Semalam dalam rancangan bual bicara bersama pimpinan mahasiswa di RTM1, Suara Siswa, yang berkumandang pada jam 10 malam, Dato' saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah memberikan respon yang sangat baik tentang tindakan politik mahasiswa era "Politik Baru" ini.
Beliau merespon pandangan wakil dari Pro Mahasiswa Universiti Malaya yang juga merupakan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya, YDP MPMUM, saudara Rizduan Mohamad yang menyatakan ketidaksetujuan beliau dengan akta yang membelenggu fikiran dan tindakan mahasiswa iaitu Akta Universiti & Kolej Universiti, AUKU.
Ridzuan yang pernah tampil di UTHM ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk "Revolusi Mahasiswa & Politik Baru Malaysia" pada Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar tahun lalu sekali lagi menegaskan bahawa mahasiswa kini sudah bijak berpentas dalam arena politik dan mustahil apabila ruang diberikan sepenuhnya kepada mahasiswa, mereka akan bertindak di luar kawalan. Beliau menambah lagi, jika mat rempit dan golongan muda kini yang terlibat dengan jenayah dan gejala negatif di luar sana tidak pula diperuntukkan sebarang akta khusus untuk mereka, mengapa pula mahasiswa yang memperjuangkan agenda nasional dan kebajikan mahasiswa diikat dan ditambat dengan AUKU?
Pandangan dari Ridzuan berkenaan mendapat respon positif dari Dato' Saifuddin Abdullah yang turut menyatakan pendirian yang hampir serupa. Beliau sendiri tidak pernah terlintas dalam fikiran dan menjangkakan bahawa mahasiswa akan melakukan tindakan secara di luar batasan apabila ruang dibuka dan diberikan sepenuhnya kepada mereka. Beliau turut menyatakan bahawa mahasiswa sepatutnya diajak bersama dengan kepimpinan negara yang ada sekarang untuk turut sama membantu membangunkan negara. Beliau turut sama mengulas tentang ciri-ciri kepimpinan yang sepatutnya ada kepada pimpinan mahasiswa yang ditulis di dalam bukunya yang kini sudah pun diulang cetak buat kali kedua yang bertajuk "Politik Baru."
Saudara Ridzuan turut menambah dengan menegaskan bahawa suasana yang tidak diingini seperti pemberontakan dari kelompok mahasiswa boleh berlaku sekiranya suara mereka disekat. Beliau membawa dua contoh sepertimana yang pernah berlaku di Afghanistan dan Iran yang menunjukkan bagaimanakah keadaannya seandai suara mahasiswa terus disekat. Contoh yang dibawa ialah era kebangkitan Mahmoud Ahmadinejad, Presiden Iran sekarang di waktu beliau menjadi pemimpin mahasiswa ketika revolusi Iran tercetus. Dengan kejayaan menggulingkan kerajaan Shah, Iran yang mana ketika itu Ayatollah Ruhullah Khomeini masih lagi menjadi orang dalam buangan di Perancis. Begitu juga pada era Soviet menjejakkan kaki di Afghanistan, kebangkitan anak muda yang juga merupakan mahasiswa, Gulbuddin Hekmatyar dan rakan-rakannya dari Universiti Islam Kabul, telah menyemarakkan lagi semangat berkobar-kobar rakyat Afghanistan dalam memperjuangkan negara sehingga ke tahap mampu membebaskan Afghanistan dari cengkaman soviet.
Dalam rancangan terbabit, turut bersama hadir menjadi ahli panel dan melontarkan pandangan adalah wakil dari NYDP MPMUPM, iaitu saudara Shamsul Salleh dan YDP MPPUiTM, saudara Mohd Mursyidi.
Moga, impak dari kesedaran betapa berkuasanya akan suara mahasiswa akan mampu membuka mata kita, Mahasiswa di UTHM tercinta tentang kepentingan dan kesedaran berpolitik yang seharusnya mula dibajai semenjak di peringkat kampus lagi.
Wednesday, January 6, 2010
Mahasiswa Sudah Matang Berpolitik - Dato' Saifuddin Abdullah
4:01 AM
No comments
0 comments:
Post a Comment