Pro Mahasiswa

Tuesday, February 21, 2012

Dr. Anika Zafiah Terima Anugerah



Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) – Kegemilangan UTHM dalam menerajui aktiviti penyelidikan dan inovasi yang berpotensi untuk dikomersilkan terbukti apabila produk hasil penyelidikan dan inovasi UTHM yang dipertandingkan dalam 11th Malaysia Invention and Innovation Awards sempena Malaysia Technology Expo (MTE) 2012 berjaya meraih 3 pingat Emas, 5 pingat Perak dan 3 pingat Gangsa dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2012. Pameran ini telah dianjurkan mulai 16 hingga 18 Februari 2012 di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Menteri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). MTE 2012 merupakan pameran terbesar yang berjaya mengumpulkan lebih 550 hasil ciptaan dan inovasi daripada pelbagai industri/agensi termasuk daripada luar Negara seperti Taiwan, Korea, Nigeria, Poland, Iran dan Arab Saudi .

Sesungguhnya UTHM juga amat berbangga apabila sejak mula menyertai pertandingan ini pada tahun 2006, buat julung-julung kalinya pada tahun ini, seorang penyelidik wanita UTHM berjaya menerima anugerah yang amat berprestij. Beliau yang dimaksudkan ialah Dr. Anika Zafiah bt Mohd Rus dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) yang berjaya dinobatkan menerima anugerah‘Woman Inventor of the Year 2012’ melalui hasil penyelidikan yang diketuai beliau bertajuk :‘Eco-Smart Monomer Converter (ECO-MOC)’. Kemenangan ini amat bermakna dan telah melakarkan sejarah yang gemilang buat UTHM kerana beliau adalah satu-satunya penyelidik wanita dalam pertandingan ini yang telah dipilih menerima anugerah yang amat berprestij ini sekaligus meletakkan beliau sebagai antara penyelidik yang terkemuka di Negara kita dalam menghasilkan penyelidikan yang memfokuskan kepada ‘Green Technology’. Melalui kemenangan ini, beliau telah berjaya membawa pulang pingat emas, wang tunai RM 3,000 dan sijil penghargaan.

Selain itu, produk  ‘Miniaturized Dual Frequency Planar Array’ hasil penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Muhammad Yusof bin Ismail (FKEE) dan juga ‘MoBiSiS: An Android-Based Application For Sending Message Inside Stego Image Through MMS’ hasil penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Dr. Rosziati bte Ibrahim turut berjaya menggondol pingat Emas. UTHM bukan sahaja berjaya menggondol anugerah berprestij ini serta 11 pingat dalam MTE 2012 malah booth pameran UTHM turut terpilih menerima hadiah tempat kedua bagi penilaian “The Best Booth Design Shell Sheme Category”.

Para penyelidik yang menyertai MTE 2012 juga merasa bertuah atas kesudian Y.Bhg. Timbalan
Naib Canselor (Akademik& Antarabangsa) UTHM mewakili pihak pengurusan universiti hadir bertemu dengan para penyelidik UTHM pada hari pertama program ini berlangsung. Kehadiran beliau telah berjaya menyuntik semangat dan keyakinan yang sangat tinggi kepada penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka kepada panel penilai yang membuat penilaian pada hari tersebut. 

Penyelidik UTHM MTE 2012
Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada para penyelidik UTHM yang telah berusaha gigih berjaya mengharumkan nama UTHM dalam pertandingan pada kali ini. Ucapan penghargaan juga dirakamkan kepada Y.Bhg. Dato’ Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), pihak pengurusan universiti, warga kerja Pusat Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta sumbangan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan MTE 2012.

Semoga kejayaan hari ini akan mendorong warga penyelidik UTHM untuk lebih gigih mencapai kegemilangan pada masa hadapan dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang dapat dimanafaatkan oleh masyarakat sejagat seterusnya menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara melalui kejayaan mengkomersilkan produk tersebut.


SUMBER: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia


Thursday, February 16, 2012

Pilihanraya Kampus Medan Politik Mahasiswa


Kewajaran mahasiswa terlibat dalam politik telah lama diperkatakan, sama ada politik kampus ataupun politik negara melibatkan parti-parti tertentu. Rata-rata penuntut yang ditemui bersifat berkecuali daripada terlibat dengan politik tetapi tidak menolak untuk menyokong mana-mana pemerintah.
Saban tahun ratusan mahasiswa mendaftar di universiti dan kolej dengan pelbagai keinginan, matlamat dan gaya penampilan untuk menambah ilmu di dada. Teruja mengulang kaji pelajaran untuk mendapat segulung ijazah dalam pelbagai bidang di menara gading.
Kehidupan yang mencabar di kampus sedikit sebanyak mempengaruhi kecenderungan mereka bertembung dengan isu semasa yang melibatkan kepemimpinan, keilmuan, pergerakan politik dan perjuangan peribadi.
Namun dicelah-celah kekalutan menimba ilmu terdapat segelintir penuntut yang membawa fahaman politik masing-masing di luar ke dalam kampus. Tidak salah jika mereka ini hanya sekadar berpolitik di dalam kampus untuk bertanding merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sekali gus melahirkan mahasiswa lebih berintegriti.
Sebaik menjejak kaki di kampus, mahasiswa dihidangkan dengan satu fenomena yang dinamakan politik kampus bagi melantik pemimpin dalam kalangan mereka. Golongan inilah antara prospek kelompok boleh dipergunakan oleh mana-mana pihak yang melihat mereka mudah dipengaruhi.
Maka pada sesi tertentu penamaan calon dan perang poster rancak dijalankan bagi membolehkan calon-calon terbaik bertanding seterusnya menjawat jawatan dalam MPP.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Siva Murugan berkata, setiap penuntut di universiti atau kolej boleh berpolitik di luar, tetapi haruslah memelihara keharmonian kampus yang merupakan kawasan neutral.
“Pada saya tidak salah sekadar berpakaian logo parti politik, tetapi mereka tidak boleh mengedar risalah dan mendaftar ahli baru ketika di kampus. Jika ingin membuka blog itu terpulang kepada mereka.
“Memandangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda adalah menjadi tanggungjawab universiti untuk mengimbangi kedudukan menuntut. Layan mereka sebagai seorang yang matang, jika berlaku sesuatu tidak diingini di luar kampus biarlah pihak berkuasa yang menentukan hukumannya,” katanya
Tanggungjawab Matangkan Mahasiswa
Pengalaman menguruskan proses pilihan raya di kampus boleh mematangkan penuntut yang menerajuinya dan ia boleh dijadikan pembelajaran terbaik. Memegang jawatan sebagai pemimpin pelajar ketika berada di kampus boleh menjadikan seseorang penuntut lebih bertanggungjawab dan mewujudkan jati diri yang tinggi.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamad Maliki Mohamed Rapiee berkata, tempoh pengajian di universiti ialah ruang untuk mahasiswa mempersiapkan diri bagi menghadapi dunia sebenar.
“Penglibatan mereka dalam politik kampus adalah salah satu proses pembinaan karakter dalam kepimpinan. Setiap pengalaman seharusnya menjadi pembelajaran yang sangat berguna.
“Mahasiswa mesti bersikap terbuka dan ikhlas dalam perjuangan, nilai dan ideologi yang dipegang tidak pula membolehkan dia menolak dan memusuhi pihak lain yang tidak bersependapat dengannya,” katanya.
Maliki berkata, mahasiswa juga harus berani menentukan jati dirinya tanpa terikut-ikut dengan gaya serta tingkah laku pihak lain, terutama ahli politik luar yang mengamalkan sifat permusuhan dan radikal.
“Sebaliknya, mahasiswa harus mampu mencorakkan persekitaran yang sepatutnya dicontohi oleh masyarakat di luar sana. Barulah mahasiswa layak disebut sebagai agen transformasi,” katanya.
Penuntut sudah terdedah dengan amalan berorganisasi di mana jawatankuasa MPP diwujudkan. MPP ditubuhkan melalui proses pilihan raya kampus di mana calon yang layak bertanding akan berkempen dalam tempoh diberikan.
Semua penuntut diwajibkan mengundi untuk memilih ahli MPP pada hari pengundian. Pegawai Hal Ehwal Pelajar bertanggungjawab menyelia sepenuhnya aktiviti yang dijalankan oleh jawatankuasa MPP ini.
Melalui Jawatankuasa MPP, penuntut diberi peluang untuk menyuarakan pandangan, komen yang membina bagi pembangunan pembelajaran dan pengajaran dalam program pengajian mereka.
Melalui penyertaan pilihan raya kampus, calon dan petugas kempen berpeluang berpolitik dalam kampus. Konsep demokrasi, kepimpinan dan pengurusan yang biasanya diperkenalkan daripada membaca buku, dapat difahami melalui latihan sebenar ketika pilihan raya kampus. Selain itu, bakat pemimpin dapat dicungkil melalui pidato dan perdebatan.
Kewajaran AUKU
Kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ketika era Tun Hussain Onn menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati kerana mengekang kebebasan mahasiswa dan ahli akademik dalam menyuarakan pandangan secara bebas.
Namun, kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan akan kesediaan kerajaan untuk berbincang dengan semua pihak termasuk daripada wakil mahasiswa bagi meminda AUKU yang dilihat sebagai penghalang kepada mahasiswa untuk menyatakan pendirian dan pendapat tentang sesuatu isu.
Tujuan utamanya adalah untuk melonggarkan peraturan sedia ada supaya mahasiswa dibenarkan terlibat dalam politik. Perkara tersebut wajar, disebabkan mahasiswa diajar bersuara jika tidak puas hati tetapi apabila mahu membuka mulut di gelanggang politik, mereka ‘dipancung’. Situasi itu menimbulkan tanda tanya di mana kedudukan mahasiswa dalam senario politik negara?
Profesor politik dan Kerajaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Jayum Jawan berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka melihat senario ini dan jangan membandingkan dengan kebangkitan mahasiswa zaman dulu kerana politik kini sudah berubah dengan pelbagai angin pembaharuan dan jika golongan itu terus disekat, ia memberi impak lebih buruk pada masa depan.
Bagi aktivis-aktivis kampus demokrasi, pilihan raya kampus merupakan peluang keemasan untuk menjalankan kempen kesedaran demokrasi bagi mentadbir kampus dalam kalangan mahasiswa.
Ruang berpidato dan perbahasan dalam kalangan calon-calon yang membawa manifesto masing-masing dilihat sangat berkesan dalam mempertingkatkan kesedaran mahasiswa dalam politik kampus. Calon dan petugas perlu berkempen memperkenalkan diri dan konsep demokrasi kepada warga kampus lain.
Pilihan raya kampus adalah wacana penting untuk warga kampus menghayati politik sebenar. Pihak universiti perlu menggalakkan mahasiswa mengambil bahagian secara aktif dalam pilihan raya kampus.
Universiti perlu memberi kuasa sepenuhnya kepada MPP untuk menjalankan pilihan raya kampus sendiri dan pihak Universiti hanya menjadi pemerhati sahaja walaupun politik kampus seolah-olah tidak berpengaruh.

dipetik dari: ProMahasiswa USM

Wednesday, February 1, 2012

Meneladani Sunnah, Membentuk Peribadi



Mahasiswa dijemput ke Ekspo Buku


" Jom Mahasiswa !! Perkasakan ilmu dengan membaca"

**untuk maklumat lanjut anda boleh mengunjungi laman web rasmi penganjur



Friday, December 30, 2011

Selamat Tahun Baru 2012 dan Selamat Menghadapi Peperiksaan sesi 2011/2012


Beberapa puluh jam lagi kita akan menjengah ke tahun 2012. Semestinya 2011 telah sedikit sebanyak mewarnakan hidup kita dengan kenangan manis dan mungkin juga pahit.

Seperti kebiasaanya, ritual tahunan yang dilakukan hampir semua orang adalah memasang azam baru. Menjadi insan yang berkualiti dengan menetapkan azam, visi dan misi, yang lebih baik berbanding 2011. Ingatlah bahawasanya “singa akan mati kelaparan jika tidak berlari, rusa juga akan mati dibaham jika tidak berlari”. Soalnya, berubah itu perlu untuk menjadi insan cemerlang di masa mendatang. Setiap saat bernilai yang disia-siakan di tahun 2011, janganlah diulang. Manfaatkan segalanya di 2012, yang sentiasa menjanjikan yang terbaik buat umat.

Tidak dilupakan, tanggal 2 Januari 2012 merupakan hari bermulanya Peperiksaan Akhir buat semua mahasiswa UTHM. Jadikan kejayaan pada Peperiksaan Akhir pada kali ini sebagai permulaan yang baik buat 2012. Ini juga merupakan peperiksaan pertama buat mahasiswa, mahasiswi ijazah sarjana muda sesi 2011/2012. Makanya, pihak kami mendoakan yang terbaik buat semua yang akan menduduki peperiksaan pada kali ini. Bekalan CGPA yang baik adalah amat penting demi untuk masa depan yang cerah.

Akhir kata, kami, di pihak Pro-Mahasiswa UTHM ingin mengucapkan selamat tahun baru 2012 dan Selamat Mengulangkaji Peperiksaan kepada semua mahasiswa/mahasiswi UTHM!

Tuesday, December 27, 2011

Pro-Mahasiswa UTHM Menyokong Saifuddin




Rentetan daripada isu Adam Adli, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau tetap akan mempertahankan hak mahasiswa walaupun mereka mendesak beliau meletakkan jawatan menerusi memorandum yang dihantar kepadanya. Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai desakan dalam memorandum itu, menyerahkan kepada rakyat untuk menilai perkara sebenar.


”Pada pendapat saya, mereka mempunyai hak untuk berhimpun dan bersuara. Saya akan mempertahankan hak mereka ini. Saya juga dimaklumkan bahawa sebahagian daripada yang hadir itu ialah mahasiswa. Kepada mereka, saya ingin nyatakan bahawa kasih saya pada mereka tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan media yang diedarkan di Parlimen hari ini.


Saifuddin berkata,beliau dimaklumkan oleh pegawai kementerian bahawa kira-kira 350 orang telah mengadakan perhimpunan aman di perkarangan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi.Bagaimanapun, beliau ketika itu menghadiri program di Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan. Setiausaha sulit kanan, Mohd Nazri Noh yang mewakili beliau telah menerima memorandum berkenaan serta turut menjemput kumpulan itu untuk berjumpa di parlimen tengah hari ini, namun telah ditolak.


Malah, ketika menghadiri program debat di Universiti Putra Malaysia (UPM) ,beliau juga telah berjumpa dengan Presiden Alumni Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah serta beberapa rakannya dan mereka juga menyerahkan memorandum.


“Pertemuan itu berlangsung dalam tempoh yang singkat sahaja dalam suasana mesra di mana kami bersalaman sambil tersenyum,” katanya.


Kumpulan pelajar yang terdiri daripada kumpulan Pro-Aspirasi kampus  berdemonstrasi hampir dua jam di hadapan pejabat Saifuddin untuk menuntut beliau meletak jawatan kerana didakwa “terlalu mesra” dengan pelajar pro-Mahasiswa.Tindakan kumpulan pelajar itu adalah satu reaksi balas kepada satu lagi perhimpunan anjuran kumpulan pelajar pro-Mahasiswa di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.Perhimpunan kumpulan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia itu mencetus kontroversi apabila sebahagian daripada mereka bertindak menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno.


Dato Saifuddin yang ketika itu berada di UTHM merasmikan Karnival TAHA & Memperkasakan Zakat anjuran Tabung Haji dengan kerjasama Berita harian kesal. Kedatangan beliau ke UTHM sepatutnya disambut oleh semua Majlis Perwakilan pelajar (MPP). Namun, terdapat beberapa MPP dikalangan Aspirasi tidak kelihatan. Dilaporkan menghadiri demontrasi “Mendesak Saifuddin Meletak Jawatan” di Putrajaya.


Sehubungan dengan ini, Pro-Mahasiswa UTHM menyokong penuh Dato Saifuddin Abdullah dan menyelar tindakan Aspirasi yang sebelum ini mengutuk demontrasi jalanan. Namun apa yang dilihat kini mereka seolah-olah bersetuju salah satu bukti kebebasan suara adalah dengan cara berdemo dijalanan.Memetik prinsip mereka sebelum ini,“berarak dan berhimpun mengganggu kententeraman awam menjatuhkan maruah dan keintelekualan seluruh mahasiswa”,nampaknya sudah tidak relevan.

~MAHASISWA UNTUK NEGARA~

Pro-Mahasiswa UTHM Pertahan Datuk Saifuddin



Johor Bharu, 26 Dis : Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau tetap akan mempertahankan hak mahasiswa walaupun sesetengah pihak mendesak beliau meletakkan jawatan menerusi memorandum yang dihantar kepadanya.
Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai desakan dalam memorandum itu, menyerahkan kepada rakyat untuk menilai perkara sebenar.
”Pada pendapat saya, mereka mempunyai hak untuk berhimpun dan bersuara. Saya akan mempertahankan hak mereka ini. Saya juga dimaklumkan bahawa sebahagian daripada yang hadir itu ialah mahasiswa. Kepada mereka, saya ingin nyatakan bahawa kasih saya pada mereka tidak berubah,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai himpunan yang dianjur Aspirasi, Saifuddin berkata,beliau dimaklumkan oleh pegawai kementerian bahawa kira-kira 350 orang telah mengadakan perhimpunan aman di perkarangan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi.
Bagaimanapun, beliau ketika itu menghadiri program di Batu Pahat, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan.
Aspirasi tolak pertemuan
Setiausaha sulit kanan, Mohd Nazri Noh yang mewakili beliau telah menerima memorandum berkenaan serta turut menjemput kumpulan itu untuk berjumpa di parlimen tengah beberapa hari lalu, namun telah ditolak.
Malah, ketika menghadiri program debat di Universiti Putra Malaysia (UPM) ,beliau juga telah berjumpa dengan Presiden Alumni Aspirasi, Mohd Shahar Abdullah serta beberapa rakannya dan mereka juga menyerahkan memorandum.
“Pertemuan itu berlangsung dalam tempoh yang singkat sahaja dalam suasana mesra di mana kami bersalaman sambil tersenyum,” katanya.
Kumpulan pelajar yang terdiri daripada kumpulan Aspirasi berdemonstrasi hampir dua jam di hadapan pejabat Saifuddin untuk menuntut beliau meletak jawatan kerana didakwa “terlalu mesra” dengan pelajar pro-Mahasiswa.
Tindakan kumpulan pelajar itu adalah satu reaksi balas kepada satu lagi perhimpunan anjuran kumpulan pelajar Pro-Mahasiswa di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.
Perhimpunan kumpulan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia itu mencetus kontroversi apabila seorang daripada mereka bertindak menurunkan satu bendera bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno.
Aspirasi tidak hormat ‘tetamu’
Sementara itu, Datuk Saifuddin ketika himpunan Aspirasi itu berada di UTHM merasmikan Karnival TAHA & Memperkasakan Zakat anjuran Tabung Haji dengan kerjasama Berita Harian.
Walaubagaimanapun, kedatangan beliau ke UTHM yang sepatutnya disambut oleh semua Majlis Perwakilan pelajar (MPP) bertukar sebaliknya.
Menurut sumber, terdapat beberapa MPP di kalangan Aspirasi tidak kelihatan dan dilaporkan menghadiri demontrasi “Mendesak Saifuddin Meletak Jawatan” di Putrajaya.
Pro-Mahasiswa UTHM selar Aspirasi
Sehubungan dengan ini, Pro-Mahasiswa UTHM menyokong penuh Datuk Saifuddin Abdullah dan menyelar tindakan Aspirasi yang sebelum ini mengutuk demontrasi jalanan.
“Meraka (Aspirasi) kini seolah-olah bersetuju salah satu bukti kebebasan suara adalah dengan cara berdemo dijalanan.”
“Memetik prinsip mereka sebelum ini,“berarak dan berhimpun mengganggu kententeraman awam menjatuhkan maruah dan keintelekualan seluruh mahasiswa”,nampaknya sudah tidak relevan.”, ujar wakilnya dalam satu kenyataan. - GZDaily

Wednesday, December 14, 2011

Bebas atau Terikat ?



Sejak dua menjak ini ramai yang memperkatakan tentang kebebasan akademik. Kebebasan akademik ini bagaimana? konsepnya ringkas. Kebebasan ini bukanlah kebebasan mutlak tetapi ia merupakan autoriti yang perlu diberikan kepada ahli akademik dan mahasiswa untuk mengajar, menyelidik, mengungkap idea-idea dan pendapat samaada didalam atau luar kuliah mengikut kepakaran masing-masing.

Tetapi jika dilihat, universiti-universiti di negara ini menghalang mahasiswa atau ahli akademiknya bersuara. Kenapa ini berlaku? Universiti-universiti di Negara sedang membangun bergantung kepada pihak kerajaan dalam mendapatkan dana untuk menampung keperluan universiti. Secara tidak langsung, campur tangan politik turut terjadi. Maka, universiti dilihat seperti jabatan-jabatan kerajaan atau unit-unit kerajaan yang menjadi medan untuk parti-parti politik tertentu menyebarkan dakyah mereka.

Adakah kita mahu pemimpin kita pada masa hadapan merupakan pemimpin yang menuruti sahaja kehendak orang lain seperti lembu yang dicucuk hidung, tanpa boleh befikir secara kritis ,kreatif dan peka terhadap faktor sekelilingnya dengan membuat perbandingan dalam menentukan sesuatu keputusan.

Sebenarnya jika kena gaya dan caranya, kebebasan akademik mampu menjadikan mahasiswa cakna terhadap isu semasa dalam memberikan pendapat, idea dan pengetahuan mereka supaya 'produk-produk' yang dihasilkan oleh universiti tempatan lebih bermutu bukan hanya dibelenggu oleh sindrom 3K(kuliah,kafe,katil).

“Kebebasan akademik adalah kebebasan guru atau peneliti untuk mengkaji serta membahas persoalan di bidangnya tanpa ada intervensi penguasa politik dan keagamaan, atau lembaga yang mempekerjakannya)”- Arthur Lovejoy-.




17 Desember 2011
Dataran Merdeka



Friday, December 9, 2011

Rentetan Isu Program Universiti Dimanipulasi Parti Politik.


Tiga individu yang terlibat dalam rakaman video youtube “mahasiswa UTHM membantah kempen politik melalui program universiti “ yang sepanjang 9.14 minit itu telah dipanggil oleh Pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTHM.

Ketiga-tiga individu itu diminta untuk memberi keterangan berhubung pendirian mahasiswa terhadap isu doktrinasi politik oleh pihak yang berkepentingan. Tetapi malangnya mereka telah dituduh melakukan kesalahan kerana melanggar prosedur dan memalukan nama universiti.

Ini menunjukkan sikap kurang matang pihak universiti yang menutup kesalahan pihak yang berkepentingan itu yang bersalah memanipulasi program universiti demi kepentingan parti politik mereka.



Program yang bertarikh 18 november 2011 itu telah dihadiri oleh Dato Haji Ahmad Maslan yang juga merupakan Ketua penerangan UMNO yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail (DTII). Program International Youth Day (UNIESCO) yang sepatutnya bermanfaat kepada mahasiswa, telah dimanipulasi dengan berkempen politik.

Pihak Universiti sepatutnya sependirian dengan mahasiswa dengan membantah unsur-unsur prejudis perkauman yang dibawa oleh Dato Haji Ahmad Maslan selaku Timbalan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri.

Mahasiswa juga sekeras-kerasnya membantah sebarang agenda politik kepartian dibawa masuk ke dalam universiti oleh mana-mana individu atau parti. Samada melalui program universiti atau sebagainya.

Maka diatas tujuan melindungi pihak yang berkepentingan itu, ketiga-tiga individu yang terlibat dituduh bersalah kerana melanggar prosedur dan memburukkan nama baik universiti.

~DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA~

Thursday, December 8, 2011

IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN (ISMP) BANGKIT TUNTUT HAK POSTING




Dilema guru-guru mahupun bakal guru yang dewasa ini berkaitan isu guru dilambung ombak kiri ke kanan. Jika tiada angin, manakan pokok bergoyang. Perumpamaan ini boleh disamakan dengan ledakan suara guru-guru yang bangkit rentetan daripada banyak perubahan dasar yang dikira kurang matang oleh kerajaan.

Dasar sistem perguruan yang tidak di iktiraf sebagai satu profesion yang professional bukan bermaksud guru boleh dibolak-balikkan sesuka hati. Perlu masyarakat ingat dan ketahui bahawa gurulah merupakan JENTERA kepada manusia. Tanpa guru, manakan lahirnya seorang angkasawan Negara, manakan lahirnya engineer mahupun doktor apatah lagi menteri yang berkaliber. Gurulah yang menjadi wadah utama membimbing anak-anak bangsa yang bakal meneraju tampuk pimpinan, yang bakal membawa hala tuju menuju wawasan yang baru.

Namun begitu, kekecewaan amat jelas terserlah di mata guru-guru, bakal guru mahupun guru novis apabila isu TIADA jaminan penempatan, isu OPEN MARKET, isu TIADA keadilan yang saksama memberi impak yang besar sehinggakan baru-baru ini julung kalinya satu Konvensyen Mahasiswa Pendidik Kebangsaan telah dilancarkan dan Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM sebagai tuan rumah pada 2-4 Desember 2011. Tahniah diucapkan. Wakil dari MPP UTHM serta beberapa wakil dari Kelab Teknik dan Vokasional UTHM yang telah sama-sama hadirkan diri serta menunjukkan kampus UTHM juga turut bangkit memberi sokongan dan lontaran idea bersama.     

Lima tuntutan atau pun resolusi telah dikemukakan daripada keberhasilan konvensyen tersebut oleh Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan (GMPK) kepada Timbalan Menteri pelajaran Malaysia, Prof Dr Hj Puad Zarkashi iaitu:

1       * Mengembalikan jaminan penempatan guru
2       * Membuka peluang memohon Biasiswa kepada semua pemegang ISMP
3       * Kepimpinan baru tidak mengubah dasar yang sedia ada tanpa melihat dan mengambil pandangan  pendidik
4       * Pemerkasaan bakal guru
5       * Mansuhkan GSTT, KPLI, dan DPLI


Ada apa pada tuntutan tersebut??

Isu lambakan guru

Di dada-dada akhbar sejak dari awal tahun lagi banyak siarkan bahawa dewasa ini Malaysia di landa lambakan guru. Kenapa kenyataan ini terjadi walhal ramai guru diperlukan dan tidak mencukupi  di sekolah-sekolah. Mengapa guru terutama ISMP tidak di posting terlebih dahulu melainkan hanya diberi peluang kepada DPLI/KPLI lebih-lebih lagi GSTT. Adalah menjadi satu penghinaan kepada guru-guru ISMP kerana keutamaan diragut begitu rapuh oleh tangan-tangan yang berkepentingan. Selama 4 tahun berhempas pulas menyiapkan diri sebagai seorang pendidik, begitu mudah di tewaskan oleh mereka-mereka yang hanya mengambil setahun dua dalam DPLI/KPLI. Mugkin kerajaaan memandang ISMP melahirkan guru yang kurang professional dalam akademiknya, atau mungkin kerana guru lepasan DPLI/KPLI yang dulunya merupakan pelajar kejuruteraan , sains dan sebagainya.

Namun kita perlu ingat bahawa guru bukan sahaja indikator yang menyampaikan ilmu secara ilmiah kepada anak murid dan pelajar, bahkan gurulah yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu  yang membentuk sahsiah anak didik mereka daripada seorang manusia biasa kepada seorang insan yang hebat tidak mengira bangsa mahupun agama. Kecenderungan DPLI/KPLI mungkin sahaja bagi mereka yang menjadikan profesyen pendidik sebagai jalan mudah, mungkin juga sebab masalah pengangguran dalam sektor lain. Minat saharusnya diseimbangkan dengan kerjaya supaya apa-apa yang dilaksanakan menjadi IKHLAS dan sekaligus bakal memberi tumpuan serta pengajaran penuh kepada anak didik di sekolah, bukan sekadar memenuhi waktu kerja sahaja.

Politik yang campurtangan:

Keadaan perubahan dasar yang sentiasa bercelaru disebabkan oleh pendidikan yang dipolitikan dan telah lama menjadi virus seterusnya dikira boleh menjadi barah dalam dunia pendidikan globalisasi ini. Sedar atau tidak setiap kali bertukar tangan tampuk pimpinan, maka bertukar-tukarlah dasarnya. Mengapa tidak menambahbaikan dasar yang sedia ada dan tidak menempias mana-mana pihak dalam sektor pendidikan itu sendiri beserta kajian yang betul-betul sahih serta mantap haruslah diperincikan. Projek RINTIS yang baru-baru ini di mana ingin memanjangkan waktu bekerja guru hingga 9 jam, turut terhenti kerana tidak kuatnya hujah dan penerangan dari pihak ATASAN sendiri. Jika diperingkat atasan mahupun guru sudah bercelaru, manakan mahu menangani isu masalah akademik mahupun akhlak pelajar yang semakin saat semakin menjadi-jadi. Mahasiswa turut tahu bahawa politik tidak dapat mengenal pendidikan, namun dengan pendidikanlah kita dapat mengenali politik.

Saranan menceburkan diri kebidang lain:

Jaminan diberi penempatan hanya dijanjikan kepada sesiapa yang memegang biasiswa KPM sahaja. Hakikatnya, IPG dan sesetengah universiti serta sesetengah jurusan sahaja yang ditawarkan sebagai pemegang biasiswa ini, bagaimana dengan ISMP?? Namun mungkinkah biasiswa tersebut bakal menjadi TIDAK releven suatu hari nanti?? Ataupun ISMP terus di padam dalam kamus pendidikan universiti ditukar kepada master pendidikan dan KPLI/DPLI sahaja??

Jika dilihat hari ini, kenyataan KPM, KPT mahupun Majlis Dekan-dekan sendiri tiada kata sepakat, manakan tampuk pendidikan mahu untuk menjadi tiang tempat berteduh. Sampai bila masing-masing mahu menunding jadi ke arah satu sama lain sehingga anak buah menjadi mangsa kerana tiada keselarasan antara semua pihak.

Saranan untuk bakal-bakal guru untuk sebarang kemungkinan supaya membuka ruang ceburkan diri kepada sektor lain dalam bidang pekerjaan, namun seiring dengan bantuan kerajaan sendiri yang mengeluarkan apa-apa pekeliling kepada sektor yang lain untuk menerima graduan berISMP. Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Hal ini sekaligus memberi ruang dan peluang kepada guru-guru yang berkemahiran menunjukkan bakat dimedan yang lain.

ISMP- Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
DPLI – Diploma Pengajian Lepasan Ijazah
KPLI – Kursus Pengajian Lepasan Ijazah
GSTT – Guru Sandaran Tidak Terlatih
GMPK – Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan

Friday, November 4, 2011

Salam Aidil Adha Kepada Semua Warga UTHM

Assalamualaikum & salam hormat buat semua,
Di kesempatan ini, warga promahasiswa ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada seluruh
umat Islam. Umum sedia maklum, 10 Zulhijjah (esok) merupakan salah satu hari kebesaran bagi umat Islam seluruh dunia. Pada hari yang cukup penting lagi dipenuhi sejarah ini, seluruh umat Islam bertakbir, bertasbih, bertahmid, dan turut beringat-ingat tentang kisah yang menjadi teladan buat kita semua: bagaimana Nabi Ismail a.s. telah dengan rela hati meminta ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. mengikuti perintah Allah s.w.t. agar dia dikorbankan.
       Kita semua ingat bagaimana di saat-saat akhir, Allah s.w.t. telah menggantikan Nabi Ismail a.s. dengan seekor kibas, yang akhirnya menjadi korban. Tetapi, apa yang harus kita ingat juga ialah pengajaran: betapa peritnya perasaan si bapa, Nabi Ibrahim a.s., yang harus mengetepikan naluri kebapaannya yang terlalu mengasihi anaknya demi mengerjakan perintah Tuhan. Dalam erti kata lain, suatu pengorbanan perlu dilakukan untuk mengetepikan perasaan sendiri demi sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri. Pengorbanan inilah yang harus kita ingati dan kita amalkan dalam kehidupan kita sebagai seorang Islam.
       Marilah kita mengambil ikhtibar tentang pengorbanan ini melalui sirah di zaman para anbiya', para sahabat, ulama'-ulama' mahupun tokoh-tokoh perjuangan selepas era khulafa' sehinggalah sekarang. Ambillah teladan dari kisah-kisah yang telah berlaku mahupun yang sedang berlaku. Setiap kejayaan yang kita inginkan sebenarnya memerlukan pengorbanan yang banyak. Kita harus bersabar dengan segala dugaan, berteduh dengan iman akibat setiap kehilangan, dan berpasakkan idealisme perjuangan, barulah kita akan mampu mengecapi kejayaan yang kita impikan.
       Akhir kata dari Pro Mahasiswa UTHM, Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua warga UTHM kami ucapkan, mohon maaf atas segala salah dan silap. Kepada mereka yang balik ke kampung, berhati-hati di jalan raya. Manakala bagi mereka yang tidak balik, marilah bersama-sama memeriahkan sambutan Aidil Adha ini di kampus UTHM (ada lembu kot,kna ikat kat belakang masjid baru). Sekian.

Tuesday, November 1, 2011

Timabalan Menteri Setuju AUKU Dipinda

Selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai tidak sah, Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau secara peribadi setuju supaya akta itu dipinda.

NONEKatanya, beliau telah banyak kali menyuarakan perkara itu, antaranya dalam tulisannya di dada akhbar, termasuk membentangkannya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum ini.

"Ada orang mahu pinda, ada orang minta mansuh (AUKU). Tetapi kita sebenarnya bercakap perkara yang sama, iaitu tidak suka pada Seksyen 15.

"Kita mahu mahasiswa bebas bersuara dan menyertai politik. Pada saya kita kena pinda Seksyen 15," katanya yang dilihat kerap memberikan pandangan promahasiswa dalam pelbagai isu.

Mahkamah Rayuan pada 30 Oktober memutuskan Seksyen 15(5) AUKU yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya sebagai tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Ketika diajukan soalan tentang pendiriannya berhubung isu itu dalam forum membincangkan "politik baru" di Kuala Lumpur malam tadi, Saifuddin berkata pindaan perlu dibuat, antaranya demi meningkatkan penyertaan mahasiswa.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini dan sebuah saluran televisyen selepas itu, Saifuddin berkata, sebelum dibawa ke kabinet, isu sama ada kerajaan perlu membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan akan dibincangkan di peringkat kementeriannya dahulu.
Katanya, keputusan mahkamah tidak harus dilihat daripada aspek pihak mana yang menang dan pihak mana yang kalah, sebaliknya hendaklah meliputi persoalan moral dan intelektual di sebaliknya.

Monday, October 31, 2011

Tahniah Buat Sekretariat & AJK Pelaksana Pesta Konvokesyen Ke-11

Pesta Konvokesyen Kali ke-11 telah melabuhkan tirai. Pelbagai tinggalan pahit manis menjadi kenangan kepada mahasiswa UTHM. ProMahasiswa UTHM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sekretariat serta AJK Pelaksana yang bertungkus lumus untuk menjayakan Majlis serta Pesta Konvokesyen UTHM untuk kali ke-11 ini. ProMahasiswa juga sekali lagi mengucapkan tahniah kerana ada sedikit penambahbaikkan berbanding Pesta Konvokesyen yang lepas.


Pada hari pertama berlangsungnya Pesta Konvokesyen, mahasiswa UTHM disajikan dengan talk daripada angkasawan negara Dr Sheikh Muszhafar. Pada malamnya pula, Forum Motivasi. Antara panel yang terlibat adalah Dr Syukri Abdullah merupakan seorang pakar motivasi dan Dr Robiah K Hamzah juga merupakan seorang pakar motivasi. Moderator yang dipilih adalah Prof Madya Dr Muhammad Dawilah merupakan Pengarah Pusat Islam UTHM.

Tajuk yang cuba dibincangkan dalam Forum tersebut adalah "Anak Muda Peneraju Masa Depan Negara". Sesuailah dengan anak muda dikalangan mahasiswa yang disifatkan sebagai idealis untuk didedahkan dengan tajuk ini. Dalam forum tersebut banyak ditekankan mengenai masalah dikalangan anak muda sekarang iaitu berhibur secara melampau atau budaya hedonisme.

"Mahasiswa yang bukan lagi budak sekolah sudah mampu berfikir batasan dalam berhibur. Hiburan yang melonjak-lonjak serta mengganggu emosi dan bukan berteraskan kedamaian, ianya bukanlah hiburan yang sesuai untuk jasad, emosi serta rohani" kata Dr Robiah K Hamzah.

Sekali lagi ProMahasiswa mengucapkan Tahniah serta Jutaan terima kasih atas penganjuran program ilmu seperti ini sekali gus memartabatkan ilmu sebagai teras pembangunan integriti serta sahsiah mahasiswa.

Pada hari kedua penganjuran Pesta Konvokesyen, mahasiswa disajikan pula dengan penganjuran Battle of The Band. Rata-rata mahasiswa UTHM melahirkan sedikit perasaan kecewa atas penganjuran konsert tersebut yang bercanggah sama sekali dengan apa yang disampaikan pada Forum sehari sebelum Konsert tersebut diadakan.

Sebelum berlangsungnya Pesta Konvokesyen untuk kali ini, Kelab-kelab islam di UTHM serta Badan Kerohanian & Etika (BKE) setiap Kolej kediaman dibantu beberapa orang wakil MPP bersama-sama dengan sekretariat dan AJK pelaksana Pesta Konvokesyen ada duduk berbincang kerana menyatakan bantahan terhadap penganjuran Battle of The Band. Keputusan dari perbincangan menampakkan kedegilan pihak penganjur yang masih berdegil untuk mengadakan konsert tersebut dan memutuskan bahawa, konsert masih diteruskan tetapi beberapa syarat ditetapkan antaranya adalah pengasingan lelaki dan perempuan serta kawalan dibuat oleh 30 orang wakil dari kelab-kelab islam di UTHM bersama dengan Badan Kerohanian & Etika (BKE) dari setiap kolej kediaman dibantu dengan beberapa orang wakil MPP.

Walaupun pengasingan antara lelaki dan wanita cuba dibuat oleh 30 orang wakil dari kelab-kelab islam di UTHM bersama dengan Badan kerohanian & Etika bagi setiap kolej kediaman serta wakil MPP, ianya masih tidak terkawal.

Tidak perlu rasanya untuk diceritakan bagaimana tindakan artis jemputan sehingga menyebabkan penonton bertindak diluar kawalan dengan merempuh cross line yang disediakan. Tindakan yang sewajarnya adalah dengan menyekat hiburan-hiburan seperti ini dari masuk ke dalam UTHM.

Seluruh mahasiswa UTHM menyeru kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam penganjuran Pesta Konvokesyen yang akan datang supaya mementingkan ilmu sebagai sumber pembangunan integriti serta sahsisah mahasiswa. Mahasiswa UTHM juga menyeru kepada mana-mana pihak yang terlibat supaya aktiviti atau program yang diadakan selari dengan Visi & Misi UTHM.

Sekali lagi Promahasiswa UTHM mengucapkan tahniah dan syabas. Jadikan kesalahan lalu sebagai pengajaran untuk memperbaiki kesilapan..

~DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA~

Mahkamah Rayuan : Seksyen 15(5) AUKU tidak sah

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Dalam keputusan penanda itu, dua hakim menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.

ukm 4 challenge auku uuca 280910 bannersKeputusan majoriti ini diperoleh apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang lagi hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai panel itu, bagaimanapun berbeza pendapat.

Mahkamah Tinggi pada 28 September menolak saman pemula yang dikemukakan empat pelajar jurusan sains politik UKM bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali.
Pelajar-pelajar terbabit, semuanya bekas ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM, ialah Hilman Idham (presiden), Ismail Aminuddhin (naib presiden), Azlin Shafina Adzha (setiausaha agung), Wong King ChaƬ (exco).
Mahkamah dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2010 yang memutuskan seksyen berkenaan tidak melanggar Perlembagaan selepas menolak saman pemula mereka.

Sunday, October 30, 2011

Isu KKTDI-KKTF: Kronologi Peristiwa



Sepanjang seminggu yang lalu, hangat mengenai isu mengenai pertukaran blok di antara Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI) dan Kolej Kediaman Tun Fatimah (KKTF). Pertukaran di antara blok A dan B KKTDI dengan blok B KKTF memandangkan blok A KKTF memang sedia tak berpenghuni kerana mahasiswa diploma sedang bercuti semester.

Punca isu ini timbul adalah kerana pencerobohan orang asing, dipercayai lelaki, ke dalam blok B dan blok C KKTF. Kes pencerobohan ini sebenarnya berlarutan dari tahun 2009 lagi. Namun, tindakan oleh pihak berkenaan hanya diambil pada sesi ini.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, orang asing ini menceroboh kolej kediaman pada ketika KKTF mempunyai program kolej pada hari tersebut. Pencerobohan terbaru adalah ketika KKTF mengadakan program keceriaan baru-baru ini.

Walaupun pada permulaannya arahan ini dikeluarkan oleh pentadbiran, usaha-usaha Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (JKKTDI) dan Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Fatimah (JKKTF) untuk mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan harus mendapat pujian. Akhirnya, keputusan untuk tidak berpindah pada 29 Oktober telah berjaya dicapai.

Berikut adalah kronologi peristiwa yang berlaku di dalam isu ini:

19 Oktober 2011
Berita pertukaran blok dimaklumkan kepada JKKTF dan JKKTDI. Satu perjumpaan akan diadakan pada 20 Oktober di kolej kediaman masing-masing untuk memaklumkan kepada pihak-pihak yang terlibat dengan pertukaran ini.

20 Oktober 2011
Perjumpaan Pengetua KKTDI dengan penghuni lelaki KKTDI dibuat di Bilik Aktiviti KKTDI manakala perjumpaan wakil pengurusan KKTF dengan penghuni KKTF dibuat di Bilik Aktiviti KKTF.
Selepas kedua-dua perjumpaan selesai, JKKTF dan JKKTDI berjumpa dan berbincang mengenai pertukaran ini. Perjumpaan dihadiri oleh Saudara Hidayatullah Masjud dan Saudara Ahmad Adam Samsuddin. Saudara Hafiz Ariffin tidak dapat dihubungi pada malam itu.

24 Oktober 2011
Perjumpaan semua JKKTF, JKKTDI dengan Pengerusi Majlis Pengetua KKTDI, Dr. Ahmad Rizal bin Masdar dan Pengetua KKTDI, Dr. Khairul Azman bin Shuhaimy. Perjumpaan dipengerusikan oleh Saudara Hafiz Ariffin, disertai oleh Saudara Hidayatullah Masjud dan Saudara Ahmad Adam Samsuddin.

Bagi pihak kami, isu ini perlu dilihat secara holistik. Isu pencerobohan orang asing ke dalam kawasan universiti bukanlah satu isu yang ringan kerana ia membabitkan keselamatan penghuni kolej kediaman. Tiada kompromi tentang keselamatan penghuni kolej kediaman. Keselamatan perlu diutamakan.

Di peringkat JKK, beberapa cadangan telah diutarakan untuk meyakinkan bahawa penukaran blok JKKTF dan JKKTDI bukan satu penyelesaian yang terbaik. Antaranya, merangka satu jadual pemantauan oleh pihak penghuni sendiri dan menyegerakan pembinaan tembok di bahagian belakang KKTF. Di peringkat pentadbiran juga perlu untuk membuat sesuatu bagi mengekang isu ini dari berulang. Penambahan bilangan pengawal keselamatan perempuan adalah sesuatu yang penting dan mustahak supaya pondok pengawal di bahagian belakang KKTF dapat dijaga pada setiap malam.

Tindakan kedua-dua belah pihak akan melahirkan keputusan yang komprehensif dan keselamatan penghuni KKTF akan lebih terjaga. Akhir sekali, pihak kami berharap perkara ini tidak lagi berulang dan langkah-langkah pencegahan perlu diambil dengan segera oleh pihak berwajib.

~DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA~

Thursday, October 27, 2011

Majlis Konvokesyen UTHM Kali Ke-11


Konvokesyen atau majlis penyampaian ijazah membawa maksud tindakan penerimaan atau penganugerahan Ijazah akademik dari Universiti atau upacara sedemikian.

Tahniah diucapkan kepada Sekretariat dan AJK Pelaksana Konvokesyen kerana telah bertungkus lumus menjayakan Majlis Konvokesyen UTHM kali 11. Perlaksanaan pesta yang bermula pada hari ini, Khamis 27 oktober sehingga Isnin 31 oktober telah dirancang sebaiknya oleh pihak AJK Pelaksana bagi pengisian para mahasiswa dan pengunjung amnya. 

Jika diteliti semula, aktiviti yang bakal dan sedang dijalankan kebanyakannya bersesuaian dengan keperluan mahasiswa dewasa ini bagi menampung kelompangan sahsiah diri masing-masing. Tahniah dan syabas sekali lagi kerana aktiviti serta pengisian untuk Pesta Konvokesyen kali ini banyak iktibar yang diambil dari kelemahan Pesta Konvokesyen yang lepas yang pastinya semua mahasiswa tahu.

Mungkin menjadi satu kewajipan untuk pihak Promahasiswa menyentuh berkenaan event yang terbesar bagi Pesta Konvokesyen kali ini iaitu Battle of the Band. Pengharapan yang amat tinggi disandarkan pada pihak penganjur untuk meneliti semula perlaksanaannya. Mungkin juga sesuatu boleh dipelajari dari Konsert Born 4 Nature yang lepas yang mana, walaupun pemantauan serta kawalan cuba dibuat. Namun ianya masih tidak terkawal dengan unsur-unsur negative serta mencemarkan UTHM sebagai salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang baru mencipta nama.

Mekanisma hiburan memang amat mudah sekali untuk dijadikan tarikan dan amat memenuhi kehendak jiwa muda remaja khususnya. Kamus Dewan mendefinisikan hedonisme sebagai ‘pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan kesenangan hidup’. Secara umumnya, hedonisme adalah ‘pendekatan sosial yang menjadikan hiburan sebagai satu cara hidup’ satu fahaman yang mementingkan kesukaan dan kemewahan dalam kehidupan tanpa menghiraukan larangan agama dan tatasusila. Hedonisme inilah yang semakin lama semakin menular dikalangan belia zaman kini.
 
Amalan seperti ini amatlah kurang sihat dan di sisi agama sendiri melarang sekerasnya kerana banyak keburukan yang bakal timbul berbanding kebaikan.

Kaitannya dengan kehidupan mahasiswa di universiti amatlah sinonim kerana mahasiswa rata-ratanya terdiri dari golongan remaja tidak ketinggalan golongan belia dan sentiasa dahagakan pengisian berbentuk seni hiburan tidak kira media cetak, elektronik, persembahan pentas dan sebagainya. Mungkin sesetengah perkara tidaklah perlu kita murahkan seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Pihak penganjur perlu berhati-hati dan berwaspada jika nilai kehidupan kelak menjadi pertaruhan dek kerana apa yang generasi sekarang telah buat. Ayuh mahasiswa kita memartabatkan ilmu dalam setiap program yang kita anjur dan sertai.

Berbalik kepada pesta yang berlangsung sepanjang minggu ini, seruan khas diutarakan untuk mahasiswa penuntut UTHM untuk sama-sama kita raikan dan sertai program-program yang bakal berlangsung dan boleh merujuk kepada tentatif yang telah disediakan. Jangan ketinggalan untuk mengunjungi tapak gerai bertempat di padang kawad baru UTHM. Ayuh mahasiswa tingkatkan prestasi kurangkan kontroversi redakan emosi.

~DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA~

Sunday, October 16, 2011

Sultan Kedah di pilih Sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14


Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru  dalam mesyuarat khas majlis Raja-raja hari ini berkuatkuasa pada 13 Disember untuk tempoh masa lima tahun.

Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dilahirkan pada 28 November 1927 .Baginda diputerakan di Alor Setar, Kedah dan menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dari 21 September 1970 hingga 20 september 1975 dan juga merupakan Sultan Kedah yang ke-27.

Baginda diputerakan sebagai Tunku Abdul Halim, baginda merupakan anak kedua Tunku Badlishah, yang kemudian menjadi Raja Muda Kedah oleh Tunku Safiah binti Tunku Mahmud.
Baginda merupakan lepasan pelajar Wadham College, Oxford, dan mewarisi takhta ayahanda baginda pada 1958.

Baginda juga merupakan Sultan pertama yang di tabal sebanyak 2 kali sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam sejarah Malaysia. Baginda bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke 14 bagi menggantikan Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.

Sementara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini.

Daulat Tuanku..

Tuesday, October 11, 2011

Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin Terima Pelantikan Semula Sebagai Naib Canselor UTHM


Berkuatkuasa 16 Oktober 2011 ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menerima pelantikan semula Naib Canselor UTHM untuk tempoh dua tahun bagi perkhidmatan penggal kedua.

Mengulas tentang pelantikan semula ini, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin mengucapkan rasa terima kasih terhadap kepercayaan tinggi yang diletakkan oleh Kerajaan Malaysia khususnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi terhadap beliau untuk terus menerajui UTHM.

Professor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin yang juga merupakan anak jati Batu Pahat, Johor adalah merupakan lulusan Ph.D dari Imperial College London. Sepanjang perkhidmatan di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi, beliau mula berkhidmat sebagai Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semenjak 1981. Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UTHM pada 2008, beliau pernah berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan telah juga diberi mandat memegang beberapa jawatan utama di dalam Universiti iaitu Dekan, Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor.

"Saya sangat yakin dengan perkembangan UTHM dan saya akan terus berazam di atas kepercayaan yang telah diberikan untuk terus mencemerlangkan UTHM selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Fasa 2 dan Pelan Hala Tuju Malaysian Technical University Network (MTUN) 2011-2015" katanya lagi.

Sumber :
Shafry Salim
Pegawai Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia