana kini murid telah menguasai guru. Ini strategi Iran yang kekal berjaya sehingga hari ini, mencipta roket, vaksin, senjata dan mencengangkan musuh dan kawan. Pada abad ke 12 Masehi, Gerard Cremona yang berpindah ke Toledo, Sepanyol telah menerjemahkan buku Ibnu Sina ke bahasa Latin. Buku ini menjadi buku rujukan utama di universiti Eropah hingga 1500 Masehi. Bukunya telah disalin (cetak ) sebanyak 16 kali dan 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah edisi dalam bahasa Yahudi (Hebrew). Disamping itu buku tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Itali. Pada abad ke 16 Masehi, buku ini dicetak 21 kali.

Dengan itu peradaban Islam dikagumi dan disifatkan sebagai unggul. Kita 'mencipta yang kita kita punya dalam bahasa kita dan semangat kita; dengan zat kita.'

Tetapi Yang Dr Mamak ini mahukan ialah belajar, menulis, mencipta dalam bahasa penjajah kita. Kita ini sudah merdeka ke belum ya Mamak Menteri? Siapa yang berfikir dengan matang akan terbeliak biji mata kerana tidak faham cara berfikir Mamak Menteri.

Nah, Al-Qanun Fit-Tibb karangan Ibnu Sinna juga digunakan sebagai buku teks kedoktoran di banyak universiti di Perancis. Misalnya di Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Louvin telah menggunakannya sebagai bahan rujukan pada abad ke 17 Masehi. Sementara itu Prof. Phillip K. Hitpi telah menganggap buku tersebut sebagai "Ensiklopedia Kedoktoran".

Penulis Barat telah menganggap Ibnu Sina sebagai ‘Bapa Doktor’ kerana Ibnu Sina telah menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen dan pengalaman dari ahli-ahli perubatan dari India dan Parsi dan pengalaman beliau sendiri.

Nah, kita gali daripada orang, kita bawa pulang dan kita cipta yang kita punya sendiri, dalam bahasa kita; dengan semangat kita dan berbumbukan zat kita.

Susah sangat ke hal ini untuk difahami? Mengapa memutar belit isu ini sampai susah begini?

Atau adakah isu ini dipertahankan kerana ada udang besar yang menguntungkan di sebalik batu?

Wallahu'alam.