Pro Mahasiswa

Thursday, January 13, 2011

Ciri-ciri Kepimpinan Mahasiswa

Setiap dari kita merupakan pemimpin. Tunjang kepimpinan adalah merupakan memimpin diri kita sendiri untuk meneraju yang lainnya.

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab dengan pimpinannya.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Begitulah hadis yang mengatakan bahawa kita semua adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.

Pemimpin dari sudut Islam bukanlah suatu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu dijadikan rebutan kerana ia bukanlah suatu tashrif (kebesaran dan kemegahan) namun sebenarnya adalah suatu takhlif (amanah dan tanggungjawab) dan Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada Abu Dzar Al-Ghifari yang memohon satu jawatan untuk mentadbir Wilayah Islam dalam sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah,pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan,kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggungjawabkan”

Amanah yang dimaksudkan di sini bukan setakat menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada golongan yang dipimpin, akan tetapi yang lebih diutamakan oleh islam adalah menyempurnakan amanah kepada Allah SWT.

Dalam konteks sebagai seorang mahasiswa, jika dihubungkaitkan dengan kepimpinan, ia bermakna wujudnya beberapa ‘figure’ pemimpin dan kualiti kepimpinan organisasi mahasiswa yang mampu mencapai serta memenuhi piawai yang terbaik dan memuaskan para pengikut malah umat yang menyaksikan agenda bertindak dan operasi organisasi yang berkenaan. Namun seorang pemimpin mahasiswa ini haruslah mempunya ciri-ciri yang saling melengkapi supaya apa yang diperjuangkan betul-betul terkesan terhadap mahasiswa yang dipimpinnya.

Kriteria yang amat perlu dimiliki saling berkaitan dahulunya dengan dasar perjuangan. Apakah sebenarnya yang menjadi tunjang kepada pimpinan seorang mahasiswa itu?

Kriteria utama merupakan kemestian untuk miliki prinsip yang berasaskan pegangan agama Islam yang kukuh dan sangat faham akan konsep dosa pahala serta syurga dan neraka. Mereka perlu konsisten memperjuangkan Islam serta mendukung kepimpinan Islam yang menyanjung kepimpinan para pewaris nabi atau para alim ulama'. Memiliki keperibadian Islam yang baik amat penting bagi mahasiswa muslim dimana pimpinan mahasiswa Islam yang mempunyai ciri-ciri ketaqwaan seperti yang diperincikan oleh Al-Qur'an.

Kecemerlangan akademik merupakan tiket utama dan kelebihan bagi seorang pemimpin mahasiswa kerana merupakan golongan yang terpelajar dibawah pengaruh universiti. Kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis. Kepimpinan harus menonjolkan dengan lebih terserlah bakat ilmuan yang ada sebagai pemacu untuk menggarap tahap itegrasi tinggi dikalangan mahasiswa sendiri amnya.

Seorang pemimpin itu mestilah cekap, berketrampilan dan berkeyakinan tinggi. Kepimpinan yang terlatih dan berpengalaman dalam menghadapi politik kampus sudah pasti akan lebih berjaya dari kepimpinan yang mentah dan kurang berpengalaman. Lebih jauh kepimpinan yang mempunyai berbagai kemahiran sudah pasti akan menempa kejayaan yang lebih menyerlah.

Kepimpinan mahasiswa semestinya mempunyai ketrampilan menggarapi aspek wawasan politik yang jelas. Kepimpinan di kampus adalah anak tangga untuk kepimpinan di peringkat yang lebih tinggi. Wawasan politik yang benar seharusnya telah ditemui dan diyakini dari peringkat kampus lagi sehingga ianya semakin kukuh dan bercambah di peringkat nasional dan antarabangsa. Sekiranya perkara ini masih kabur dan tidak mantap di peringkat mahasiswa lagi maka kelewatan menemui wawasan politik Islam yang sebenar merupakan titik kelemahan yang ketara.

Seorang mahasiswa yang berbekalkan semangat aktivis yang gigih, kreatif serta inovatif amat penting kerana nilai seorang pemimpin mahasiswa tidak lahir dari kekosongan. Ia lahir dari kalangan massa mahasiswa dan mencerminkan nilai atau kualiti keunggulan mahasiswa itu sendiri. Pemimpin yang cemerlang lahir dari lautan siswa yang cemerlang, gigih, kreatif dan inovatif. Dari sudut positif lain, seorang pemimpin tersebut mestilah seorang menguasai kemahiran komunikasi yang cekap dan baik seperti bercakap, berpidato, berkomunikasi dengan pelbagai jenis dan aras pemikiran manusia yang dipimpin.

Pimpinan organisasi mahasiswa perlu memiliki kemahiran merentasi halangan cita-cita organisasi. Mustahak bagi mereka untuk menguasai seni mengemudikan konflik untuk mencapai tahap perlaksanaan yang lebih tinggi dan maju. Kemenangan perlu berupaya diraih melalui laluan sukar dan halangan yang getir sekalipun. Kejayaan pemimpin bukan mutlak daripada pemimpin tetapi juga kerana adanya kerjasama, sokongan dan sikap kesetiaan terhadap organisasi dan sikap ingin melihat ia berjaya. Hubungan yang positif antara pemimpin yang baik dengan para pengikut yang gigih sudah pasti menghasilkan peningkatan dalam mutu kerja aras pencapaian organisasi.

Dalam mencapai aspirasi pembangunan misalnya, manusia adalah unsur yang paling menentukan kejayaannya. Pembangunan tidak bererti jika manusia itu sendiri runtuh. Justeru itu nilai-nilai akhlak amat perlu diberi penekanan dalam kepimpinan kemahasiswaan agar pembangunan yang ingin digarap seimbang dengan nilai-nilai keislaman. Nilai sahsiah yang tinggi amat perlu terserlah yang mesti ada pada pemimpin mahasiswa dari pelbagai aspek seperti gaya bertingkah-laku, berpakaian, bergaul, kebersihan diri dan seumpamanya. Pihak pemimpin ini dikatakan menjadi role model terhadap mereka yang dipimpin serta menjadi pucuk perbualan para mahasiswa lain.Tidak ada ertinya pembangunan tanpa kesehjahteraan dunia dan akhirat.

Konklusinya, dasar perjuangan mahasiswa mestilah berlandaskan nilai-nilai Islam serta . Mahasiswa sebagai kumpulan manusia berilmu dan sentiasa mencari ilmu perlu mendampingkan keilmuan mereka dengan iman, Islam dan ihsan. Inilah yang dikatakan dasar perjuangan kerana Allah. Matlamat bersama hendaklah jelas, spesifik, boleh dicapai dan mempunyai tempoh masa untuk berjuang, walaupun perjuangan itu dilihat hanya di medan kampus semata. Namun ia merupakan pra permulaaan untk menempuhi medan realiti apabila berhadapan dengan dunia luar kelak.

0 comments: