Pro Mahasiswa

Monday, October 31, 2011

Tahniah Buat Sekretariat & AJK Pelaksana Pesta Konvokesyen Ke-11

Pesta Konvokesyen Kali ke-11 telah melabuhkan tirai. Pelbagai tinggalan pahit manis menjadi kenangan kepada mahasiswa UTHM. ProMahasiswa UTHM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sekretariat serta AJK Pelaksana yang bertungkus lumus untuk menjayakan Majlis serta Pesta Konvokesyen UTHM untuk kali ke-11 ini. ProMahasiswa juga sekali lagi mengucapkan tahniah kerana ada sedikit penambahbaikkan berbanding Pesta Konvokesyen yang lepas.


Pada hari pertama berlangsungnya Pesta Konvokesyen, mahasiswa UTHM disajikan dengan talk daripada angkasawan negara Dr Sheikh Muszhafar. Pada malamnya pula, Forum Motivasi. Antara panel yang terlibat adalah Dr Syukri Abdullah merupakan seorang pakar motivasi dan Dr Robiah K Hamzah juga merupakan seorang pakar motivasi. Moderator yang dipilih adalah Prof Madya Dr Muhammad Dawilah merupakan Pengarah Pusat Islam UTHM.

Tajuk yang cuba dibincangkan dalam Forum tersebut adalah "Anak Muda Peneraju Masa Depan Negara". Sesuailah dengan anak muda dikalangan mahasiswa yang disifatkan sebagai idealis untuk didedahkan dengan tajuk ini. Dalam forum tersebut banyak ditekankan mengenai masalah dikalangan anak muda sekarang iaitu berhibur secara melampau atau budaya hedonisme.

"Mahasiswa yang bukan lagi budak sekolah sudah mampu berfikir batasan dalam berhibur. Hiburan yang melonjak-lonjak serta mengganggu emosi dan bukan berteraskan kedamaian, ianya bukanlah hiburan yang sesuai untuk jasad, emosi serta rohani" kata Dr Robiah K Hamzah.

Sekali lagi ProMahasiswa mengucapkan Tahniah serta Jutaan terima kasih atas penganjuran program ilmu seperti ini sekali gus memartabatkan ilmu sebagai teras pembangunan integriti serta sahsiah mahasiswa.

Pada hari kedua penganjuran Pesta Konvokesyen, mahasiswa disajikan pula dengan penganjuran Battle of The Band. Rata-rata mahasiswa UTHM melahirkan sedikit perasaan kecewa atas penganjuran konsert tersebut yang bercanggah sama sekali dengan apa yang disampaikan pada Forum sehari sebelum Konsert tersebut diadakan.

Sebelum berlangsungnya Pesta Konvokesyen untuk kali ini, Kelab-kelab islam di UTHM serta Badan Kerohanian & Etika (BKE) setiap Kolej kediaman dibantu beberapa orang wakil MPP bersama-sama dengan sekretariat dan AJK pelaksana Pesta Konvokesyen ada duduk berbincang kerana menyatakan bantahan terhadap penganjuran Battle of The Band. Keputusan dari perbincangan menampakkan kedegilan pihak penganjur yang masih berdegil untuk mengadakan konsert tersebut dan memutuskan bahawa, konsert masih diteruskan tetapi beberapa syarat ditetapkan antaranya adalah pengasingan lelaki dan perempuan serta kawalan dibuat oleh 30 orang wakil dari kelab-kelab islam di UTHM bersama dengan Badan Kerohanian & Etika (BKE) dari setiap kolej kediaman dibantu dengan beberapa orang wakil MPP.

Walaupun pengasingan antara lelaki dan wanita cuba dibuat oleh 30 orang wakil dari kelab-kelab islam di UTHM bersama dengan Badan kerohanian & Etika bagi setiap kolej kediaman serta wakil MPP, ianya masih tidak terkawal.

Tidak perlu rasanya untuk diceritakan bagaimana tindakan artis jemputan sehingga menyebabkan penonton bertindak diluar kawalan dengan merempuh cross line yang disediakan. Tindakan yang sewajarnya adalah dengan menyekat hiburan-hiburan seperti ini dari masuk ke dalam UTHM.

Seluruh mahasiswa UTHM menyeru kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam penganjuran Pesta Konvokesyen yang akan datang supaya mementingkan ilmu sebagai sumber pembangunan integriti serta sahsisah mahasiswa. Mahasiswa UTHM juga menyeru kepada mana-mana pihak yang terlibat supaya aktiviti atau program yang diadakan selari dengan Visi & Misi UTHM.

Sekali lagi Promahasiswa UTHM mengucapkan tahniah dan syabas. Jadikan kesalahan lalu sebagai pengajaran untuk memperbaiki kesilapan..

~DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA~

Mahkamah Rayuan : Seksyen 15(5) AUKU tidak sah

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Dalam keputusan penanda itu, dua hakim menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan AUKU sebagai sah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.

ukm 4 challenge auku uuca 280910 bannersKeputusan majoriti ini diperoleh apabila Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Datuk Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang lagi hakim Datuk Wira Low Hop Bing yang mengetuai panel itu, bagaimanapun berbeza pendapat.

Mahkamah Tinggi pada 28 September menolak saman pemula yang dikemukakan empat pelajar jurusan sains politik UKM bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali.
Pelajar-pelajar terbabit, semuanya bekas ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM, ialah Hilman Idham (presiden), Ismail Aminuddhin (naib presiden), Azlin Shafina Adzha (setiausaha agung), Wong King ChaƬ (exco).
Mahkamah dengan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September 2010 yang memutuskan seksyen berkenaan tidak melanggar Perlembagaan selepas menolak saman pemula mereka.

Sunday, October 30, 2011

Isu KKTDI-KKTF: Kronologi Peristiwa



Sepanjang seminggu yang lalu, hangat mengenai isu mengenai pertukaran blok di antara Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI) dan Kolej Kediaman Tun Fatimah (KKTF). Pertukaran di antara blok A dan B KKTDI dengan blok B KKTF memandangkan blok A KKTF memang sedia tak berpenghuni kerana mahasiswa diploma sedang bercuti semester.

Punca isu ini timbul adalah kerana pencerobohan orang asing, dipercayai lelaki, ke dalam blok B dan blok C KKTF. Kes pencerobohan ini sebenarnya berlarutan dari tahun 2009 lagi. Namun, tindakan oleh pihak berkenaan hanya diambil pada sesi ini.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, orang asing ini menceroboh kolej kediaman pada ketika KKTF mempunyai program kolej pada hari tersebut. Pencerobohan terbaru adalah ketika KKTF mengadakan program keceriaan baru-baru ini.

Walaupun pada permulaannya arahan ini dikeluarkan oleh pentadbiran, usaha-usaha Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (JKKTDI) dan Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Fatimah (JKKTF) untuk mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan harus mendapat pujian. Akhirnya, keputusan untuk tidak berpindah pada 29 Oktober telah berjaya dicapai.

Berikut adalah kronologi peristiwa yang berlaku di dalam isu ini:

19 Oktober 2011
Berita pertukaran blok dimaklumkan kepada JKKTF dan JKKTDI. Satu perjumpaan akan diadakan pada 20 Oktober di kolej kediaman masing-masing untuk memaklumkan kepada pihak-pihak yang terlibat dengan pertukaran ini.

20 Oktober 2011
Perjumpaan Pengetua KKTDI dengan penghuni lelaki KKTDI dibuat di Bilik Aktiviti KKTDI manakala perjumpaan wakil pengurusan KKTF dengan penghuni KKTF dibuat di Bilik Aktiviti KKTF.
Selepas kedua-dua perjumpaan selesai, JKKTF dan JKKTDI berjumpa dan berbincang mengenai pertukaran ini. Perjumpaan dihadiri oleh Saudara Hidayatullah Masjud dan Saudara Ahmad Adam Samsuddin. Saudara Hafiz Ariffin tidak dapat dihubungi pada malam itu.

24 Oktober 2011
Perjumpaan semua JKKTF, JKKTDI dengan Pengerusi Majlis Pengetua KKTDI, Dr. Ahmad Rizal bin Masdar dan Pengetua KKTDI, Dr. Khairul Azman bin Shuhaimy. Perjumpaan dipengerusikan oleh Saudara Hafiz Ariffin, disertai oleh Saudara Hidayatullah Masjud dan Saudara Ahmad Adam Samsuddin.

Bagi pihak kami, isu ini perlu dilihat secara holistik. Isu pencerobohan orang asing ke dalam kawasan universiti bukanlah satu isu yang ringan kerana ia membabitkan keselamatan penghuni kolej kediaman. Tiada kompromi tentang keselamatan penghuni kolej kediaman. Keselamatan perlu diutamakan.

Di peringkat JKK, beberapa cadangan telah diutarakan untuk meyakinkan bahawa penukaran blok JKKTF dan JKKTDI bukan satu penyelesaian yang terbaik. Antaranya, merangka satu jadual pemantauan oleh pihak penghuni sendiri dan menyegerakan pembinaan tembok di bahagian belakang KKTF. Di peringkat pentadbiran juga perlu untuk membuat sesuatu bagi mengekang isu ini dari berulang. Penambahan bilangan pengawal keselamatan perempuan adalah sesuatu yang penting dan mustahak supaya pondok pengawal di bahagian belakang KKTF dapat dijaga pada setiap malam.

Tindakan kedua-dua belah pihak akan melahirkan keputusan yang komprehensif dan keselamatan penghuni KKTF akan lebih terjaga. Akhir sekali, pihak kami berharap perkara ini tidak lagi berulang dan langkah-langkah pencegahan perlu diambil dengan segera oleh pihak berwajib.

~DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA~

Thursday, October 27, 2011

Majlis Konvokesyen UTHM Kali Ke-11


Konvokesyen atau majlis penyampaian ijazah membawa maksud tindakan penerimaan atau penganugerahan Ijazah akademik dari Universiti atau upacara sedemikian.

Tahniah diucapkan kepada Sekretariat dan AJK Pelaksana Konvokesyen kerana telah bertungkus lumus menjayakan Majlis Konvokesyen UTHM kali 11. Perlaksanaan pesta yang bermula pada hari ini, Khamis 27 oktober sehingga Isnin 31 oktober telah dirancang sebaiknya oleh pihak AJK Pelaksana bagi pengisian para mahasiswa dan pengunjung amnya. 

Jika diteliti semula, aktiviti yang bakal dan sedang dijalankan kebanyakannya bersesuaian dengan keperluan mahasiswa dewasa ini bagi menampung kelompangan sahsiah diri masing-masing. Tahniah dan syabas sekali lagi kerana aktiviti serta pengisian untuk Pesta Konvokesyen kali ini banyak iktibar yang diambil dari kelemahan Pesta Konvokesyen yang lepas yang pastinya semua mahasiswa tahu.

Mungkin menjadi satu kewajipan untuk pihak Promahasiswa menyentuh berkenaan event yang terbesar bagi Pesta Konvokesyen kali ini iaitu Battle of the Band. Pengharapan yang amat tinggi disandarkan pada pihak penganjur untuk meneliti semula perlaksanaannya. Mungkin juga sesuatu boleh dipelajari dari Konsert Born 4 Nature yang lepas yang mana, walaupun pemantauan serta kawalan cuba dibuat. Namun ianya masih tidak terkawal dengan unsur-unsur negative serta mencemarkan UTHM sebagai salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang baru mencipta nama.

Mekanisma hiburan memang amat mudah sekali untuk dijadikan tarikan dan amat memenuhi kehendak jiwa muda remaja khususnya. Kamus Dewan mendefinisikan hedonisme sebagai ‘pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan kesenangan hidup’. Secara umumnya, hedonisme adalah ‘pendekatan sosial yang menjadikan hiburan sebagai satu cara hidup’ satu fahaman yang mementingkan kesukaan dan kemewahan dalam kehidupan tanpa menghiraukan larangan agama dan tatasusila. Hedonisme inilah yang semakin lama semakin menular dikalangan belia zaman kini.
 
Amalan seperti ini amatlah kurang sihat dan di sisi agama sendiri melarang sekerasnya kerana banyak keburukan yang bakal timbul berbanding kebaikan.

Kaitannya dengan kehidupan mahasiswa di universiti amatlah sinonim kerana mahasiswa rata-ratanya terdiri dari golongan remaja tidak ketinggalan golongan belia dan sentiasa dahagakan pengisian berbentuk seni hiburan tidak kira media cetak, elektronik, persembahan pentas dan sebagainya. Mungkin sesetengah perkara tidaklah perlu kita murahkan seperti orang mengantuk disorongkan bantal. Pihak penganjur perlu berhati-hati dan berwaspada jika nilai kehidupan kelak menjadi pertaruhan dek kerana apa yang generasi sekarang telah buat. Ayuh mahasiswa kita memartabatkan ilmu dalam setiap program yang kita anjur dan sertai.

Berbalik kepada pesta yang berlangsung sepanjang minggu ini, seruan khas diutarakan untuk mahasiswa penuntut UTHM untuk sama-sama kita raikan dan sertai program-program yang bakal berlangsung dan boleh merujuk kepada tentatif yang telah disediakan. Jangan ketinggalan untuk mengunjungi tapak gerai bertempat di padang kawad baru UTHM. Ayuh mahasiswa tingkatkan prestasi kurangkan kontroversi redakan emosi.

~DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA~

Sunday, October 16, 2011

Sultan Kedah di pilih Sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-14


Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru  dalam mesyuarat khas majlis Raja-raja hari ini berkuatkuasa pada 13 Disember untuk tempoh masa lima tahun.

Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dilahirkan pada 28 November 1927 .Baginda diputerakan di Alor Setar, Kedah dan menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dari 21 September 1970 hingga 20 september 1975 dan juga merupakan Sultan Kedah yang ke-27.

Baginda diputerakan sebagai Tunku Abdul Halim, baginda merupakan anak kedua Tunku Badlishah, yang kemudian menjadi Raja Muda Kedah oleh Tunku Safiah binti Tunku Mahmud.
Baginda merupakan lepasan pelajar Wadham College, Oxford, dan mewarisi takhta ayahanda baginda pada 1958.

Baginda juga merupakan Sultan pertama yang di tabal sebanyak 2 kali sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam sejarah Malaysia. Baginda bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke 14 bagi menggantikan Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.

Sementara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini.

Daulat Tuanku..

Tuesday, October 11, 2011

Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin Terima Pelantikan Semula Sebagai Naib Canselor UTHM


Berkuatkuasa 16 Oktober 2011 ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menerima pelantikan semula Naib Canselor UTHM untuk tempoh dua tahun bagi perkhidmatan penggal kedua.

Mengulas tentang pelantikan semula ini, Profesor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin mengucapkan rasa terima kasih terhadap kepercayaan tinggi yang diletakkan oleh Kerajaan Malaysia khususnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi terhadap beliau untuk terus menerajui UTHM.

Professor Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin yang juga merupakan anak jati Batu Pahat, Johor adalah merupakan lulusan Ph.D dari Imperial College London. Sepanjang perkhidmatan di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi, beliau mula berkhidmat sebagai Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semenjak 1981. Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UTHM pada 2008, beliau pernah berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan telah juga diberi mandat memegang beberapa jawatan utama di dalam Universiti iaitu Dekan, Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor.

"Saya sangat yakin dengan perkembangan UTHM dan saya akan terus berazam di atas kepercayaan yang telah diberikan untuk terus mencemerlangkan UTHM selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Fasa 2 dan Pelan Hala Tuju Malaysian Technical University Network (MTUN) 2011-2015" katanya lagi.

Sumber :
Shafry Salim
Pegawai Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia