Pro Mahasiswa

Friday, April 15, 2011

Mahasiswa Bersatu Menolak Politik Lucah



Pada tanggal 21 Mac 2011 melakarkan satu lagi peristiwa pelik di dalam Malaysia. Penayangan video lucah secara massa di hotel mewah bernama Carcosa Seri Negara. Jemputannya hanyalah wartawan-wartawan dari media arus perdana dan media alternatif seperti Bernama dan Free Malaysia Today. Penganjur tayangan berkenaan, yang pada mulanya hanya mahu dikenali dengan nama “Datuk T” mengawal rapi segala gerak geri dan perlakuan hadirin supaya tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada mereka. Kumpulan “Datuk T” (T bermaksud Trio@ Bertiga) terdiri daripada Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Datuk Shuib Lazim.


Kesan penayangan video ini menimbulkan reaksi yang berbeza dari pelbagai pihak. Ada yang bersetuju dengan pendedahan Datuk T, tak kurang juga ada yang membangkang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan mempertahan Datuk T dengan mengatakan mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi dan Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes. Bekas mufti Perlis, Professor Madya Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin, menerusi blognya,www.drmaza.com mengajak seluruh rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan anti-politik lucah. Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid dan Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad juga senada mengajak umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia menyiasat dahulu kesahihan dakwaan itu.


Pada hari Ahad (10/4), Solidariti Mahasiswa Malaysia menganjurkan Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat. Menurut Sekretariat Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin menegaskan, program tersebut dijalankan bagi menyedarkan semua pihak tentang pendirian mereka yang menolak sekeras-kerasnya budaya politik kotor. “Pada pandangan mahasiswa, kita berasa risau dan khuatir dengan keadaan semasa politik negara yang yang saban hari ada saja isu-isu yang menggambarkan kegawatan politik, terbaru isu politik kotor atau politik lucah. Perkara ini menggambarkan politik nilai yang semakin terhakis dan bagaimana integriti kepimpinan dalam negara berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan. Jika ini yang berlaku dalam sektor awam negara, apa nasib sektor-sektor lain dalam negara? Apa nasib ekonomi, pendidikan, sosial?” ujar beliau.


Kami, di pihak Pro-Mahasiswa UTHM berpendirian menolak politik selak kain seperti ini. Isu-isu yang lebih besar didiamkan demi memberi laluan kepada isu video lucah ini. Isu-isu rasuah, salahguna kuasa dan mismanagement disapu terus, masuk ke bawah tikar. Isu video lucah ini diangkat oleh media massa dan menjadi seolah-olah isu nasional yang boleh mengugat dan mengancam keselamatan negara. Walhal, penyelewengan duit rakyat dan dana kerajaan dimainkan secara atas angin sahaja.


Keperluan rakyat perlu lebih mendapat tumpuan daripada kerajaan yang memerintah. Masalah peribadi sesiapa pun, biarlah diri sendiri yang menguruskannya. Kebajikan rakyat di bawah bukan mainan. Kebajikan kepada rakyat bukan hanya sekadar janji-janji yang ditabur sewaktu kempen pilihanraya sahaja. Jika rakyat memberi mandat dan kepercayaan kepada mana-mana parti untuk memerintah, itu merupakan sokongan rakyat kepada janji-janji parti berkenaan dalam memenuhi tuntutan kebajikan rakyat.


Akhir kata, pihak kami berharap pihak kerajaan dan media kembali membincangkan masalah utama negara berbanding masalah peribadi mana-mana pemimpin, dari pihak pembangkang mahupun kerajaan. Pihak kami juga ingin menyeru kepada semua mahasiswa untuk bersatu menolak politik kotor mahupun lucah dan mengangkat politik nilai agar matlamat perjuangan kebajikan rakyat kembali menjadi agenda nasional.

0 comments: