Pro Mahasiswa

Monday, May 24, 2010

Pro-Mahasiswa mendesak UKM mengugurkan 4 pelajar yang didakwa berpolitik

KUALA LUMPUR, 22 Mei: Pro-Mahasiswa mendesak pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) agar menggugurkan serta merta kes empat pelajarnya yang akan didakwa nanti.

Mereka terdiri daripada Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai yang akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Shafiee Hashim menyelar pihak UKM hari ini mengambil tindakan berdiam diri dan enggan mengulas tentang isu empat mahasiswa jurusan sains politik universiti itu yang akan didakwa nanti.

Beliau menganggap tindakan UKM membisu itu sebagai sifat tidak bertanggungjawab terhadap tindakan yang mereka sendiri telah ambil terhadap empat mahasiswa berkenaan.

Katanya, sekiranya mereka melaksanakan tugas dengan betul sehingga sampai ke tahap mahu mengheret mereka berempat ke Mahkamah Universiti dan kemungkinan dikenakan tindakan gantung pengajian, sewajarnya mereka berani berdepan dengan apa sahaja persoalan, kritikan dan desakan daripada pihak lain bukan sebaliknya.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah universiti terkemuka yang telah dinobatkan antara universiti penyelidikan terbaik di Malaysia, mereka perlu bijak, telus, berani dan profesional dalam segala tindakan khususnya apabila mereka mendakwa terdapat mahasiswa sains politik lain yang telah turun pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah melalui kebenaran pihak universiti.

“Namun persoalannya di sini, siapakah mereka mahasiswa yang terlibat itu, nyatakan sekali dengan nama mereka serta bentuk surat kebenaran universiti agar pihak lain tidak sangsi dengan kenyataan yang dibuat.

“Ini kerana, pada waktu yang sama UKM sibuk berhadapan dengan peperiksaan akhir semester, masih wujud lagikah urusan akademik atas kebenaran pihak universiti di sana?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Akhirnya, kata beliau Pro-Mahasiswa kecewa dengan tindakan UKM bukan sahaja tidak mencerminkan kematangan dan profesionalime mereka dalam mentadbir, bahkan telah mencemarkan dan memalukan nama universiti terhebat itu.

Mereka berempat yang akan didakwa hanya kerana pada 22 April lepas, mereka ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah.

Turut ditahan bersama mereka ialah tiga orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama iaiatu sebuah kereta dan sebuah van.

Dalam penahanan itu, polis merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga cakera padat (CD) kempen.

Pada 23 April pula, sekitar jam sepuluh malam, Hilman bersama-sama empat orang aktivis lain ditahan sekali lagi oleh polis dalam sekatan jalan raya.

Dalam penahanan itu polis hanya menjumpai sekeping vieo cakera padat (VCD) ceramah parti politik

0 comments: