Pro Mahasiswa

Sunday, October 30, 2011

Isu KKTDI-KKTF: Kronologi Peristiwa



Sepanjang seminggu yang lalu, hangat mengenai isu mengenai pertukaran blok di antara Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (KKTDI) dan Kolej Kediaman Tun Fatimah (KKTF). Pertukaran di antara blok A dan B KKTDI dengan blok B KKTF memandangkan blok A KKTF memang sedia tak berpenghuni kerana mahasiswa diploma sedang bercuti semester.

Punca isu ini timbul adalah kerana pencerobohan orang asing, dipercayai lelaki, ke dalam blok B dan blok C KKTF. Kes pencerobohan ini sebenarnya berlarutan dari tahun 2009 lagi. Namun, tindakan oleh pihak berkenaan hanya diambil pada sesi ini.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, orang asing ini menceroboh kolej kediaman pada ketika KKTF mempunyai program kolej pada hari tersebut. Pencerobohan terbaru adalah ketika KKTF mengadakan program keceriaan baru-baru ini.

Walaupun pada permulaannya arahan ini dikeluarkan oleh pentadbiran, usaha-usaha Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail (JKKTDI) dan Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Fatimah (JKKTF) untuk mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan harus mendapat pujian. Akhirnya, keputusan untuk tidak berpindah pada 29 Oktober telah berjaya dicapai.

Berikut adalah kronologi peristiwa yang berlaku di dalam isu ini:

19 Oktober 2011
Berita pertukaran blok dimaklumkan kepada JKKTF dan JKKTDI. Satu perjumpaan akan diadakan pada 20 Oktober di kolej kediaman masing-masing untuk memaklumkan kepada pihak-pihak yang terlibat dengan pertukaran ini.

20 Oktober 2011
Perjumpaan Pengetua KKTDI dengan penghuni lelaki KKTDI dibuat di Bilik Aktiviti KKTDI manakala perjumpaan wakil pengurusan KKTF dengan penghuni KKTF dibuat di Bilik Aktiviti KKTF.
Selepas kedua-dua perjumpaan selesai, JKKTF dan JKKTDI berjumpa dan berbincang mengenai pertukaran ini. Perjumpaan dihadiri oleh Saudara Hidayatullah Masjud dan Saudara Ahmad Adam Samsuddin. Saudara Hafiz Ariffin tidak dapat dihubungi pada malam itu.

24 Oktober 2011
Perjumpaan semua JKKTF, JKKTDI dengan Pengerusi Majlis Pengetua KKTDI, Dr. Ahmad Rizal bin Masdar dan Pengetua KKTDI, Dr. Khairul Azman bin Shuhaimy. Perjumpaan dipengerusikan oleh Saudara Hafiz Ariffin, disertai oleh Saudara Hidayatullah Masjud dan Saudara Ahmad Adam Samsuddin.

Bagi pihak kami, isu ini perlu dilihat secara holistik. Isu pencerobohan orang asing ke dalam kawasan universiti bukanlah satu isu yang ringan kerana ia membabitkan keselamatan penghuni kolej kediaman. Tiada kompromi tentang keselamatan penghuni kolej kediaman. Keselamatan perlu diutamakan.

Di peringkat JKK, beberapa cadangan telah diutarakan untuk meyakinkan bahawa penukaran blok JKKTF dan JKKTDI bukan satu penyelesaian yang terbaik. Antaranya, merangka satu jadual pemantauan oleh pihak penghuni sendiri dan menyegerakan pembinaan tembok di bahagian belakang KKTF. Di peringkat pentadbiran juga perlu untuk membuat sesuatu bagi mengekang isu ini dari berulang. Penambahan bilangan pengawal keselamatan perempuan adalah sesuatu yang penting dan mustahak supaya pondok pengawal di bahagian belakang KKTF dapat dijaga pada setiap malam.

Tindakan kedua-dua belah pihak akan melahirkan keputusan yang komprehensif dan keselamatan penghuni KKTF akan lebih terjaga. Akhir sekali, pihak kami berharap perkara ini tidak lagi berulang dan langkah-langkah pencegahan perlu diambil dengan segera oleh pihak berwajib.

~DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA~

0 comments: