Pro Mahasiswa

Monday, January 17, 2011

PERUTUSAN KOORDINATOR PRO MAHASISWA UTHM


Tidak sempurna iman seseorang itu, sehinggalah dia mengasihi saudaranya, seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Dalam pelbagai kesempatan selalu muncul kegelisahan yang mempersoalkan gerakan dan pemikiran lesu di kalangan mahasiswa sebagai golongan intelektual dan lebih-lebih lagi sebagai generasi penggerak kepimpinan muda. Pengamatan kepada masalah integriti dan sosial mahasiswa, penularan salah faham terhadap gerakan mahasiswa, perkembangan negara dan antarabangsa serta sifat cakna akan saudara kita tidak mengira perbezaan kaum maupun agama telah menjadi tuntutan kepada kita untuk diperjuangkan. Maka, memahami senario kampus dan luar kampus, menganalisis cara pemikiran golongan muda, memahami gaya dan rentak perjuangan mahasiswa, pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari.

Oleh itu pendekatan pemimpin mahasiswa yang lebih menarik perlu diterokai oleh para mahasiswa bagi membudayakan diri dengan membaca, memahami dan menganalisis setiap perkara yang berlaku disekelilingnya. Elemen-elemen inilah yang memerlukan individu yang berkebolehan memimpin kepada sesuatu perubahan dengan bercirikan al-qawiyy (yang kuat) dan keunggulan akhlak dan peribadi yang baik iaitu al’-amin (benar dan amanah). Harus diingat, ‘tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin’. Almarhum bapak Mohammad Natsir, pernah mengatakan “pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat

Warga kampus sekalian, setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup. Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian. Dalam proses membuat suatu perubahan, begitu banyak persediaan perlu ada dalam diri mahasiswa. Mahasiswa tidak perlu menunggu sehingga lengkap segala persediaan untuk mengatur tindakan ke arah perubahan tetapi segala persediaan perlu diiringi dengan pengurusan dan tindakan yang dinamik.

Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa Pro-Mahasiswa UTHM adalah sebuah wadah (saluran) bagi kesatuan mahasiswa dan mahasiswi UTHM yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kita sewajarnya membuat persediaan secukupnya untuk memimpin suatu gerakan bagi menangani perubahan yang berlaku di masa depan. Untuk melaksanakan ini semua, segala sumber dan kebolehan yang ada seperti kekuatan sahsiah, kebolehan, kemahiran, kepakaran, ilmu yang mantap, istiqamah dan daya juang yang tinggi, mestilah digemblengkan menjadi suatu tenaga yang kukuh dan seterusnya menjadi pemimpin bagi suatu kekuatan yang mampu menangani perubahan yang berlaku. Akhir kalam yang tersemat disanubari penulis...

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." Profesor Diraja Ungku A. Aziz

Thursday, January 13, 2011

Ciri-ciri Kepimpinan Mahasiswa

Setiap dari kita merupakan pemimpin. Tunjang kepimpinan adalah merupakan memimpin diri kita sendiri untuk meneraju yang lainnya.

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab dengan pimpinannya.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Begitulah hadis yang mengatakan bahawa kita semua adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.

Pemimpin dari sudut Islam bukanlah suatu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu dijadikan rebutan kerana ia bukanlah suatu tashrif (kebesaran dan kemegahan) namun sebenarnya adalah suatu takhlif (amanah dan tanggungjawab) dan Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada Abu Dzar Al-Ghifari yang memohon satu jawatan untuk mentadbir Wilayah Islam dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah,pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan,kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggungjawabkan”

Amanah yang dimaksudkan di sini bukan setakat menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada golongan yang dipimpin, akan tetapi yang lebih diutamakan oleh islam adalah menyempurnakan amanah kepada Allah SWT.

Dalam konteks sebagai seorang mahasiswa, jika dihubungkaitkan dengan kepimpinan, ia bermakna wujudnya beberapa ‘figure’ pemimpin dan kualiti kepimpinan organisasi mahasiswa yang mampu mencapai serta memenuhi piawai yang terbaik dan memuaskan para pengikut malah umat yang menyaksikan agenda bertindak dan operasi organisasi yang berkenaan. Namun seorang pemimpin mahasiswa ini haruslah mempunya ciri-ciri yang saling melengkapi supaya apa yang diperjuangkan betul-betul terkesan terhadap mahasiswa yang dipimpinnya.

Kriteria yang amat perlu dimiliki saling berkaitan dahulunya dengan dasar perjuangan. Apakah sebenarnya yang menjadi tunjang kepada pimpinan seorang mahasiswa itu?

Kriteria utama merupakan kemestian untuk miliki prinsip yang berasaskan pegangan agama Islam yang kukuh dan sangat faham akan konsep dosa pahala serta syurga dan neraka. Mereka perlu konsisten memperjuangkan Islam serta mendukung kepimpinan Islam yang menyanjung kepimpinan para pewaris nabi atau para alim ulama'. Memiliki keperibadian Islam yang baik amat penting bagi mahasiswa muslim dimana pimpinan mahasiswa Islam yang mempunyai ciri-ciri ketaqwaan seperti yang diperincikan oleh Al-Qur'an.

Kecemerlangan akademik merupakan tiket utama dan kelebihan bagi seorang pemimpin mahasiswa kerana merupakan golongan yang terpelajar dibawah pengaruh universiti. Kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis. Kepimpinan harus menonjolkan dengan lebih terserlah bakat ilmuan yang ada sebagai pemacu untuk menggarap tahap itegrasi tinggi dikalangan mahasiswa sendiri amnya.

Seorang pemimpin itu mestilah cekap, berketrampilan dan berkeyakinan tinggi. Kepimpinan yang terlatih dan berpengalaman dalam menghadapi politik kampus sudah pasti akan lebih berjaya dari kepimpinan yang mentah dan kurang berpengalaman. Lebih jauh kepimpinan yang mempunyai berbagai kemahiran sudah pasti akan menempa kejayaan yang lebih menyerlah.

Kepimpinan mahasiswa semestinya mempunyai ketrampilan menggarapi aspek wawasan politik yang jelas. Kepimpinan di kampus adalah anak tangga untuk kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi. Wawasan politik yang benar seharusnya telah ditemui dan diyakini dari peringkat kampus lagi sehingga ianya semakin kukuh dan bercambah di peringkat nasional dan antarabangsa. Sekiranya perkara ini masih kabur dan tidak mantap di peringkat mahasiswa lagi maka kelewatan menemui wawasan politik Islam yang sebenar merupakan titik kelemahan yang ketara.

Seorang mahasiswa yang berbekalkan semangat aktivis yang gigih, kreatif serta inovatif amat penting kerana nilai seorang pemimpin mahasiswa tidak lahir dari kekosongan. Ia lahir dari kalangan massa mahasiswa dan mencerminkan nilai atau kualiti keunggulan mahasiswa itu sendiri. Pemimpin yang cemerlang lahir dari lautan siswa yang cemerlang, gigih, kreatif dan inovatif. Dari sudut positif lain, seorang pemimpin tersebut mestilah seorang menguasai kemahiran komunikasi yang cekap dan baik seperti bercakap, berpidato, berkomunikasi dengan pelbagai jenis dan aras pemikiran manusia yang dipimpin.

Pimpinan organisasi mahasiswa perlu memiliki kemahiran merentasi halangan cita-cita organisasi. Mustahak bagi mereka untuk menguasai seni mengemudikan konflik untuk mencapai tahap perlaksanaan yang lebih tinggi dan maju. Kemenangan perlu berupaya diraih melalui laluan sukar dan halangan yang getir sekalipun. Kejayaan pemimpin bukan mutlak daripada pemimpin tetapi juga kerana adanya kerjasama, sokongan dan sikap kesetiaan terhadap organisasi dan sikap ingin melihat ia berjaya. Hubungan yang positif antara pemimpin yang baik dengan para pengikut yang gigih sudah pasti menghasilkan peningkatan dalam mutu kerja aras pencapaian organisasi.

Dalam mencapai aspirasi pembangunan misalnya, manusia adalah unsur yang paling menentukan kejayaannya. Pembangunan tidak bererti jika manusia itu sendiri runtuh. Justeru itu nilai-nilai akhlak amat perlu diberi penekanan dalam kepimpinan kemahasiswaan agar pembangunan yang ingin digarap seimbang dengan nilai-nilai keislaman. Nilai sahsiah yang tinggi amat perlu terserlah yang mesti ada pada pemimpin mahasiswa dari pelbagai aspek seperti gaya bertingkah-laku, berpakaian, bergaul, kebersihan diri dan seumpamanya. Pihak pemimpin ini dikatakan menjadi role model terhadap mereka yang dipimpin serta menjadi pucuk perbualan para mahasiswa lain.Tidak ada ertinya pembangunan tanpa kesehjahteraan dunia dan akhirat.

Konklusinya, dasar perjuangan mahasiswa mestilah berlandaskan nilai-nilai Islam serta . Mahasiswa sebagai kumpulan manusia berilmu dan sentiasa mencari ilmu perlu mendampingkan keilmuan mereka dengan iman, Islam dan ihsan. Inilah yang dikatakan dasar perjuangan kerana Allah. Matlamat bersama hendaklah jelas, spesifik, boleh dicapai dan mempunyai tempoh masa untuk berjuang, walaupun perjuangan itu dilihat hanya di medan kampus semata. Namun ia merupakan pra permulaaan untk menempuhi medan realiti apabila berhadapan dengan dunia luar kelak.

Monday, January 10, 2011

Mahasiswa & Perubahan

Saban tahun, setiap kali pilihanraya kampus diadakan di institusi pengajian tinggi samada awam ataupun swasta pasti ianya menggamatkan suasana. Pada tahun ini juga, pasti kancah Pilihanraya Kampus akan menjadi lebih hangat terutamanya UTHM sendiri yang sedang meningkat naik selari dengan pembangunan dan kematangan pemikiran mahasiswanya. Pilihanraya Kampus UTHM yang dijangkakan akan berlangsung pada akhir bulan febuari diharapkan dapat menghasilkan pimpinan yang mampu melakukan perubahan.

Persoalan besar yang sering bermain di minda ramai pihak ialah mengapa para mahasiswa mengambil berat akan pilihanraya kampus ini? Adakah ingin menunjukkan jaguh atau sekadar suka-suka untuk menempah nama. Atau ingin dapatkan alaun. Atau juga sebagai alat pro kepada kumpulan tertentu yang berkepentingan?

Sebenarnya, Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada mahasiswa itu sendiri. Sekiranya dahulu, pemilihan pengawas di sekolah hanyalah lantikan dan bukan pemilihan, tetapi ia senario berbeza di Universiti.

Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpin mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, yang boleh mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan juga pelbagai program intelektual lain.

Para mahasiswa yang keluar mengundi inginkan pemimpin yang boleh memacu perubahan ke arah penegakkan haknya di universiti. Pemimpin pelajar yang terpilih itu pula perlulah menjadi pemimpin yang boleh merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa kepada pelajar yang miliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.Selain itu, pemimpin pelajar yang dipilih juga wajar dilihat sebagai pemimpin pembina budaya (culture builder).

Selanjutnya, PRK merupakan medan demokrasi yang mengajar para mahasiswa erti pilihanraya. Bermula daripada pemilihan calon, hari penamaan calon, kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi, ia merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum. Mahasiswa yang didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya dapat diadaptasikan oleh mereka setelah keluar dari menara gading.

Demokrasi ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa bahawa pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan kepimpinan pelajar. Jadi, faktor pemakaian demokrasi dalam diri mahasiswa adalah penting sebelum mahasiswa menemui dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu politik.

Di samping itu, kepimpinan negara amat memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga hal ehwal dalaman negara kita.

Sekiranya kita selongkar sejarah lama, pemimpin pelajar seperti Shabery Cheek, Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Husam Musa, Abu Bakar Chik dan ramai lagi pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar.

Oleh yang demikian, jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam pembangunan negara. PRK turut mengajar erti kebebasan memilih kepada para mahasiswa dalam pemilihan pemimpin pelajar.

Janganlah pilihanraya kampus yang bernilai tinggi ini hanya melahirkan pemimpin yang hanya ‘angguk-angguk, tetapi tidak berani ‘geleng-geleng’ dan ini akan merencatkan pertumbuhan penghasilan pemimpin masyarakat yang berkaliber di negara bertuah ini.

:::::BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN::::

Monday, December 6, 2010

MPP PRO MAHASISWA BERKERJASAMA DENGAN PIHAK POLIS PANTAU KESELAMATAN RUMAH MAHASISWA SEMPENA CUTI SEMESTER.

Saudara Fauzi dan Saudari Salbiah tekun mendengar penerangan daripada pegawai polis.

Sempena cuti semestar yang hampir tiba, MPP Pro Mahasiswa yang cakna dan mengambil berat mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh mahasiswa telah mengambil tindakan yang pantas dengan mengadakan satu pertemuan dengan pegawai polis Parit Raja. Dalam pertemuan tersebut, MPP Pro Mahasiswa telah berbincang mengenai keselamatan rumah sewa mahasiswa tanpa asrama serta meminta kerjasama pegawai polis untuk membuat rondaan bagi memantau rumah-rumah tersebut semasa cuti semester.

Borang yang perlu diisi oleh pelajar tanpa asrama.

Hasil perbincangan tersebut, pegawai polis,Sub Inspektor Sukiman Bin Badari menyarankan kepada mahasiswa yang ingin rumah mereka dipantau supaya mengisi borang khas bagi memudahkan pihak polis melakukan pantauan. Borang tersebut boleh didapati di Balai Polis Parit Raja dan MPP.



Untuk maklumat lanjut boleh hubungi ;
SUB INSPEKTOR SUKIMAN BIN BADARI, NO. TELEFON : 013-3664994

Sunday, November 28, 2010

Jagalah Aurat, Jauhi maksiat, Jangan tinggal solat


Pro Mahasiswa Universiti Tun Husein Onn Malaysia (UTHM) telah menjayakan program 3J. 3J disini merangkumi program Jauhi maksiat, Jagalah aurat, Jangan tinggal solat.

Antara pengisian program adalah:

1. Kempen 3J

2. Project Runway:You are Beautiful,

3. Garden Talk: love is cinta

4. Pameran 3J

5. konvoi kembara 3J

Objektif program yang berlangsung selama dua bulan ini adalah membudayakan gaya pemakaian yang sopan dan menutup aurat di kalangan mahasiswa mengurangkan kadar masalah sosial yang boleh mendorong ke arah kemaksiatan dan meningkatkan kesedaran sahsiah di kalangan masyarakat kampus.

Konvoi kembara 3J adalah acara kemuncak program 3J ini. Konvoi yang disertai seramai 80 orang ini terdiri daripada pelajar universiti terbabit. Konvoi 3j dijalankan untuk menggerakkan dakwah bagi mewujudkan bi’ah solehah di kampus uthm.

Semasa sesi konvoi dari kolej ke kolej, borang soal selidik 3j dan bahan-bahan kempen seperti button badge, bookmark dan risalah diedarkan kepada mahasiswa uthm.

“Program yang berkonsep “amar makruf nahi mungkar” sebegini dapat diteruskan bukan

sahaja dikampus UTHM tetapi juga di kampus-kampus lain” ujar Salbiah bt Zahari,Timbalan Pengerusi Jabatan Kerohanian dan Pembangunan Sahsiah, Majlis Perwakilan Pelajar, UTHM.

Program sebegini wajar dicontohi oleh institut pengajian tinggi lain dimana perkara sebegini yang merangkumi ketiga-tiga aspek ini sering diambil enteng oleh sebilangan pelajar. Kegigihan dan kesungguhan mereka juga wajar dihargai dan ambil ikutan supaya dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi bersahsiah tinggi.

Tuesday, November 23, 2010

Penukaran Pembiayaan Pendidikan PTPTN dari 3% ke 1%

Salam.

Disini pihak Pro Mahasiswa mengajak para mahasiswa UTHM yang mengambil pinjaman PTPTN agar menukarkan pembiayaan pendidikan PTPTN dari 3% kepada 1%.

Berikut ada cara-cara untuk menukarkan pembiayaan tersebut:

1.) Pergi ke laman web PTPTN.

2.) Isikan nombor Kad Pengenalan dan emel.

3.) Selepas itu, pihak PTPTN akan menghantar mesej ke emel anda.

4.) Satu pautan khas akan dihantar melalui alamat emel yang didaftarkan supaya anda dapat mengisi maklumat-maklumat wajib untuk penukaran pinjaman kepada pembiayaan pendidikan PTPTN.

5.) Anda mestilah memastikan maklumat yang diisi adalah tepat dan betul sebelum menekan butang "Teruskan" bagi tujuan pendaftaran. Setiap pendaftaran yang telah dihantar TIDAK boleh dibuat pindaan lagi.

6.) Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi PTPTN HOTLINE di talian 03-2080 4455.

7.) Semakan Jadual Kemaskini Maklumat Bagi Proses Penawaran Ujrah SILA RUJUK DI SINI.

Sekian.

Selamat Menghadapi Peperiksaan!

Friday, October 15, 2010

Hiburan Melampau: Siapa Yang Bertanggungjawab?

Salam Perjuangan Mahasiswa

Konsert born 4 nature telah pun berlalu dengan sangat mengecewakan dan menyedihkan. Ianya seolah-olah suatu event yang sangat teragis dan memalukan UTHM sebagai salah sebuah IPTA yang baru meningkat naik dan telah di cemari dengan perkara yang seperti ini. Siapakah yang patut dipersalahkan dan siapakah yang patut dipertanggungjawabkan ke atas malu yang diterima oleh semua warga UTHM.

Sebelum berlangsungnya konsert tersebut di peringkat Pro-Mahasiswa, kami sekeras-kerasnya membantah akan penganjuran konsert tersebut. Setelah hampir dua jam kami duduk semeja dengan pihak HEP, Pusat Islam, Badan Kerohanian & Etika (BKE) setiap Kolej Kediaman, Pro-Aspirasi dan pihak kami sendiri, beberapa perkara telah diputuskan dan dipersetujui dari setiap daripada ahli mesyuarat. Di sana kami telah membincangkan tentang apa manfaatnya sekiranya konsert ini terus di adakan dan adakah konsert ini mampu untuk tidak melanggar syariat dan lunas-lunas yang ditetapkan oleh islam. Walaubagaimanapun di peringkat Pro-Mahasiswa, kami tetap membantah sekeras-kerasnya akan kewujudan konsert Born 4 Nature di bumi UTHM.

Hasil dari perbincangan tersebut beberapa persetujuaan terpaksa dibuat berikutan kedegilan pihak penganjur tetap ingin meneruskan hasrat mereka untuk mengadakan kosert tersebut. Pihak penganjur juga turut berjanji akan mengikut segala guideline yang dipersetuji didalam perbincangan yang dibuat. Berikut adalah perkara yang diputuskan hasil perbincangan tersebut :-
1.
Konsert tersebut tidak disertai penyanyi dari kalangan wanita.

2.
Tidak wujud pergaulan bebas antara lelaki dan wanita dengan meletakkan partision bagi mengasingkan antara lelaki dan wanita.

3.
Pencahayaan mestilah diberikan secukupnya semasa konsert berjalan bagi mewujudkan kawasan yang lebih terang memandangkan konsert berlangsung pada waktu malam.

Namun janji hanya tinggal janji dek kerana keghairahan pihak penganjur untuk tetap ingin meneruskan konsert yang mereka banggakan itu. Apa yang berlaku tidak berjalan sepertimana yang dirancang. Apa yang dijanjikan tidak dikotakan. Konsert yang berlangsung seperti parti liar. Berjoget, menari, terlompat-lompat, goyang kepala dan sebagainya seperti orang tidak beragama walaupun di atas kad pengenalan adalah islam. Pergaulan antara lelaki dan wanita sangat bebas kerana tiada pengawasan dari pihak penganjur dan tiada partision disediakan untuk memisahkan lelaki dan wanita. Keadaan di tapak konsert juga sangat gelap dan boleh menyebabkan pelbagai insiden yang tidak diingini berlaku


Kami di Pro-mahasiswa mengharapkan para pembaca dapat menilai apa yang realitinya sedang berlaku di bumi UTHM ini. Sekiranya agenda-agenda yang cuba diperjuangkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini tidak disekat, adakah misi UTHM untuk melahirkan dan melatih ahli profesional yang bersahsiah mulia dan berdaya saing yang berteraskan konsep tauhid akan tercapai?.

Sunday, August 22, 2010

Jawapan kepada mahasiswa tidak boleh berpolitik

Salam perjuangan mahasiswa.

Sejak beberapa minggu yang lalu kita sering mendengar berita mengenai mahasiwa tidak boleh berpolitik. Antara yang paling hangat ialah kenyataan dari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin. Antara hujah beliau adalah mahasiswa terikat dengan peraturan AUKU. Bagi beliau, pindaan AUKU pada tahun lepas telahpun memberi kebebasan mahasiswa untuk berpolitik.

Bagi pihak Pro-Mahasiswa, kami amat menyanjung kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu. Tetapi baru-baru ini, kerajaan pula telah membenarkan para guru kembali terlibat dalam politik. Mengapa ini berlaku? Bagi pihak Pro-Mahasiswa, perumpamaan larangan kepada mahasiswa dan pensyarah berpolitik tetapi membenarkan guru seperti dalam situasi peperangan di mana para jeneral dilarang sebaliknya hanya korperal dibenarkan. Ini kerana golongan mahasiswa bukan hanya terdiri daripada diploma ataupun ijazah sarjana muda, bahkan merangkumi ijazah dan PHD. Mereka ini terdiri dari golongan intelektual dan mampu mengubah lanskap negara dengan lebih baik.

Dengan ini, kami di pihak Pro-Mahasiswa amat yakin sekali bahawa larangan kepada golongan cerdik pandai seperti mahasiswa dan pensyarah itu adalah menggambarkan rasa kurang yakin kerajaan terhadap sokongan mereka yang mungkin tidak berpihak kepada kerajaan atau Umno-BN. Mengapa perlu ditindas hak-hak mahasiswa hanya kerana golongan ini tidak memihak kepada sesuatu pihak?

Semalam, pihak Pro-Mahasiswa seolah-olah ditempelak oleh sesuatu. Didalam kehangatan mengenai isu "Mahasiswa tidak boleh berpolitik", tiba-tiba terdapat satu program Diskusi Aspirasi yang membincangkan tajuk "Mahasiswa dan politik kepartian". Ahli panelnya pula terdiri dari parti UMNO dan Pro-Aspirasi iaitu Dato' Mukriz bin Mahathir selaku exco Pemuda UMNO, Mohd Shahar Abdullah selaku Presiden Alumni ASPIRASI dan Ahmad Wafi Shahedan selaku MPP dari wakil ASPIRASI.



Soalnya, mengapa ini berlaku?
Terlalu jelas bahawa UMNO, iaitu parti yang menerajui pemerintahan Malaysia mempunyai hubungan yang erat dengan suatu kelompok mahasiswa yakni ASPIRASI.
Mengapa mereka ini tidak dikenakan tindakan atas tindakan yang mendorong mahasiswa terlibat dengan politik?

Kami sebagai mahasiswa sudah muak dengan tipu helah golongan-golongan yang selalu menindas mahasiswa untuk kepentingan diri.
Ayuh mahasiswa! Bangkitlah untuk hak rakyat.

Thursday, August 12, 2010

Mahasiswa tidak di benarkan berpolitik?

Mahasiswa sekali lagi cuba diperbodohkan. Maruah mahasiswa ibarat di letak bawah tapak kasut. Langsung tidak diiktiraf dan dihormati.

Paling dikesali mereka terdiri daripada yang berjawatan tinggi, berkelulusan pendidikan tinggi namun kenyataan dan pandangan mereka terhadap entiti mahasiswa ini tidak melambangkan ciri-ciri kelimuan yang sebenar.

Pro M berpandangan Program Soal Jawab di TV3 sminggu lalu yang dibarisi oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan bekas Naib Canselor Universiti Tan Sri Ibrahim Abu Shah sangat wajar diteruskan. Ia mengambarkan keterbukaan media untuk membincangkan persoalan hak di media arus utama.

Namun Pro M kesal dengan beberapa kenyataan Tan Sri Ibrahim yang ternyata penuh dengan prasangka negatif terhadap mahasiswa. Sesi soal jawab yang membincangkan "Wajarkah mahasiswa menyertai parti politik" itu mendedahkan kedangkalan Ibrahim dalam mebincangkan isu berkenaan.

Beliau memilih untuk menafikan hak mahasiswa untuk berpolitik. Katanya, biar habis dahulu belajar, kemudian baru boleh terlibat dalam politik.

Dalam masa yang sama beliau terlalu serkap jarang dengan mengatakan mahasiswa yang aktif di kampus adalah mereka yang anti -kerajaan (anti-establishment dan pro-pembangkang).

Pro M mencadangkan Ibrahim perlu kembali masuk belajar ke menara gading dalam bidang politik sehingga habis dan terjun dalam aktiviti kemahasiswa semula. Baru beliau akan faham dengan baik.

Ingin ditegaskan, universiti adalah medan ilmu dan medan untuk mempraktik, dan mengasah bakat kepimpinan mahasiswa dalam mengurus tadbir aktiviti kemahasiswaan mereka sendiri.

Tidak cukup jika mereka hanya sekadar berhempas dalam bilik kuliah, berserabut dengan tugasan yang bertimbun-timbun, berseronok dikolej dan hanya menunggu keputusan di akhir pengajian.

Mahasiswa adalah pelaburan rakyat utnuk mereka ini pulang dan berbakti kepada rakyat dan negara satu hari nanti. Jika di alam kampus mereka sudah disekat untuk bebas berfikir atas kapasiti ilmu dan idelisma mereka sendiri, ini akan memandulkan nilai dan kehebatan mahasiswa itu sendiri.

Ibrahim perlu kembali memahami sejarah mahasiswa yang penuh dengan idealisma tersendiri. Sejarah dunia ini kebanyakannya di lakarkan oleh anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, idea, cita-cita, keazaman untuk melakukan perubahan.

Tidak timbul mahasiswa pro-kerajaan ataupun anti-kerajaan. Ini kerana perjuangan mahasiswa adalah untuk menutut keadilan dan hak itu ditegakkan.

Mahasiswa adalah agen ketiga yang menjadi suara ketiga dalam mengemukan pandangan dan idea tidak kira kepada mana-mana pihak sekalipun.

Pro-M setuju dengan Saifuddin yang mengatakan bahawa bukan persoalan mahasiswa mahu pilih parti politik mana, apa baik dan buruknya, apa kesannya terlibat dalam politik. Namun perkara asas yang perlu difikirkan bersama politik itu adalah hak mahasiswa, jadi mahasiswa berhak untuk terlibat dengan politik.


sumber:malaysiakini

Friday, July 16, 2010

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan

Harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan hari ini.

Tidak jelas berapa kenaikan harga RON 97. Tetapi difahamkan harganya naik 5 sen dan akan diselaraskan seterusnya kemudian.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram

Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.

Menurut perdana menteri, penyelarasan semula harga barangan tersebut akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Ia merupakan langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat-peringkat mulai esok.

Bagaimanapun, tambanya, kerajaan masih membelanjakan kira-kira RM7.82 bilion untuk subsidi bahan api dan gula pada 2010.

Harga bahan api dan gula di Malaysia, tegas Najib, masih antara yang terendah di rantau ini.

Berikut adalah harga baru:

•Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
•Diesel - RM1.75 seliter.
•Gula - RM1.70 sekilogram
•Gas LPG - RM1.85 sekilogram

Berikut adalah harga baru gas:

•Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
•Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
•Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)

Sementara itu, Berita Harian online memetik Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.

Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di Alor Star, petang ini.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.

Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara minimum supaya tidak membebankan rakyat.

Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.

Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP pada 2019 d- daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong.

Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan!

*Mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan? Itu sangatlah dibenci disisi Allah jika kamu tidak mengerjakan apa yang tidak kamu kerjakan. -as Sof

Sunday, July 11, 2010

UTHM memiliki 2 Pro-Canselor

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kini memiliki dua orang Pro-Canselor dengan pelantikan Tunku Mahkota Johor sebagai Pro-Canselor. Pelantikan beliau sebagai Pro-Canselor dibuat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar semasa bertitah dalam Majlis Konvokesyen Kesembilan UTHM Khamis lalu.

Pelantikan ini bakal memantapkan lagi hierarki kepimpinan UTHM kerana selain dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor sebagai Canselor, Universiti Ini turut mendapat bimbingan Tunku Mahkota Johor dan Tan Sri Dato' Seri Ir. Shamsudin Abdul Kadir sebagai Pro-Canselor.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dilahirkan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru merupakan anak sulung daripada enam beradik. Beliau mendapat latihan ketenteraan di Indian Military Academy (IMA) sebuah akademi ketenteraan ulung yang terletak di Dehradun India.

Semasa berada di India, beliau pernah mencatat sejarah apabila menjadi individu bukan warganegara India pertama dipilih mengetuai Unit 61 Cavalry Regiment yang berpangkalan di Jaipur, India dalam perarakan sempena Hari Kemerdekaan negara itu.


Tunku Ismail berkemahiran tinggi menunggang kuda dan merupakan pemain polo yang disegani dalam rejimen berkenaan. Dalam sukan polo, Tunku telah merangkul pelbagai kejuaraan dan anugerah di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Tan Sri Dato' Seri Ir. Shamsudin pula merupakan pengasas dan pengerusi Sapura Holdings Sdn. Bhd. Sebelum dilantik sebagai Pro-Canselor, anak kelahiran Ipoh, Perak ini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM yang pertama dan memegang jawatan tersebut selama lapan tahun.

Naib Canselor UTHM, Prof Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin dalam kenyataannya hari ini berkata "Pihak Universiti berasa sungguh terharu dan menyanjung tinggi perkenan yang diberikan oleh Tuanku Sultan Johor dengan pemahsyuran Tunku Mahkota Johor sebagai Pro-Canselor UTHM. Saya yakin gabungan sumbangan dan idea Tunku Mahkota Johor dan YBhg. Tan Sri Dato' Seri Ir. Shamsudin sebagai Pro-Canselor akan berupaya memacu Universiti ini ke tahap yang lebih cemerlang di masa akan datang".

sumber: website UTHM

Tuesday, July 6, 2010

Tahniah kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi

.7 Julai 2010: Tahniah kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang akan menerima penganugerahan akademik pada konvokesyen bersama 241 pelajar terpilih yang telah menghabiskan pengajian pada bulan Disember yang lepas. Majlis KOnvokesyen pada 8 Julai ini adalah konvokesyen ke-9, manakala konvokesyen pada bulan Oktober adalah Konvesyen ke-10

Pada Konvokesyen ke-9 ini, pemberian sijil/scroll/anugerah kepada kesemua 240 orang bakal graduan akan diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor ( Canselor UTHM ).

Perancangan awal utk konvo khas ini adalah untuk memberi anugerah kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bakal graduan Ph.D dan Master. Tetapi atas titah DYMM Sultan Johor, sebilangan bakal graduan Sarjana Muda turut disertakan dalam konvo ini ( mahasiswa Sarjana Muda yang tamat pengajian pada bulan december.)


Menurut sumber dari seorang mantan MPP 2009, Perancangan awal utk konvo khas ini adalah untuk memberi anugerah kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bakal graduan Ph.D dan Master. Setelah berbincang, sebilangan bakal graduan Sarjana Muda turut disertakan dalam konvo ini ( mahasiswa Sarjana Muda yang tamat pengajian pada bulan disember). Konvokesyen ke-9 ini merupakan konvo yang pertama da terakhir dimana bakal graduan mendapat peluang untuk menerima anugerah daripada Sultan Johor di samping meluangkan masa bersama Mantan Perdana Menteri sesudah tamat majlis.

Ini sebagai simbolik penghargaaan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa beliau memimpin negara selaku Perdana Menteri ke-5 Malaysia. Kami berharap agar dengan penganugerahan ini, beliau akan dikenang dan sentiasa di ingati dimata rakyat Malaysia. Kebiasaannya, lumrah kehidupan kita sering melupai jasa orang yang telah berjasa kepada kita, bak kata pepatah 'habis madu sepah dibuang' seperti yang dialaminya sekarang. Dimana, selepas beliau meninggalkan jawatan sebagai Perdana Menteri, kelibat beliau seakan-akan hilang begitu sahaja. Dan suara-suaranya juga tenggelam tatkala mengulas sesuatu isu yang timbul didalam negara.

Diatas kesempatan ini juga kami berharap pihak universiti dapat menghalang sebarang unsur politik kepartian dari dibawa masuk. Seperti apa yang berlaku ketika program motivasi pada 11-13 Jun yang melibatkan penyertaan dari pelajar-pelajar sekitar Sembrong dan Pekan. Dimana terdapat unsur-unsur politik didalam kampus dengan kehadiran individu-individu yang tidak sepatutnya seperti Puteri UMNO atau wakil-wakil dari parti tersebut. Jika berlaku lagi, kita akan mendesak pentadbiran agar berlaku adil dengan membenarkan semua parti politik mengadakan program didalam UTHM ini

Friday, June 25, 2010

Selamat Datang ke UTHM kepada pelajar baru

Salam Sejahtera.

Kami dipihak Pro-Mahasiswa ingin mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar pada 26/6/2010 untuk pelajar jurusan diploma dan 3/7/2010 untuk pelajar jurusan ijazah sarjana muda.




Datang dengan harapan, balik membawa kejayaan.

Monday, June 21, 2010

Perpustakaan UTHM dibuka dengan rasminya

Masa yang dinanti-nantikan oleh warga UTHM untuk menduduki bangunan perpustakaan yang serba canggih akhirnya terlaksana. Tanggal 20 Mei 2010 satu majlis doa selamat dan solat hajat telah diadakan di Ruang Pustaka Kanak-kanak Bangunan Perpustakaan.

Majlis dihadiri oleh Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin diiringi oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin bin Ahmad, Pengarah PPH Profesor Madya Dr. Ahmad Tarmizi bin Abd. Karim dan Ketua Pustakawan Bharun Narosid bin Mat Zin.

Majlis dimulakan dengan solat hajat dan bacaan yaasin serta doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Shahril. Sebaik majlis selesai, satu upacara penyerahan bangunan baru perpustakaan kepada pihak UTHM daripada pihak pemaju telah diadakan. Dokumen penyerahan telah ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mohd. Noh Dalimin wakil bagi pihak UTHM, manakala wakil dari Pembinaan Hamid Abdul Rahman dan Ekovest (JV) Sdn. Bhd. sebagai pemaju serta Jabatan Kerja Raya Malaysia selaku pemantau projek.

Dengan upacara penyerahan ini dijangkakan kerja-kerja perpindahan perpustakaan UTHM akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan perpustakaan baru ini boleh digunakan oleh mahasiswa pada Semester 1 Sesi 2010/2011 yang akan bermula pada Julai depan.

lib







Bangunan Perpustakaan UTHM yang baru bakal beroperasi sepenuhnya pada Semester 1 Sesi 2010/2011 yang bermula pada bulan Julai yang akan datang.


Penyerahan replika kunci bangunan Perpustakaan telah diserahkan oleh wakil dari Pembinaan Hamid Abdul Rahman dan Ekovest (JV) Sdn. Bhd kepada Naib Canselor UTHM.


Sumber: Website Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Sunday, June 13, 2010

Sah! Politik telah dihalalkan di dalam kampus

Pada 11 sehingga 13 hb Jun yang lalu, suatu program berbentuk motivasi telah diadakan di UTHM. Program yang memberi penekanan kepada membina keyakinan diri dan memotivasi diri ini telah disertai hampir 1000 orang peserta. Peserta-peserta ini terdiri daripada pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6 bawah dari sekitar daerah Sembrong dan Pekan. Dikhabarkan hampir 20 buah sekolah yang terlibat.

Program seperti ini amat sesuai dengan saranan pentadbiran universiti yang mahukan program-program yang melibatkan mahasiswa UTHM dengan rakyat sekitar mereka. Dimana para mahasiswa UTHM menjadi mentor kepada pelajar-pelajar sepanjang program ini berlangsung. Dengan ini, interaksi antara mahasiswa sebagai mentor dengan pelajar adalah menjadi lebih efektif dan tersampai mesej yang ingin dibawa berbanding golongan-golongan yang lain. Perkongsian pengalaman dan perkembangan idea yang dibawa mahasiswa kepada peserta amat seiring dengan kehendak peserta sebagai pelajar itu.

Itulah bezanya takrifan mahasiswa dengan pelajar!
Kita di UTHM ini perlu tanamkan dalam diri kita bahawa kita adalah mahasiswa bukan pelajar lagi.
Oleh itu, janganlah termakan dengan ungkapan-ungkapan daripada mana-mana pihak yang melabelkan kita sebagai pelajar. Kerana ungkapan ini hanyalah salah satu cara untuk menundukkan kuasa dan kekuatan yang ada pada mahasiswa.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Komuniti Sembrong dan Pusat Sumber Pekan dengan kerjasama dari beberapa kelab di UTHM ini telah berjaya membawa nama UTHM sehingga ke peringkat menteri kabinet. Sehinggakan YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein menyatakan kesediaan untuk turun bersama didalam program ini selaku Menteri Dalam Negeri.

Disebalik itu, ada ura-ura yang mengatakan bahawa program ini adalah anjuran dari salah satu parti politik di Malaysia, UMNO.
Ini dikaitkan pula dengan kehadiran YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein bukanlah sebagai menteri, tetapi sebagai ahli parlimen kawasan sekolah tersebut iaitu Sembrong.

Selain itu, menurut salah seorang peserta yakni pelajar sekolah, bahwa ada diantara ahli jawatankuasa kepada program ini adalah Puteri UMNO dan Putera UMNO. Peserta itu menyatakan sedemikian kerana terlihat tulisan dan logo yang dipakai oleh ahli jawatankuasa tersebut. Namun kita yakin bahawa ini bukan dari kalangan mahasiswa UTHM yang menjadi mentor dalm program tersebut.

Dalam perkara ini, kita dapat perhatikan bahawa pihak universiti sudah mula berfikiran lebih terbuka dan tidak mengongkong mana-mana pihak atau parti yang ingin mengadakan program di UTHM. Satu pendekatan yang begitu baik. Pihak Pro-Mahasiswa juga berpendirian seperti pihak pentadbiran bahawa tiada masalah untuk mana-mana pertubuhan @ parti politik (tidak kira samada dari kerajaan atau pembangkang) mengadakan program bersama mahasiswa didalam universiti. Tetapi program tersebut mestilah bersifat motivasi atau kebajikan kepada pelajar sekolah ataupun mahasiswa UTHM itu sendiri seperti program ini. Tetapi haruslah diadakan garis-garis panduan supaya program bersifat motivasi @ kebajikan tidak menjadi program me'lobi' parti ataupun kempen parti.

Kami di pihak Pro-Mahasiswa mengucapkan segulung tahniah buat para penganjur kerana berjaya memecahkan tradisi suasana program di kampus ini. Dan kepada mentor-mentor, diharap telah memberi sesuatu kepada pelajar-pelajar yang menyertai program ini. Tahniah buat semua.

Tuesday, June 8, 2010

AUKU: Keberanian SMM bagai merempuh Gaza

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Keberanian Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut kebebasan bersuara dan akademik daripada kerajaan Umno BN dianggap seperti keberanian 12 sukarelawan Malaysia menuntut kebebasan daripada zionis Israel untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Demikian kenyataan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi tadi pada suatu kenyataan media bersama SMM di lobi Parlimen.

"Kita anggap keberanian SMM ini menentang Auku serta menuntut kebebasan akademik ini sebagai keberanian merempuh Gaza yang dikepong zionis sekarang ini," jelas Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat berkata, walaupun keberanian SMM tersebut terpaksa dibayar dengan denda atau digantung hatta dipecat dari universiti menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), namun keberanian pertubuhan koliasi itu membawa Deklarasi Belia dan Mahasiswa Malaysia ke Parlimen mampu menggamit kesedaran ahli Parlimen untuk bersama-sama mahasiswa mempertahankan hak asasi mereka.

"Mereka (mahasiswa) ada yang didenda, dipecat hatta digantung, tetapi dengan deklarasi ini sudah tentu akan menggamit kesedaran kami sebagaimana dunia mulai sedar tentang kezaliman zionis Israel apabila bantuan kemanusiaan dihalang oleh mereka," ujar beliau.

Menyambut kenyataan Dr Hatta, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berjanji bahawa Pakatan Rakyat akan membawa isu tersebut di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, inisiatif Pakatan Rakyat mahu mengangkat deklarasi tersebut di Dewan Rakyat berasaskan pada prinsip bersama.

"Bertitik tolak pada prinsip bersama menghormati prinsip hak asasi manusia, demokrasi kampus, kebebasan akademik dan autonomi universiti, kita mengalu-alukan deklarasi ini untuk dibawa ke Dewan Rakyat," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengutuk karajaan Umno BN kerana menggunakan Auku untuk membunuh karisma serta aktivitisme mahasiswa sejak akta tidak adil itu diperkenalkan pada 1971.

Beliau turut mempertikai tindakan universiti mendakwa empat mahasiswa dari Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan Auku disebabkan mereka yang terbabit turun ke pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Bagi beliau, partisipasi mereka perlu dihormati memandangkan mereka adalah calon sarjana muda sains politik yang bakal mengisi tampuk kepemimpinan negara kelak.

Senada dengan Saifuddin, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong turut mempertikai kaedah kerajaan Umno BN menggunakan Auku untuk membendung aktivitisme mahasiswa.

Bagi beliau, tindak tanduk kerajaan itu seakan bertentangan dengan wawasan Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke-10.

Ini kerana, menurut beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui kedua-dua dasar tersebut mahukan negara menuju kepada negara inovasi dan masyarakat bermaklumat.

"Bagaimana Malaysia boleh jadi inovatif dan rakyatnya berilmu kalau generasi mahasiswa dan belia yang belajar di universiti pun dilayan secara tidak demokratik dan bebas," soal beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan membuat penilaian semula kedua-dua dasar tersebut disebabkan insiden yang dialami oleh mahasiswa tanah air itu.

Tidak cukup dengan itu, beliau mencadangkan Dewan Rakyat menubuhkan suatu jawatankuasa khas di bawah Parlimen untuk menyiasat aduan mahasiswa sebagaimana yang dibukukan dalam deklarasi bertulis oleh SMM itu.

Sebelum pada itu, Pengerusi SMM, Mohd Shazni Munir turut menjelaskan bahawa penyerahan deklarasi tersebut dibuat sempena meraikan Hari Hak Asasi Mahasiswa yang sepatutnya diraikan pada 6 Jun yang lalu.

Katanya lagi, walaupun kerajaan Umno BN bertanggungjawab menggunakan Auku untuk memandulkan mahasiswa, satu salinan deklarasi akan tetap diserahkan kepada seorang wakil Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat pada petang ini.

Turut menyertai kenyataan bersama tersebut, Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), keempat-empat siswa UKM yang baru didakwa di bawah AUKU serta wakil-wakil pertubuhan mahasiswa yang mengganggotai SMM

-Dzulfikar Mashoor

Wednesday, June 2, 2010

Boikot Barangan Israel

2 Jun 2010: Berhubung dengan isu serangan komando Israel terhadap rombongan kapal misi bantuan kemanusiaan di Gaza. Pihak Pro-Mahasiswa UTHM ingin menyeru kepada seluruh warga UTHM agar meneruskan usaha memboikot barangan Israel. Itulah yang kita mampu lakukan terhadap perkara ini.

Monday, May 31, 2010

Tuntutan Mahasiswa terhadap isu serangan Israel terhadap Misi LL4G

31 Mei 2010: Pihak Pro-Mahasiswa UTHM menyatakan sokongan sebulat suara kepada tuntutan-tuntutan yang dikeluarkan oleh Zulkifli Mohd Nani, Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisi dan sokongan keluarga misi LL4G Malaysia seperti didalam kenyataan rasminya di laman web palestinkini. Antara tuntutan-tuntutan tersebut ialah:

1.
Menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama.

2. Menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan.

3. Menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.

4. Menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan.

5. Menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.

Isu yang berlaku ini bukanlah isu dikalangan umat Islam sahaja, tetapi ianya lebih kepada isu kemanusiaan. Dimana rakyat di Gaza dan Palestin ditindas dengan begitu teruk sekali sehinggakan kawasan yang mereka duduki sekarang seolah-olah seperti penjara yang luas.

Sama-samalah kita bersatu menentang kekejaman Rejim Zionis ini!

Mahasiswa mengecam tindakan serangan rejim Zionis terhadap kapal misi kemanusiaan Gaza

31 Mei 2010: Pro-Mahasiswa menyeru seluruh warga Malaysia bangkit menyatakan bantahan terhadap serangan rejim zionis Israel keatas kapal milik konvoi misi bantuan ke Palestin. Bantahan ini dilihat sebagai tekanan kepada pihak rejim zionis Israel yang nyata telah melanggar hak asasi manusia kerana menghalang sebarang bantuan berbentuk kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Menurut laporan daripada Malaysiakini, setakat ini mangsa yang terkorban akibat serangan itu adalah seramai 16 orang manakala puluhan yang lain mengalami kecederaan.

Mengulas lanjut mengenai serangan ini, Pro-Mahasiswa menyeru warga UTHM secara umumnya dan warga UTHM khususnya untuk melakukan Solat Hajat dan Qunut Nazilah terutamanya di Masjid Jamek UTHM agar konvoi bantuan kepada rakyat Palestin ini dapat menjalankan misi kemanusiaannya di Gaza.

Pihak rejim zionis Israel dalam pada itu enggan mengulas lanjut terhadap serangan terhadap kapal tersebut dan kapal tersebut telah pun terputus hubungan dengan penganjur misi bantuan kemanusiaan.



Kapal yang membawa seramai 700 orang sukarelawan itu telah disekat oleh pihak rejim zionis Israel beberapa hari lalu dalam misi menghantar 10,000 tan bekalan banggunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.

Monday, May 24, 2010

Pro-Mahasiswa mendesak UKM mengugurkan 4 pelajar yang didakwa berpolitik

KUALA LUMPUR, 22 Mei: Pro-Mahasiswa mendesak pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) agar menggugurkan serta merta kes empat pelajarnya yang akan didakwa nanti.

Mereka terdiri daripada Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai yang akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Shafiee Hashim menyelar pihak UKM hari ini mengambil tindakan berdiam diri dan enggan mengulas tentang isu empat mahasiswa jurusan sains politik universiti itu yang akan didakwa nanti.

Beliau menganggap tindakan UKM membisu itu sebagai sifat tidak bertanggungjawab terhadap tindakan yang mereka sendiri telah ambil terhadap empat mahasiswa berkenaan.

Katanya, sekiranya mereka melaksanakan tugas dengan betul sehingga sampai ke tahap mahu mengheret mereka berempat ke Mahkamah Universiti dan kemungkinan dikenakan tindakan gantung pengajian, sewajarnya mereka berani berdepan dengan apa sahaja persoalan, kritikan dan desakan daripada pihak lain bukan sebaliknya.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah universiti terkemuka yang telah dinobatkan antara universiti penyelidikan terbaik di Malaysia, mereka perlu bijak, telus, berani dan profesional dalam segala tindakan khususnya apabila mereka mendakwa terdapat mahasiswa sains politik lain yang telah turun pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah melalui kebenaran pihak universiti.

“Namun persoalannya di sini, siapakah mereka mahasiswa yang terlibat itu, nyatakan sekali dengan nama mereka serta bentuk surat kebenaran universiti agar pihak lain tidak sangsi dengan kenyataan yang dibuat.

“Ini kerana, pada waktu yang sama UKM sibuk berhadapan dengan peperiksaan akhir semester, masih wujud lagikah urusan akademik atas kebenaran pihak universiti di sana?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Akhirnya, kata beliau Pro-Mahasiswa kecewa dengan tindakan UKM bukan sahaja tidak mencerminkan kematangan dan profesionalime mereka dalam mentadbir, bahkan telah mencemarkan dan memalukan nama universiti terhebat itu.

Mereka berempat yang akan didakwa hanya kerana pada 22 April lepas, mereka ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah.

Turut ditahan bersama mereka ialah tiga orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama iaiatu sebuah kereta dan sebuah van.

Dalam penahanan itu, polis merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga cakera padat (CD) kempen.

Pada 23 April pula, sekitar jam sepuluh malam, Hilman bersama-sama empat orang aktivis lain ditahan sekali lagi oleh polis dalam sekatan jalan raya.

Dalam penahanan itu polis hanya menjumpai sekeping vieo cakera padat (VCD) ceramah parti politik