Pro Mahasiswa

Tuesday, June 8, 2010

AUKU: Keberanian SMM bagai merempuh Gaza

KUALA LUMPUR, 9 Jun: Keberanian Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut kebebasan bersuara dan akademik daripada kerajaan Umno BN dianggap seperti keberanian 12 sukarelawan Malaysia menuntut kebebasan daripada zionis Israel untuk membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Demikian kenyataan Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi tadi pada suatu kenyataan media bersama SMM di lobi Parlimen.

"Kita anggap keberanian SMM ini menentang Auku serta menuntut kebebasan akademik ini sebagai keberanian merempuh Gaza yang dikepong zionis sekarang ini," jelas Dr. Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai.

Beliau yang juga Bendahari PAS Pusat berkata, walaupun keberanian SMM tersebut terpaksa dibayar dengan denda atau digantung hatta dipecat dari universiti menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), namun keberanian pertubuhan koliasi itu membawa Deklarasi Belia dan Mahasiswa Malaysia ke Parlimen mampu menggamit kesedaran ahli Parlimen untuk bersama-sama mahasiswa mempertahankan hak asasi mereka.

"Mereka (mahasiswa) ada yang didenda, dipecat hatta digantung, tetapi dengan deklarasi ini sudah tentu akan menggamit kesedaran kami sebagaimana dunia mulai sedar tentang kezaliman zionis Israel apabila bantuan kemanusiaan dihalang oleh mereka," ujar beliau.

Menyambut kenyataan Dr Hatta, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail berjanji bahawa Pakatan Rakyat akan membawa isu tersebut di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, inisiatif Pakatan Rakyat mahu mengangkat deklarasi tersebut di Dewan Rakyat berasaskan pada prinsip bersama.

"Bertitik tolak pada prinsip bersama menghormati prinsip hak asasi manusia, demokrasi kampus, kebebasan akademik dan autonomi universiti, kita mengalu-alukan deklarasi ini untuk dibawa ke Dewan Rakyat," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengutuk karajaan Umno BN kerana menggunakan Auku untuk membunuh karisma serta aktivitisme mahasiswa sejak akta tidak adil itu diperkenalkan pada 1971.

Beliau turut mempertikai tindakan universiti mendakwa empat mahasiswa dari Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia menggunakan Auku disebabkan mereka yang terbabit turun ke pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Bagi beliau, partisipasi mereka perlu dihormati memandangkan mereka adalah calon sarjana muda sains politik yang bakal mengisi tampuk kepemimpinan negara kelak.

Senada dengan Saifuddin, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong turut mempertikai kaedah kerajaan Umno BN menggunakan Auku untuk membendung aktivitisme mahasiswa.

Bagi beliau, tindak tanduk kerajaan itu seakan bertentangan dengan wawasan Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke-10.

Ini kerana, menurut beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui kedua-dua dasar tersebut mahukan negara menuju kepada negara inovasi dan masyarakat bermaklumat.

"Bagaimana Malaysia boleh jadi inovatif dan rakyatnya berilmu kalau generasi mahasiswa dan belia yang belajar di universiti pun dilayan secara tidak demokratik dan bebas," soal beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan membuat penilaian semula kedua-dua dasar tersebut disebabkan insiden yang dialami oleh mahasiswa tanah air itu.

Tidak cukup dengan itu, beliau mencadangkan Dewan Rakyat menubuhkan suatu jawatankuasa khas di bawah Parlimen untuk menyiasat aduan mahasiswa sebagaimana yang dibukukan dalam deklarasi bertulis oleh SMM itu.

Sebelum pada itu, Pengerusi SMM, Mohd Shazni Munir turut menjelaskan bahawa penyerahan deklarasi tersebut dibuat sempena meraikan Hari Hak Asasi Mahasiswa yang sepatutnya diraikan pada 6 Jun yang lalu.

Katanya lagi, walaupun kerajaan Umno BN bertanggungjawab menggunakan Auku untuk memandulkan mahasiswa, satu salinan deklarasi akan tetap diserahkan kepada seorang wakil Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat pada petang ini.

Turut menyertai kenyataan bersama tersebut, Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai), keempat-empat siswa UKM yang baru didakwa di bawah AUKU serta wakil-wakil pertubuhan mahasiswa yang mengganggotai SMM

-Dzulfikar Mashoor

0 comments: