Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) – Kegemilangan UTHM dalam menerajui aktiviti penyelidikan dan inovasi yang berpotensi untuk dikomersilkan terbukti apabila produk hasil penyelidikan dan inovasi UTHM yang dipertandingkan dalam 11th Malaysia Invention and Innovation Awards sempena Malaysia Technology Expo (MTE) 2012 berjaya meraih 3 pingat Emas, 5 pingat Perak dan 3 pingat Gangsa dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2012. Pameran ini telah dianjurkan mulai 16 hingga 18 Februari 2012 di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Menteri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). MTE 2012 merupakan pameran terbesar yang berjaya mengumpulkan lebih 550 hasil ciptaan dan inovasi daripada pelbagai industri/agensi termasuk daripada luar Negara seperti Taiwan, Korea, Nigeria, Poland, Iran dan Arab Saudi .


Para penyelidik yang menyertai MTE 2012 juga merasa bertuah atas kesudian Y.Bhg. Timbalan
Naib Canselor (Akademik& Antarabangsa) UTHM mewakili pihak pengurusan universiti hadir bertemu dengan para penyelidik UTHM pada hari pertama program ini berlangsung. Kehadiran beliau telah berjaya menyuntik semangat dan keyakinan yang sangat tinggi kepada penyelidik untuk membentangkan hasil penyelidikan dan inovasi mereka kepada panel penilai yang membuat penilaian pada hari tersebut.

Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada para penyelidik UTHM yang telah berusaha gigih berjaya mengharumkan nama UTHM dalam pertandingan pada kali ini. Ucapan penghargaan juga dirakamkan kepada Y.Bhg. Dato’ Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), pihak pengurusan universiti, warga kerja Pusat Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan dan semua pihak yang telah memberikan sokongan serta sumbangan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan MTE 2012.
Semoga kejayaan hari ini akan mendorong warga penyelidik UTHM untuk lebih gigih mencapai kegemilangan pada masa hadapan dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang dapat dimanafaatkan oleh masyarakat sejagat seterusnya menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara melalui kejayaan mengkomersilkan produk tersebut.
SUMBER: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
0 comments:
Post a Comment