Pro Mahasiswa

Wednesday, January 6, 2010

Selesai integrasi agama dengan dialog - PMIUM

Lembah Pantai 6 Jan 11:35a.m │ “Selesai integrasi dan isu antara agama dengan dialog”, itu pendirian Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

Kenyataan yang dikeluarkan persatuan berkenaan pagi tadi berikutan isu penggunaan nama “Allah” yang mengundang reaksi pelbagai pihak sama ada menyokong atau membantah.

Presidennya, Shazni Munir Ithnin menyatakan isu berkenaan “perlu diberi penjelasan kepada umum” dan selesaikan isu dan masalah antara agama dan kaum dengan dialog terbuka dan diskusi.

“Kami tidak bersetuju isu ini direspon secara “reaksi gelabah” beberapa pihak, ianya mungkin akan disalah anggap dan seterusnya cetuskan sentimen, tidak keterlaluan ianya sentimen perkauman,” ujar beliau dalam kenyataan media pagi ini.

Pada beliau, suasana Malaysia yang unik dan pelbagai kaum perlu diambil kira dalam mengendalikan isu-isu sensitif.

“Jangan orang salah anggap demonstrasi yang dibuat ialah protes kepada sentimen perkauman,” tambah beliau.

Shazni juga pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berpendapat isu ini menjadi titik tolak kematangan dan keterbukaan masyarakat Malaysia dalam berbincang tentang isu-isu sensitif yang sebelum ini “disimpan beku akibat retorik sesuatu golongan”.

“Kita perlu lebih matang dalam membina integrasi sosial dan kesefahaman agama, kita (di Malaysia) macam-macam kaum, agama, bangsa, etnik, fahaman, jadi nak selesaikan perlulah kepada diskusi, debat intelek dan dialog, dan inilah titik tolak kematangan dan keterbukaan rakyat,” tambah beliau.

Dalam pada itu, persatuan berkenaan dengan kerjasama Free Public Forum bakal mengadakan Forum terbuka bertajuk ‘“Allah”: Siapa Yang Punya?’ pada 11 Januari 2010 bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur bermula jam 7.45 malam.

Antara panelis yang hadir ialah Dr. Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, Timbalan Presiden Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM),YB Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam dan Sdr. Eddin Khoo, penulis, budayawan dan pengkaji agama.

Tan Sri Murphy Pakiam terpaksa menarik diri dengan alasan “biarkan isu sejuk dahulu” seperti yang dimaklumkan pihak pengunjur.-Mahasiswakini

0 comments: