Kepakaran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) telah mendapat kepercayaan Bank Dunia apabila memenangi bidaan antarabangsa dalam mendapatkan projek pembangunan latihan vokasional bagi Negara Jordan.
Dalam bidaan yang melibatkan puluhan pembida dari seluruh dunia itu, UTHM melalui anak syarikatnya UTHM Holdings Sdn. Bhd. telah diberi tanggungjawab membangunkan sistem tadbir urus dan model latihan vokasional untuk negara Jordan melalui Vocational Training Corporation (VTC) yang diletakkan di bawah Kementerian Buruh Jordan.
Satu Majlis Menandatangani Kontrak Perkhidmatan Perundingan telah dilangsungkan di ibu pejabat VTC yang terletak di ibu kota Amman Jordan pada 8 Mei 2011 yang lalu dengan disaksikan Duta Malaysia di Jordan, Dato’ Abdul Malek Abdul Aziz.
Dalam perjanjian tersebut, Jordan telah diwakili oleh Menteri Buruh Jordan, Dr. Mahmoud Al-Kafawin dan Majed Al-Habashneh selaku Pengarah Urusan VTC, manakala UTHM telah diwakili Naib Canselornya Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dan Pengarah Projek, Profesor Dr. Wahid Razzaly.
Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 200 orang wakil industri, pusat-pusat latihan kemahiran dan para pegawai dari Kementerian Buruh Jordan itu, Duta Malaysia di Jordan dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan pemilihan UTHM dalam membangunkan projek antarabangsa ini. Katanya “Kita berasa sungguh bangga apabila Malaysia yang diwakili UTHM telah berjaya terpilih dalam persaingan sengit bersama pembida-pembida ternama di peringkat antarabangsa dalam mendapatkan projek ini. Saya menaruh kepercayaan penuh bahawa, dengan kemampuan tenaga pakar yang terlibat dalam projek ini, UTHM akan mampu melaksanakan misi ini dengan jayanya”
Sementera itu, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin dalam ucapannya berkata, “Projek ini tidak harus dilihat hanya sebagai satu usahasama di antara dua agensi sahaja, malah ianya melambangkan satu usahasama erat di antara dua negara Islam yang begitu progresif iaitu Jordan dan Malaysia”. Beliau turut menzahirkan harapan semoga kerjasama ini akan merintis kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang lain khususnya yang berkaitan pendidikan dan latihan kemahiran teknikal yang sememangnya menjadi bidang tujahan UTHM.
Pada ketika ini, UTHM merupakan peneraju dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia dan menjadi satu-satunya IPT di Malaysia yang terpilih sebagai Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Unesco – Unevoc).
Dalam melaksanakan projek tajaan Bank Dunia yang akan mengambil masa 30 bulan ini, kumpulan pakar yang diketuai Profesor Dr. Wahid Razzaly yang juga merupakan Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal UTHM ini akan turut disertai rakan pakar antarabangsa lain seperti Dr. Dennis Harper dan Steven Mckee dari Amerika Syarikat, Dr. Jose Lacson dari Filipina dan beberapa pakar TVET luar negara lain. Pakar dalaman lain yang terlibat dalam projek ini ialah Prof. Dato Dr. Mohd Noh Dalimin, Prof. Dr. Jailani Md. Yunos, Prof. Dr. Noraini Kaprawi dan Dr. Razali Hassan.
Dalam lawatan ke Jordan itu, Profesor. Dato’ Dr. Mohd Noh turut berkunjung ke Universiti Jordan yang merupakan sebuah universiti tertua dan ulung di Jordan dan mengadakan perbincangan bersama Presidennya Profesor Dr. Adel Tweissi.
Di samping itu, delegasi UTHM juga berkunjung ke AlBalqa Applied University (BAU), sebuah universiti yang mempunyai pelajar paling ramai di Jordan. Dalam kunjungan ini, satu Persetujuan Bersama (Joint Declaration) telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTHM dan Presiden BAU, Profesor Dr. Ekhleif Y Tarawneh. Persetujuan bersama ini melibatkan beberapa aspek seperti pertukaran penyelidik, pentadbir dan pelajar, pelaksanaan projek penyelidikan bersama serta penganjuran seminar dan penerbitan bersama kedua-dua buah universiti.
0 comments:
Post a Comment