Pro Mahasiswa

Saturday, January 9, 2010

Pro Mahasiswa Mengutuk Serangan Gereja

Kejadian pengeboman beberapa buah gereja di sekitar Lembah Klang beberapa hari yang lalu dipercaya mempunyai motif dan kaitannya dengan kontroversi isu keputusan hakim Dato' Lee Bee Lan yang meluluskan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katholik, The Herald. Ia dilihat bakal mencetuskan satu lagi polemik baru kemungkinan besar isu perkauman kembali menghimpit negara.

Kejadian pertama pengeboman yang membabitkan Gereja Metro Tarbenacle yang terletak di Melawati disusuli Gereja Assumption Assunta, di Petaling Jaya dan Gereja Life Chappel, di Damansara tersebut ternyata mendukacitakan hati seluruh masyarakat berbilang kaum yang hidup secara aman damai di negara ini sejak sekian lama.

Justeru itu, pihak Pro Mahasiswa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang terlibat sama ada pihak yang melakukan serangan mahupun dalang disebalik insiden terbabit yang ternyata cuba mencetuskan polemik isu perkauman di dalam negara ini sekaligus mewujudkan keadaan tidak tenteram 'Panic Situation' dalam masyarakat berbilang kaum yang hidup secara aman damai sejak lebih berpuluh tahun lalu.

Selain itu, pihak Pro Mahasiswa juga menolak sekeras-kerasnya penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA dalam menyelesaikan isu tersebut seperti yang digesa oleh Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kerana ia jelas bukan satu langkah penyelesaian yang bijak dan terbaik bagi mengatasi ketegangan yang berlaku kini. Malah, tindakan terbabit kemungkinan besar bakal memburukkan lagi keadaan dan membuka ruang buat pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh.

Situasi dan suasana tegang yang berlaku dipercayai lantaran kontroversi isu kalimah Allah terbabit, seharusnya diselesaikan secara dialog dan mewujudkan kembali suasana intelektual tanpa emosi dalam masyarakat agar keadaan kembali stabil dan tenang serta tidak dihinggapi sentimen perkauman seta isu keagamaan yang melampau-lampau.

Pihak Pro Mahasiswa juga tidak menolak kemungkinan besar kejadian yang berlaku juga turut didalangi oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri sama ada dari sudut memperoleh pengaruh politik mahupun kuasa.

0 comments: