Pro Mahasiswa

Monday, January 17, 2011

PERUTUSAN KOORDINATOR PRO MAHASISWA UTHM


Tidak sempurna iman seseorang itu, sehinggalah dia mengasihi saudaranya, seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Dalam pelbagai kesempatan selalu muncul kegelisahan yang mempersoalkan gerakan dan pemikiran lesu di kalangan mahasiswa sebagai golongan intelektual dan lebih-lebih lagi sebagai generasi penggerak kepimpinan muda. Pengamatan kepada masalah integriti dan sosial mahasiswa, penularan salah faham terhadap gerakan mahasiswa, perkembangan negara dan antarabangsa serta sifat cakna akan saudara kita tidak mengira perbezaan kaum maupun agama telah menjadi tuntutan kepada kita untuk diperjuangkan. Maka, memahami senario kampus dan luar kampus, menganalisis cara pemikiran golongan muda, memahami gaya dan rentak perjuangan mahasiswa, pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari.

Oleh itu pendekatan pemimpin mahasiswa yang lebih menarik perlu diterokai oleh para mahasiswa bagi membudayakan diri dengan membaca, memahami dan menganalisis setiap perkara yang berlaku disekelilingnya. Elemen-elemen inilah yang memerlukan individu yang berkebolehan memimpin kepada sesuatu perubahan dengan bercirikan al-qawiyy (yang kuat) dan keunggulan akhlak dan peribadi yang baik iaitu al’-amin (benar dan amanah). Harus diingat, ‘tidak ada percetakan yang bisa mencetak pemimpin’. Almarhum bapak Mohammad Natsir, pernah mengatakan “pemimpin tidak lahir dibilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya, lalu diterima dan didukung oleh umat

Warga kampus sekalian, setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai kecemerlangan dalam hidup. Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian. Dalam proses membuat suatu perubahan, begitu banyak persediaan perlu ada dalam diri mahasiswa. Mahasiswa tidak perlu menunggu sehingga lengkap segala persediaan untuk mengatur tindakan ke arah perubahan tetapi segala persediaan perlu diiringi dengan pengurusan dan tindakan yang dinamik.

Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa Pro-Mahasiswa UTHM adalah sebuah wadah (saluran) bagi kesatuan mahasiswa dan mahasiswi UTHM yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Kita sewajarnya membuat persediaan secukupnya untuk memimpin suatu gerakan bagi menangani perubahan yang berlaku di masa depan. Untuk melaksanakan ini semua, segala sumber dan kebolehan yang ada seperti kekuatan sahsiah, kebolehan, kemahiran, kepakaran, ilmu yang mantap, istiqamah dan daya juang yang tinggi, mestilah digemblengkan menjadi suatu tenaga yang kukuh dan seterusnya menjadi pemimpin bagi suatu kekuatan yang mampu menangani perubahan yang berlaku. Akhir kalam yang tersemat disanubari penulis...

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." Profesor Diraja Ungku A. Aziz

0 comments: