KUALA LUMPUR 15 Dis. – Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) akan tetap memantau sejauh mana pindaan yang dilakukan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) benar-benar mampu dilaksanakan.
Menurut koordinator GMMA, saudara Ahmad Shahir Abdul Aziz berkata walaupun pindaan yang telah diluluskan ke atas akta berkenaan masih tidak komprehensif dan menyeluruh, namun pihaknya akan tetap melakukan pemantauan secara efektif bagi memastikan setiap pindaan tersebut benar-benar direalisasikan dan bukan sekadar ‘indah kabar dari rupa’.
“InsyaAllah, kita bersama rakan-rakan daripada front-front mahasiswa yang lain akan membuat pemantauan yang lebih berkesan di setiap IPT bagi memastikan pindaan tersebut bukan sekadar gimik politik, sebaliknya ia benar-benar telus untuk diimplementasikan” jelas beliau ketika dihubungi.
Menurut beliau lagi, pihaknya akan tetap memegang janji yang telah dibuat oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi menterinya, Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin di Parlimen baru-baru ini yang memberi jaminan bahawa setiap mahasiswa dibenarkan menyertai mana-mana pertubuhan selain politik di samping membenarkan semua ahli politik baik di peringkat kerajaan mahupun pembangkang untuk menghadiri program-program akademik di setiap IPT sebagai ahli panel atau penceramah jemputan.
Mengenai halangan yang masih wujud ke atas mahasiswa untuk menganggotai mana-mana parti politik di Negara ini, beliau menjelaskan bahawa perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku memandangkan mahasiswa yang belajar di luar Negara di benarkan berbuat demikian.
“Rakyat Malaysia yang menuntut di luar negara bebas untuk menganggotai pertubuhan politik termasuk Kelab UMNO di universiti masing-masing. Sedangkan mahasiswa yang menuntut di dalam Negara ibarat katak di bawah tempurung dan dinafikan hak untuk berbuat demikian. Jadi kita lihat wujudnya double standard dan diskriminasi yang berlaku” jelas beliau.
“Mengapa ini semua berlaku? Apa bezanya mahasiswa yang menuntut di dalam dan luar Negara sehingga berlakunya diskriminasi sedemikian rupa?” tambah beliau lagi.
Selain itu, dalam hal ini beliau secara peribadi turut bersetuju dengan pandangan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Saifuddin Abdullah yang mahukan supaya mahasiswa dibenarkan menganggotai mana-mana parti politik sebagai ahli biasa tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti.
Pada 11 Disember yang lalu, sidang Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2008 setelah dibuat undian dan belah bahagian.
sumber - Mahasiswakini
Monday, December 15, 2008
GMMA AKAN PANTAU PERLAKSANAAN PINDAAN AUKU
1:32 AM
No comments
0 comments:
Post a Comment